Wednesday, May 29, 2013
Seni pelawat buta
DIA tidak mampu melihat namun Barbara Appel, 62, yang meraba wajah arca Picasso di Muzium Seni Moden New York (MoMA) tetap berasa gembira.
Kebanyakan pengunjung yang datang ke muzium mempunyai tujuan untuk melihat pameran tetapi bagi segelintir pengunjung MoMA, kecintaan kepada seni memang benar-benar buta.
Pada setiap bulan, sekumpulan pengunjung yang mengalami masalah penglihatan akan ditemani oleh pembimbing terlatih untuk melawat muzium yang terkenal di Manhattan itu.
Bagi Appel yang kehilangan deria penglihatan secara tiba-tiba sedekad lalu, program Art inSight menjadi nadi kepada dunianya yang disangkakan telah lenyap.
"Saya rasa apa yang ada di muzium ini dekat dengan diri saya iaitu sesuatu yang banyak memberi motivasi," katanya sambil mengimbau kenangan lama ketika bekerja sebagai pereka barangan kemas.
Penerangan
Lawatan yang disertai 20 orang itu melawat pameran yang dipanggil Pengekstrakan Mencipta 1910-1925.
Kebanyakan karya tersebut merupakan lukisan yang mudah rapuh, jadi pengunjung tidak dibenarkan menyentuhnya.
Bagi kumpulan pelawat buta, mereka akan diberikan penerangan oleh petugas muzium mengenai setiap karya yang dipamerkan.
Mereka meluangkan masa yang lebih lama di ruang arca 1918 yang bertajuk pelik iaitu A Regarder (l'autre cote du verre) d'un oeil, de pres, pendant presque une heure, hasil karya Marcel Duchamp.
Terjemahan karya tersebut ialah, "Untuk dilihat (dari sisi lain kaca) menggunakan satu mata selama hampir sejam."
Petugas muzium, Jennifer Gray, menerangkan dengan terperinci tentang arca tersebut kepada seorang pelawat yang rabun. Arca itu merupakan skrin kaca yang retak dan dibentuk dengan susunan geometri.
Penyelia program, Carrie McGee berkata, lawatan khas bagi golongan tersebut mula diperkenalkan pada tahun 1970.
Kemudian, diperkenalkan program lawatan yang menunjukkan lukisan dan objek yang tidak boleh disentuh kepada pelawat golongan istimewa.
"Kami selalu berbincang untuk menjadikan pengalaman merasai pameran pelbagai deria ini dapat dilakukan dengan sebaik mungkin," kata Carrie.
Contohnya, apabila seorang pelawat buta dibawa melawat arca Efvard Munch yang bernama Scream, mereka diminta untuk meniru arca tersebut dengan membuat mimik muka terlopong, kemudian meletakkan tangan ke atas wajah arca tersebut untuk merasai rupa arca berkenaan.
"Tugas ini membuatkan saya dapat melihat karya seni dengan lebih baik kerana saya perlu menceritakan tentang setiap karya kepada mereka.
"Golongan istimewa ini menemui banyak perkara yang kadangkala kami terlepas pandang," kata seorang lagi petugas muzium, Deborah Goldberg.
Hargai seni
Selepas tamat sesi lawatan, petugas MoMA bersetuju untuk membawa Appel ke pameran Picasso di mana terdapatnya karya-karya awal pembentukan kubik oleh Fernande Olivier.
Riak pada wajah Appel menunjukkan seolah-olah dia dapat menggambarkan kubik yang disentuhnya. Dia menyentuh permukaan hidung dan pipi patung yang tidak sekata itu.
"Ini wajahnya, di sini," kata Appel.
"Cuba rasa hidung patung itu yang mancung," kedengaran suami Appel memberi cadangan.
"Saya boleh melihat. Saya boleh menghargai seni seperti dahulu. Rupanya ada deria penglihatan yang menakjubkan dimiliki manusia," balas Appel.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: