Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611
Geng Bas Sekolah tampil muka baru
Geng Bas Sekolah tampil muka baru. 
BAGI penonton cilik, drama bersiri popular Geng Bas Sekolah (GBS) bukanlah asing di kalangan mereka lebih-lebih lagi ia sudah pun masuk musim kelima.

Pun begitu, pastinya berita sedih bagi pengikut setia drama yang disiarkan setiap Ahad jam 11 pagi di saluran Astro Ceria 611 ini kerana episod terakhirnya bakal menemui penonton Ahad nanti.

Mengimbas mengenai GBS musim ke lima, Pengurus Saluran Astro Ceria, Hadzelynda Khairuddin memberitahu, pelbagai kelainan telah ditampilkan menerusi drama ini.

Jelasnya, meskipun barisan pelakon dari musim pertama sehingga keempat telah membawa GBS ke satu tahap, namun pihaknya mahu memastikan GBS musim lima lebih menonjol.

"Sebab itulah kita merombak semula pelakon yang ada, dari segi pemilihan pelakon ini kita mahu sesuatu yang segar dan baru dari mereka," katanya kepada Zass.

Antara pelakon bagi GBS musim lima adalah adik Harris Alif yang memegang watak Jay, Jasmine Jessica Cross sebagai Chempaka, Brendan Gabriel Lai sebagai Bobby dan Muhammad Shahzuan

Aiman sebagai DJ.

Sementara itu, watak Abang Reza selaku pemandu bas lakonan Azrul Zaidi masih dikekalkan selain penampilan istimewa Mia Sara Nasuha sebagai Orked.

Bercerita mengenai pemilihan Mia pula, akui Hadzelynda, dia dipilih bukan kerana populariti yang dimiliki Mia semata tetapi kerana bakat yang ada dalam diri pelakon comel itu.

"Mia mengakui berminat menjadi pelakon GBS dan apabila di tawarkan watak ini, dia menerima dengan gembira.

"Malah kami sebagai pihak produksi sangat berbesar hati dengan kehadirannya," katanya.

Karakter berbeza

Berkongsi mengenai watak yang diberi kepada pelakon GBS musim lima, jelas Hadzelynda, dia sangat berpuas hati dengan mutu dan kualiti lakonan yang dibawa kerana masing-masing berusaha menjadi yang terbaik.

"Seperti yang saya katakan, Mia sememangnya tidak sukar membentuk peranan yang diterima, begitu juga Harris.

"Tetapi untuk pelakon baru seperti Jessica, meskipun dia bukan berbangsa Melayu, tetapi dia dapat bertutur dengan baik.

"Kami juga terkejut apabila melihat dia bercakap Bahasa Malaysia dengan lancar," katanya gembira pelakon GBS musim lima berjaya mewarnai karakter yang diterima.

Dalam pada itu, kata Hazelynda, bekerjasama dengan pelakon GBS musim lima tidaklah sesukar yang dibayangkan.

"Walaupun mereka kanak-kanak, namun mereka sangat komited dengan kerja.

"Lebih menarik mereka ini kreatif serta berani memberi idea kepada kami, malah mereka tidak bergantung kepada skrip semata-mata," katanya.

Selit elemen komik

Sementara itu, menurut Hazelynda, GBS musim lima berbeza dari GBS musim satu hingga empat kerana wujudnya elemen komik dalam drama ini.
"Dalam satu-satu babak, terdapat elemen komik diselitkan, selain kelainan dari mana-mana GBS yang pernah disiarkan ia juga usaha kami untuk menarik minat penonton cilik menyaksikan drama ini," katanya.

Ditanya adakah akan ada GBS musim ke enam pula, katanya, terdapat banyak permintaan untuk musim seterusnya.
"Bagaimana pun ia masih dalam perbincangan dan perancangan.

"GBS lima akan berakhir Ahad ini, jadi keputusannya akan dibuat selepas itu.

"Yang pasti, jika ia diterbitkan lagi, saya harap GBS akan terus diterima pengikut cilik di negara ini," katanya.

Sedikit mengenai GBS, ia merupakan sebuah drama bersiri yang bercerita mengenai kisah penyiasatan yang tertumpu kepada kanak-kanak.