Akademi Fantasia
Alumni Akademi Fantasia
HAMPIR dua tahun rancangan realiti popular Akademi Fantasia (AF) direhatkan atas sebab-sebab tertentu, kini ia muncul semula dengan format baru dan idea lebih segar.
Dengan memperbaharui format baru, AF10 akan ditukar kepada AF2013 akan disiarkan di Astro Ria bermula September tahun ini.

Malah logo AF juga turut ditukar yang memperlihatkan elemen futuristik dan lebih menarik berbanding logo terdahulu.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata program realiti Akademi Fantasia dilihat sebagai platform bagi melahirkan perintis baru dalam dunia hiburan.

Tambahnya, program itu masih relevan dengan terbukti apabila ramai bintang kelahiran AF berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang seni seperti nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Selain itu, terdapat penambahan unsur rap dalam lagu rasmi AF, Menuju Puncak yang dinyanyikan oleh Zahid.

"Lebih menarik, penggunaan media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram atau Keek dibenarkan agar mereka dapat berkomunikasi dengan dunia luar," katanya.
Difahamkan, AF2013 akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti iaitu pada September.

Zizan hos baru?
Teka-teki siapakah yang akan menggantikan pengacara asal Akademi Fantasia sebelum ini bakal terjawab dalam masa terdekat dan pihak Astro akan mengadakan sidang media untuk memperkenalkan pengacara baru AF.

Difahamkan, antara nama yang disebut-sebut menjadi menduduki kerusi pengacara AF ialah pelawak terkenal, Zizan Razak.

Malah, AF2013 dikatakan mempunyai unsur lawak dan masih mengekalkan elemen kejutan dalam rancangan tersebut.

Menurut Khairul, siapakah yang akan menjadi pengacara AF dirahsiakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, bagi mereka berminat sertai AF2013 secara solo atau duo boleh kunjungi lokasi uji bakat pada tarikh ditetapkan.

Penonton boleh mendapatkan info di www.facebook.com/AkademiFantasia2013.