Afdlin Shauki
Afdlin Shauki
Ustaz Badlishah
Ustaz Badlishah
Heliza Helmi
Heliza Helmi
Sathia
Sathia
Afdlin terbit rancangan bicara Islamik
Program Al Cuit Sikit lebih santai, namun penuh informasi.
PEKA dengan pengisian jiwa masyarakat Islam di negara ini, pelakon, pelawak dan juga pengarah terkenal, Afdlin Shauki menerusi produksinya, Vision Work Sdn (M) Bhd menerbitkan sebuah program bual bicara berkonsepkan 'edutainment' yang diberi nama Al Cuit Sikit.

Bakal bersiaran bermula 9 Jun depan di saluran TV Alhijrah, program 13 episod ini akan bersiaran pada jam 9 malam selama 30 minit.

Mengulas lanjut mengenai program ini, Afdlin berkata, idea untuk menerbitkan rancangan ini sudah lama dibuat.

"Sebenarnya memang dah lama nak terbitkan program sebegini. Bagi saya ia pendekatan yang baik untuk mengajak penggiat seni dan tokoh agama duduk bersama berbincang mengenai topik yang berkait rapat dengan Islam mahupun isu semasa.

"Cuma masa yang terhad dan komitmen terhadap tugas lain menyebabkan ia tergendala, dalam pada itu, kita juga mahu mencari 'insan' yang sesuai untuk menjadi pengacara bersama," katanya dan memberitahu program ini berorientasikan soal dan jawab.

Dimaklumkan tentang terdapatnya elemen komedi dan sketsa dalam program berciri Islamik ini, pasti ia menimbulkan tanda tanya kerana akan dianggap tidak menghormati agama.

Namun jelas Afdlin, sudah pasti ada garis panduan yang telah ditetapkan mereka.

"Ia sekadar komedi dan sketsa ringan supaya program ini tidak terlalu serius tetapi ia tidak berlebihan dan adab-adab dalam majlis ilmu sebegini tetap dijaga supaya mendapat keberkatan," tegas Afdlin setiap topik akan diulas mengikut pandangan Islam.

Sedikit mengenai Al Cuit Sikit, setiap minggu ia akan membicarakan mengenai topik berlainan oleh pengacara bersama, pelawak, selebriti dan Ustaz yang di undang khas.

Antara pengacara bersama program ini termasuklah Afdlin sendiri, Sathia, Heliza Helmi dan Ustaz Badlishah Alauddin.

Dalam pada itu, tambah Afdlin, penglibatannya menerusi program itu bukan sekadar pengacara bersama sahaja, sebaliknya, objektif utama yang dibawa adalah untuk berdakwah kepada masyarakat.

"Banyak perkara penting yang kita ketengahkan di sini, lebih menarik ia dibincangkan bersama kami yang masih kurang pengetahuan mengenai agama Islam, dan kehadiran Ustaz pula menjadi titik punca kepada kami untuk lebih peka terhadap agama serta kaitannya dengan topik yang di bawa.

"Jadi, ia saling berkaitan dan penonton dapat melihat sejauh mana keberkesanan program ini nanti khususnya kepada masyarakat Islam mahupun bukan Islam," katanya berharap dapat berkongsi ilmu dengan penonton.

Mengungkai lebih dalam, jelas Afdlin, Islam adalah agama yang indah dan cantik, baginya, sewajarnya program yang mendedahkan mengenai agama Islam diperbanyakkan.


Buka mata masyarakat

Tidak hanya tertumpu kepada program ini, Afdlin juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak program berbentuk agama kepada penonton.

"Di Malaysia masyarakat berbilang kaum dan mempunyai pandangan Agama yang berbeza. Masalah di sini mereka tidak pernah tahu mengenai gaya hidup dan amalan Islam yang benar.

"Jadi dengan adanya program seumpama ini, ia boleh membuka mata mereka dengan mendedahkan isu-isu berkaitan Islam.
lagipun, kurang rancangan atau program yang mendedahkan perkara begini.

"Kalau adapun semuanya serius dan kurang sesuai ditonton pelbagai lapisan masyarakat kecuali umat Islam," katanya
perbincangan yang dijalankan adalah lebih santai tetapi penuh dengan pengisian.

Di aju pertanyaan mengenai pemilihan pengacara bersama, jelas Afdlin, baik Heliza, Sathia dan pengacara lain, mempunyai kredibiliti tersendiri.

"Mereka punya pengalaman dan pengetahuan yang boleh dikongsi bersama, lagipun, mereka punya idea untuk diketengahkan," katanya.

Sathia tambah ilmu

Bagi pelawak terkenal, Sathia pula, penglibatannya menerusi program ini satu kesempatan yang tidak pernah diduganya.

Akui pelakon berusia 49 tahun ini bukan mudah baginya berdamping dengan pengacara Muslim bersama Ustaz yang diundang khas untuk berbicara mengenai hal-hal Islamik.

"Memang ada topik yang kurang jelas pada pandangan mata saya, jadi di sinilah ruang saya bertanya kepada Ustaz untuk lebih memahami.

"Bagaimanapun, apa yang paling hebat sepanjang saya bersama mereka, pengalaman ini tidak dapat dibeli di mana-mana.

"Peluang seperti ini jarang datang dan ia perlu direbut, lagipun selain hal-hal agama Islam, ia juga membincangkan perkara yang berlaku di sekeliling kita khasnya di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa," katanya.

Berkongsi perasaan dilamar pihak Vision Work (M) Sdn Bhd, untuk menjadi pengacara bersama program ini, jelas Sathia, pada awalnya dia agak terkejut.

"Ini program Islamik dan ia tidak boleh dibuat main-main serta dipandang ringan.

"Mula-mula memang bimbang tetapi apabila mereka menerangkan ia lebih santai dan rilek, saya terimanya atas dasar menambah lebih ilmu pengetahuan," katanya muncul bagi tujuh episod untuk program ini.

Ditanya adakah dia tidak kekok berkomunikasi bersama pengacara lain dan Ustaz jemputan, katanya, dia gembira kerana tiada sebarang perbezaan wujud antara mereka.

"Masing-masing bebas berbicara, memberi pendapat dan bertanya soalan, jadi kami selesa bersama," katanya yang sudah berkecimpung dalam industri ini selama 30 tahun.


Pengalaman pertama Heliza

Sementara itu, bagi penyanyi manis kelahiran Akademi Fantasia (AF), Heliza Helmi, ditawar menjadi pengacara bersama dalam program ini benar-benar menguji kemampuannya dalam bidang dakwah.

Akuinya, dia cukup teruja kerana ia adalah kali pertama dia terlibat bagi program sebegini.

"Saya tidak pernah terlibat dengan program bual bicara seperti Al Cuit Sikit, saya yakin ia punya keistimewaan dan tarikan tersendiri berbeza dengan program bual bicara sedia ada.

"Lagipun, bukan sahaja golongan pendakwah tetapi, selebriti Islam dan bukan Islam turut serta dalam program ini," katanya terkejut menerima tawaran itu.
Bercerita mengenai tawaran itu, kata pelakon Syurga Cinta ini, pada awalnya dia hampir tidak dapat terlibat.

"Jadual kerja saya agak padat, bagaimanapun, saya minta pada ALLAH SWT agar memudahkan urusan saya, saya mohon kalau ini yang terbaik, berilah kepada saya.

"Dan Alhamdulillah, selepas perbincangan dilakukan, akhirnya dapat saya mengikuti program ini," katanya.


Satu pembaharuan: Ustaz Badlishah

Sempat menemu bual Ustaz Badlishah atau lebih mesra disapa Ustaz Bad mengenai program ini, jelasnya, pendekatan yang dijalankan menerusi Al Cuit Sikit sebenarnya amat baik untuk penonton.

"Ia adalah satu pembaharuan memandangkan program ini mengundang ramai pengacara bersama yang terdiri dari bidang berbeza dan penglibatan masyarakat bukan Islam.

"Tetapi haruslah kita ingat, setiap yang dibincangkan perlulah menepati syarak meskipun mempunyai unsur komedi. Sebab itulah, kehadiran saya dan Ustaz lain diperlukan dalam program ini, selain dapat 'memandu' mereka, apa sahaja hal berkaitan agama, akan kami terangkan sesempurna yang boleh," katanya meletakkan sasaran program ini kepada generasi muda.

Tambahnya, dia juga mendapat pengalaman baru apabila Sathia berkesempatan berbincang bersama mereka.

"Macam-macam soalan ditanya olehnya selain memberikan pendapat sendiri. Walaupun ada topik yang kurang sesuai di bincang bersama, tetapi ia masih boleh diterima," jelas Ustaz Bad.