"Selepas Brunei, jenama kami akan mula dibawa masuk ke negara Timur Tengah pada Oktober tahun ini," katanya.
Menurutnya, langkah pemasaran itu adalah sebahagian strategi mengukuhkan lagi jenama SimplySiti dalam pasaran tempatan dan rantaian kosmetik amnya.
"Saya menjadikan persaingan suatu perkembangan yang sihat kerana semuanya untuk pengguna. Jika terdapat pelbagai jenama walaupun dalam segmen sama, pengguna mempunyai banyak pilihan dan situasi ini akan terus memberi keyakinan kepada kami untuk menghasilkan produk yang lebih bermutu dan menepati cita rasa," katanya selepas melancarkan wangian terbaru khas untuk lelaki, Him.
Eksport ke Timur Tengah
Produk SimplySiti kini merangkumi segmen produk penjagaan kulit, kosmetik dan minyak wangi.
"Pada masa ini, kami hanya membawa masuk wangian sahaja dan jika sambutan menggalakkan, beberapa segmen lain juga akan turut serta," katanya.
Jelasnya, tiga jenis minyak wangi terbarunya sahaja dipilih sebagai produk yang akan dibawa masuk ke sana kerana menepati dengan permintaan penduduk di sana.
Langkah promosi turut diperhebat apabila pembungkusan untuk wangian tersebut menggunakan bahasa Arab sebagai strategi menarik perhatian pelanggan di sana.
"Masyarakat di sana lebih suka bau-bauan, jadi adalah satu kebanggaan apabila minyak wangi keluaran SimplySiti boleh mencipta nama di sana," katanya yang memilih wangian jenis candy sebagai kegunaan harian.
Katanya, sememangnya wangian adalah satu produk yang penting untuk setiap individu, dan beliau mengakui kurang selesa jika tidak mengenakan sebarang wangian ketika berada di luar rumah.
"Siti sendiri tidak boleh keluar rumah tanpa wangian kerana ia turut mempengaruhi siapa kita kepada orang yang kita jumpa. Justeru, SimplySiti memudahkan proses itu melalui wangian dengan memberi keharuman untuk setiap personaliti dan buat pertama kalinya kami memperkenalkan wangian untuk lelaki," katanya.
Gubah lagu promosi produk
Mengambil peluang atas kehebatannya sebagai penyanyi tersohor Malaysia, Siti turut menggunakan lagu sebagai kaedah pemasaran produknya.
"SimplySiti bakal melancarkan satu muzik video khas untuk minyak wangi ini dan lagu itu digubah oleh Aubrey Suwito dan liriknya digarap oleh Ad Samad dan turut dimuatkan dalam album terbaru saya yang akan dilancarkan hujung tahun ini," katanya.
Dari segi pembangunan produk, beliau berkata, kira-kira enam hingga setahun tempoh yang digunakan untuk proses tinjauan dan penyelidikan dalam menghasilkan sesebuah produk.
"Saya dan suami adalah orang terakhir yang akan memutuskan produk atau wangian mana yang patut dikeluarkan mahupun dihantar ke kilang untuk tujuan penambahbaikan," katanya.
Bagi tujuan imej dan pembungkusan pula, kami berbelanja mencecah jutaan ringgit agar produk yang ditampilkan nampak lebih yakin, setanding jenama terkenal di hadapan pembeli.
"Dari segi penghasilan, kami menggunakan formula yang sama dengan wangian original, tetapi disesuaikan mengikut standard di sini agar boleh dijual dengan harga mampu milik," katanya.
Dua lagi segmen produknya, kosmetik dan produk penjagaan kulit juga diakui semakin mendapat sambutan menggalakkan.
Produk Simplysiti dijual secara meluas di semua cawangan Watson, Guardian, Jusco, Carrefour, Tesco terpilih Sogo KL, dan kios Simplysiti serta di Paloma, Brunei Darussalam.
Menyentuh tentang pasaran, katanya, jenama ini juga sedang dalam perancangan mencari pasaran baru, tetapi tetap menjadikan pasaran tempatan fokus utama.
"Kami dalam perancangan meneroka pasaran Indonesia yang nampak seperti senang tetapi rumit kerana masyarakat di sana lebih mementingkan produk kecantikan untuk memutihkan kulit, berbanding produk wangian," katanya.
Selain melancarkan wangian untuk lelaki, SimplySiti juga memperkenalkan wangian untuk wanita berkerjaya, dan Miss (gadis) mula berada di pasaran April lepas dengan tawaran Him RM52.90 (50ml), Her RM69.90 (100ml) dan Miss RM49.90 (50ml).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: