Tiket bas semua laluan habis
Suasana di terminal yang sesak dengan orang ramai.
KUANTAN – Hampir kesemua tiket bas bagi semua laluan ke seluruh negeri habis, malah masih ramai pelanggan tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU13).

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Sementara perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini mendapati orang ramai masih berpusu-pusu mendapatkan tiket tetapi kebanyakan tiket bas sudah habis ditempah.

Kerani tiket, Zubir Iddin, 38, berkata, jualan tiket pada musim PRU kali ini amat menggalakkan dan tiket bermula 2 hingga 5 Mei sudah habis dijual.

Menurutnya, tidak kira sama ada laluan ke Pantai Timur atau Utara, kesemuanya sudah ditempah awal.

“Jualan tiket amat menggalakkan tidak kira ke mana-mana destinasi dan sudah tentu pelanggan ingin pulang sempena PRU13.

“Enam trip disediakan untuk laluan ke Kuala Lumpur dan dua hingga tiga trip sehari untuk Pantai Timur. Semuanya sudah penuh,” katanya.

Seorang penjual tiket, Ismail Mat Ali berkata, pihaknya hanya menyediakan tiket bagi laluan ke Kuala Lumpur dan ia sudah habis dijual. “Paling mendapat permintaan adalah tiket dari 1 Mei hinggalah 7 Mei iaitu sehingga selesai PRU13.

“Kami sediakan 10 trip dalam sehari tetapi masih ada yang hampa kerana sudah kehabisan tiket,” katanya.