|
DIBESARKAN dalam keluarga yang kebanyakannya bergelar usahawan, gadis tinggi lampai ini mengakui, keadaan tersebut mempengaruhinya untuk menceburi bidang perniagaan.
Memilih bidang pemasaran sebagai cabang utama kerjayanya, pemilik nama Norniena Hanie Jalaludin, 24, ini yakin keputusannya untuk bekerja sendiri adalah keputusan yang tepat.
“Saya lebih suka bekerja sendiri, bukan makan gaji,” akuinya yang lebih mesra dengan panggilan Niena.
Menerajui Niena Marketing Services sejak Januari lalu, penglibatan Niena dalam dunia pemasaran sebenarnya sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi.
Bermula dengan membantu ibunya, Hanim Abd. Raoff, 51, Niena melalui syarikatnya kini berperanan menjadi hab yang memasarkan lebih 50 produk makanan yang dikeluarkan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negara.
“Ramai pengguna menganggap produk IKS sebagai produk kelas kedua.
“Realitinya, banyak juga produk yang dihasilkan setanding kualitinya dengan produk yang dikeluarkan oleh pengeluar berjenama besar.
“Begitupun, mereka perlukan bimbingan untuk lebih mendalami kaedah serta saluran pemasaran yang lebih berkesan. Kekurangan itulah yang Niena Marketing Services tampung.
Uji cuba
“Kami membantu para pengusaha ini dengan mengetengahkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas. Selain itu, kami juga menyediakan khidmat pelabelan dan pembungkusan yang lebih komersial dan kompetetif,” ujar anak kedua daripada tiga adik-beradik ini.
Bagi memastikan produk yang dipasarkannya berkualiti dan memenuhi piawaian yang ditetapkan, beliau terlebih dahulu akan mencubanya.
“Saya akan mencuba produk berkenaan bersama lebih kurang 20 orang responden. Sekiranya 70 peratus daripadanya mengatakan produk itu sedap, barulah kami bersetuju untuk memasarkannya,” katanya yang sudah lali dengan rutin keluar masuk pejabat, hotel, restoran mahupun kafe untuk memasarkan produk pelanggannya.
Tambahnya, untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya itu, beliau perlu rajin dan yakin dengan keupayaan produknya.
“Saya bukan sahaja memberi penerangan, malah turut membuat demo masakan kepada kumpulan pelanggan prospek.
“Produk utama yang dipasarkan ialah produk keluaran SteaQ Hub antaranya stik sirloin, ayam, kambing serta fish and chips yang datang bersama set lengkap untuk dimasak. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan.
Belajar
“Ramai yang melanggan rangkaian produk ini termasuklah hotel, hospital swasta dan restoran.
“Untuk produk stik sahaja, kami boleh meraih RM20,000 dalam sebulan,” katanya yang optimis dengan perkembangan perniagaannya.
Selain sibuk menguruskan perniagaan, fokus dan komitmen gadis manis ini turut dikongsikan dengan tugasnya sebagai penuntut jurusan psikologi di Kolej Segi Kuala Lumpur.
“Saya bertuah kerana sejak kecil dikelilingi oleh ahli keluarga yang bercita-cita tinggi.
“Sejak kecil, saya melihat ibu gigih menjalankan pelbagai jenis perniagaan untuk menambah pendapatan. Dari situ, timbul minat untuk menceburi bidang yang sama.
“Selain ibu, individu lain yang banyak mendorong saya untuk menjadi pemborong dan pengedar produk makanan halal ialah bapa saudara saya, Mohd. Razif Raoff.
“Beliau merupakan pengasas produk sejuk beku SteaQ Hub.
“Selain berkongsi pengalaman, beliau yang saya panggil Pak Long turut memberi tunjuk ajar tentang selok-belok perniagaan, terutamanya melibatkan produk sejuk beku secara komersial,” jelas Niena.
Ditanya tentang jurusan yang diambilnya, Niena yang gemar membaca memberitahu, selain berniaga, minatnya juga sudah lama terarah kepada bidang psikologi.
“Berniaga adalah cita-cita manakala psikologi ialah minat saya.
“Bagi saya, tidak salah untuk kita pelbagaikan cabang pengetahuan.
“Saya percaya, apa yang dipelajari di kolej boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
“Malah, ia dapat membantu saya untuk lebih memahami diri sendiri dan mengenali perwatakan pelanggan,” katanya yang tidak mempunyai masalah membahagikan masa memandangkan waktu kuliahnya hanya mengambil masa selama tiga ke empat jam, tiga hari dalam seminggu.
Selain berniaga dan belajar, Niena yang mempunyai darah kacukan Melayu, Punjabi dan Pakistan sering diundang sebagai model muslimah oleh beberapa syarikat penerbitan.
“Buat masa ini, selain bekerja di pejabat dan menghadiri kuliah, saya juga banyak memenuhi undangan sesi fotografi,” katanya yang juga finalis pertandingan Pencarian Gadis Popular pada tahun 2010.
Niena juga memberitahu, beliau kini sedang merancang untuk membuka sebuah pasar raya dan kafe dengan jenama sendiri.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan saya akan membuka sebuah pasar raya di bawah label Niena Halal Mart. Ia akan memasarkan produk halal yang dikeluarkan oleh pengeluar Muslim.
“Saya juga merancang untuk membuka sebuah kafe yang menawarkan bermacam-macam jenis makanan, terutamanya yang diperbuat daripada produk yang saya pasarkan di pasar raya,” katanya yang turut berniaga secara dalam talian melalui laman blognya, nienahalalmart.blogspot.com.
Bertanya tentang petua kecantikannya, Niena berkata, badan yang sihat dan bersih adalah kunci utama kecantikan.
“Kebersihan adalah perkara yang menunjangi kecantikan. Setiap hari, saya akan pastikan muka dibersihkan pagi dan malam.
“Saya lebih gemar tidak mengenakan sebarang solekan kecuali jika ada penggambaran.
“Saya juga mengamalkan minum air suam dalam kuantiti yang banyak setiap hari,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: