Acer lancar siri baru komputer Aspire
Dua model wanita menunjukkan rangkaian siri komputer bimbit Aspire baru pada majlis pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
ACER Sales & Services Sdn Bhd (Acer Malaysia) memperkenalkan rangkaian produk baru yang terdiri daripada komputer riba Aspire P3, R7 dan V Series.

Pengurus Besar Acer Malaysia, Ricky Tan berkata, siri komputer bimbit Acer itu memberi fokus untuk mewujudkan pengalaman pengkomputeran baru melalui rekaan progresif.

Menurutnya, semua produk itu menawarkan ciri-ciri terbaik dengan teknologi terkini Intel dan Microsoft Windows 8.

“Produk berpaksikan sentuhan merupakan trend terbaru dalam dunia pengkomputeran.

“Oleh sebab itu, kami jangka barisan produk ini akan merevolusikan pengalaman pengkomputeran serta sentuhan,” katanya pada majlis pelancaran siri Aspire baru di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aspire P3 merupakan ultrabook boleh ubah yang didatangkan dengan paparan definisi tinggi manakala Aspire R7 menawarkan papan kekunci yang boleh ditukar alih serta skrin sentuh definisi tinggi seperti tablet.

Aspire V Series pula mewakili rangkaian komputer riba Acer paling besar dan versatil.

Harga pasaran ditawarkan bagi siri Aspire baru ini bermula pada RM1,799, bergantung kepada jenis model yang ditawarkan.