Friday, May 31, 2013

Misi terakhir Versus 2 rebut RM200,000


DARI kiri: Tomok, Rich, Lan, Mior dan Fuad yang mewakili band masing-masing dalam usaha merebut gelaran juara Versus 2 yang menawarkan hadiah wang tunai RM200,000.


SETELAH lapan minggu bersaing sesama sendiri, program pertandingan Versus 2 yang membabitkan persaingan lima buah band, akhirnya menuju kemuncak menerusi Konsert Konfrontasi Terakhir yang akan berlangsung pada malam ini.
Menampilkan antara band tempatan terhebat seperti Manifesto, Estranged, Oh Chentaku, Kyoto Protocol dan Kristal, salah sebuah band yang berjaya bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.
Tomok yang mewakili band Manifesto ketika ditemui berkata, sepanjang lapan minggu beraksi di pentas pertandingan Versus, kesemua band yang bertanding telah mempersembahkan kehebatan masing-masing.
“Secara jujurnya, saya bersama ahli kumpulan Manifesto yang lain tidak pernah meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk muncul juara memandangkan persaingan yang cukup sengit.
“Kalau ditanya tentang peluang untuk muncul juara pula, keyakinan itu memang ada dan paling penting kami perlu cuba lakukan yang terbaik untuk menewaskan empat band yang lain,” ujarnya ketika ditemui semasa saingan minggu kelapan yang berlangsung Jumaat lalu.
Meskipun Manifesto merupakan band yang paling banyak memenangi saingan battle iaitu sebanyak tiga kali, Tomok menegaskan bahawa mereka tidak boleh memandang rendah saingan band yang lain.
Ujarnya, kejayaan memenangi saingan battle paling banyak juga bukanlah jaminan buat Manifesto untuk dipilih sebagai juara kerana apa sahaja boleh berlaku semasa konsert terakhir nanti.
“Kami anggap kemenangan sebanyak tiga kali sebelum ini merupakan satu rezeki dan sudah tentu ia mampu menjadi pembakar semangat supaya misi meraih gelaran juara akan tercapai,” jelasnya yang menganggap kelima-lima band mempunyai peluang yang sama rata untuk menang.
Bagi sebuah lagi band iaitu Kristal pula berpendapat bahawa setiap band sudah melakukan yang terbaik untuk memenangi hati penonton serta dua orang juri tetap, Jennifer Thompson dan Loque.
Roslan atau lebih sinonim dengan panggilan Lan yang mewakili Kristal menyatakan mereka begitu bersungguh-sungguh setiap minggu kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk bergelar juara.
“Kalau ditanya tentang persiapan untuk saingan akhir, kami perlu bersedia lebih awal kerana cabaran yang akan ditempuhi pastinya lebih sukar dan kehebatan band yang bertanding juga perlu diberi perhatian serius.
“Namun begitu, kami ada mempunyai strategi tersendiri untuk memberikan cabaran kepada pesaing yang lain, termasuk melakukan kejutan yang pastinya tidak disangka oleh para peminat yang menonton rancagan ini nanti,” ujarnya.
Sementara itu, band Estranged yang pernah muncul sebagai juara di Anugerah Juara Lagu 2007 menerusi lagu Itu Kamu sudah menyiapkan lebih awal lagu baharu yang akan dipersembahkan ketika konsert penutup.
Diwakili oleh Richael L. Gimbang atau Rich yang juga selaku vokalis utama, dia menegaskan, kejayaan yang pernah diraih mereka sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana Versus 2 merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang berbeza.
“Saya yakin lagu baharu yang kami cipta itu pastinya akan digemari ramai, manakala untuk bergelar juara, kami tidak mahu terlalu berharap kerana ingin lebih fokus kepada persembahan nanti,” ujarnya.

MENGANGGAP sebagai band underdog, Oh Chentaku menggunakan strategi menerusi laman sosial bagi menarik lebih ramai peminat yang menyokong perjuangan mereka dalam saingan Versus 2.


Laman sosial
Sebuah lagi band yang bersaing dalam Versus 2 iaitu Oh Chentaku pula sememangnya antara band yang perlu diberi perhatian berdasarkan persembahan yang ditampilkan sepanjang lapan minggu.
Salah seorang wakilnya iaitu Mior Luqman Hakim atau Mior berkata, mereka berasa kerdil berbanding band-band yang lain kerana kurang dikenali ramai kerana mereka lebih banyak bergerak secara underground.
“Pada mulanya kami berasa agak gugup untuk bersaing dengan empat buah band lagi yang lebih dikenali ramai, tetapi lama-kelamaan kami sudah dapat membiasakan diri.
“Memandangkan Oh Chentaku kurang dikenali, beberapa strategi telah diaturkan seperti menggunakan laman sosial Facebook dan Twitter untuk menarik lebih ramai peminat dan ternyata cara sedemikian cukup berkesan,” jelasnya.
Bagi band Kyoto Protocol yang sentiasa mencuri perhatian peminat setiap minggu sehingga dilabel band pilihan, mereka menganggap masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi terakhir.
Wakil band tersebut iaitu Fuad Alhabshi berkata, mereka akan menjadikan semua komen yang diberikan oleh juri tetap setiap minggu sebagai panduan untuk memperbaiki kelemahan.
“Sudah tentu kami mengambil serius setiap yang diperkatakan oleh kedua-dua juri. Kami sedar persembahan yang ditampilan belum cukup mantap, tetapi ia tidak melemahkan semangat kami untuk muncul sebagai juara,” ujarnya.
Saingan terakhir rancangan Versus 2 yang diadakan di Space U8, Shah Alam, Selangor akan turut disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan saluran radio Hot FM pada pukul 9.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: