SEORANG ibu tunggal, Razia Shaikh mendongak ke langit dengan genangan air mata sambil meriba al-Quran.
Wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu mencari keadilan di atas kehilangan anak perempuannya manakala seorang lagi anaknya dibunuh oleh saudara sendiri yang berdendam kerana maruah.
Razia meratap kehilangan anak-anaknya sambil menunjukkan foto mereka. Satu daripadanya memaparkan wajah seorang wanita berwajah ceria dengan mata yang bersinar dan seorang lagi pucat lesu diselimuti kain putih.
Razia merupakan salah seorang daripada puluhan ibu yang menderita kerana menanggung kesengsaraan ekoran sistem karo kari iaitu pembunuhan yang dilakukan dengan alasan kononnya untuk memelihara maruah keluarga atau membalas dendam.
Kumpulan hak asasi Pakistan, Yayasan Aurat yang berperanan memperbaiki kehidupan wanita dalam sistem konservatif masyarakat yang berpegang pada ideologi patriarki di Pakistan berkata, lebih 3,000 kanak-kanak perempuan telah dibunuh kerana maruah sejak tahun 2008.
Sambil duduk di atas katil tradisional di luar rumah satu bilik di kampung Sachal Shah Miani dekat tebing Sungai Indus di wilayah Sindh selatan Pakistan, Raziah menceritakan kisah malang yang menimpa dirinya.
Segalanya bermula apabila anak sulungnya, Khalida hilang dari rumah mertuanya di bandar pelabuhan selatan Karachi empat tahun lalu.
Apa yang terjadi kepada Khalida masih tidak jelas tetapi mertuanya tetap menyalahkan Razia. Namun, ibu tunggal itu tidak pernah berhenti berjuang untuk mempertahankan maruahnya walaupun hidup dalam kemiskinan.
Ketika Razia masih meratapi kehilangan anaknya itu, besannya meminta supaya anak bongsu Razia, Shahida berkahwin dengan seorang lagi anak lelakinya.
Melumpuhkan
Wanita malang itu bagaimanapun menolak permintaan tersebut. Berikutan keengganannya itu, tiga orang lelaki bertindak memecah masuk rumah dan menembak anak keduanya dari belakang. Bagaimanapun, mereka mengadili perbuatan itu dengan menuduh anak Razia berzina dan belum menerima hukuman.
“Atas nama Allah, saya merayu kepada menteri, hakim dan polis untuk mendapatkan keadilan,” kata Razia sambil menangis.
Namun, usaha kerajaan untuk melumpuhkan serangan seumpama itu hanya mencapai kejayaan kecil dan pembunuh-pembunuh masih berkeliaran di kawasan miskin di luar bandar di Pakistan.
Kekurangan harta benda dan wang ringgit menjadikan kehormatan dan maruah keluarga lebih bernilai.
Dalam pada itu, undang-undang Pakistan membenarkan ahli keluarga mangsa untuk memaafkan pembunuh sebagai pertukaran darah. Tindakan itu bermakna pendakwaan boleh dielak jika pembunuhan berlaku atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perkahwinan di Pakistan biasanya diatur dan sering berlaku sesama sepupu yang mempunyai motif tertentu dalam pemberian hantaran. Seorang pegawai polis wanita, Irum Awan, ditugaskan untuk mengetuai satu pasukan khas yang ditubuhkan di Sindh pada tahun 2008 untuk menangani isu berkenaan.
“Dalam kebanyakan kes, maruah hanyalah alasan sedangkan motif sebenar mereka tidak mahu memberikan harta kepada adik atau anak perempuan,” kata Irum. Begitupun, bukan wanita sahaja yang menderita atau perkara yang berkaitan dengan cinta dan perkahwinan yang mendorong kepada pembunuhan kejam itu.
Keadilan jenayah di Pakistan sangat berkait rapat dalam kancah politik tempatan terutamanya di kawasan-kawasan seperti Sindh yang sebahagian besar masyarakatnya masih mengamalkan sistem feudal iaitu kuasa besar dipegang oleh pewaris tanah terbanyak.
Namun, persoalan maruah tetap digunakan untuk menyelesaikan pertikaian yang tidak berkaitan.
Di sebuah kampung kecil di barat bandar Sukkur, Mohammad Hasan hidup dalam persembunyian selepas diisytiharkan kara oleh tuan tanah feudal tempatan.
“Saya telah diisytiharkan kara selepas pertikaian tanah yang saya miliki. Mereka mahu menguasai tanah saya,” kata Mohammad di sebuah rumah kecil, yang terletak di lorong dengan keadaan pembetung terbuka.
Penyalahgunaan
Tuan tanah menghantar orang-orangnya untuk mengancam Mohammad dan memberikan pilihan sama ada menyerahkan tanah, apa sahaja sumber pendapatan atau membayar 800,000 rupee (RM27,000) untuk menyelesaikan pertikaian tersebut. Jika enggan, dia akan menanggung akibatnya.
“Saya berada dalam situasi bahaya. Mereka telah menyerang saya sebanyak tiga kali.
“Saya seorang yang miskin, saya hanya duduk di rumah dan bersembunyi di sana sini. Tuan tanah pula seorang lelaki yang berpengaruh dan boleh melakukan apa sahaja kepada saya,” katanya.
Penyalahgunaan wanita dan orang-orang miskin atas nama maruah telah berlaku selama berabad-abad di seluruh Asia Selatan tetapi penjajahan British menolak amalan tersebut.
“Semasa pemerintahan British, mereka menjalankan tanggungjawab dan berlegar di seluruh kampung membanteras karo kari, sekali gus menyebabkan ancaman berkenaan pupus pada masa itu,” kata ketua polis daerah di tempat Shukkur tinggal, Javed Alam Odho.
Namun penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan pada hari ini amat lemah kerana sering dipengaruhi oleh orang-orang yang berkuasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: