Thursday, May 30, 2013

Spotify penstriman muzik percuma



MELETAKKAN hasil karya-karya band Kyoto Protocol dalam sebuah perkhidmatan penstriman muzik, Spotify membuka peluang kepada muzik mereka didengari sama ada peminat dari dalam negara atau antarabangsa.
“Kami mahu peminat tempatan yang tidak berkemampuan membeli cakera padat, dapat mendengar muzik kami secara percuma melalui Spotify Free,” kata salah seorang ahli kumpulan Kyoto Protocol, Ahmad Fuad Alhabshi.
Akui Ahmad Fuad, pasaran tradisional sememangnya boleh mendapat margin keuntungan yang tinggi, tetapi ia juga datang dengan harga yang mahal.
Kos pengedaran dan bayaran yang dikenakan oleh rekod label kerap dipersalahkan, malah pasaran tradisional tidak mesra dengan artis-artis kecil yang mahu membina nama.
Spotify membolehkan nama-nama kecil dalam bidang seni suara menempa nama dalam industri muzik dengan cara tersendiri.
Ia memberikan lebih banyak cara yang secara terus daripada penyanyi kepada peminat untuk mengakses muzik tanpa melalui orang tengah.
Selain itu, perkhidmatan muzik tersebut dapat menjadi medium untuk pendengar luar negara mendengar muzik tempatan.
Ia turut memudahkan muzik dikongsi dalam talian internet melalui laman sosial Facebook yang mempunyai pemilik akaun berdaftar kira-kira 1.1 bilion dan Twitter.
Jika Spotify berjaya menarik perhatian penduduk Malaysia dengan muat turun di telefon mahupun komputer riba yang tinggi, ia bakal menjadi satu lagi sumber pendapatan baharu bagi kumpulan muzik seperti Kyoto Protocol.
“Setakat ini, sambutan yang diterima agak baik. Populariti bar meningkat secara signifikan sejak Spotify dibuka di Malaysia.
“Itu menunjukkan kami mempunyai peminat di Malaysia dan mereka melawat Spotify untuk mendengar muzik kami,” katanya lagi.
Buat masa sekarang, Kyoto Protocol mempunyai lima buah lagu dalam Spotify yang kesemuanya daripada album debut, An Album.
Sementara itu, mereka sedang menunggu single terbaharu, KL I Love You mendapat pengesahan untuk berada dalam penstriman muzik, Spotify.
Terdapat dua cara untuk memasarkan lagu dalam Spotify iaitu melalui syarikat label muzik seperti EMI dan Sony bagi penyanyi yang mempunyai kontrak dengan syarikat rakaman.

LAGU-LAGU menerusi Spotify boleh didengar secara terus dengan hanya menstrim menggunakan telefon pintar atau tablet.


Bagi penyanyi indie yang tidak terikat dengan syarikat rakaman boleh berurusan dengan senarai label aggregator oleh Spotify.
Penstriman muzik
Spotify merupakan perkhidmatan penstriman muzik komersial dengan pengurusan hak cipta digital. Ia mengandungi lebih 20 juta buah lagu dan matlamatnya adalah supaya semua orang dapat mendengar muzik dengan mudah.
Spotify boleh diakses dengan menggunakan beberapa versi iaitu pada komputer riba atau peribadi, tablet mahupun telefon pintar.
Ia merupakan sebuah platform muzik dalam talian yang membolehkan para pencinta muzik mendengar lagu secara percuma atau pada harga rendah dan dalam masa yang sama mendapat kualiti audio terbaik.
Spotify bukanlah seperti laman muat turun fail seperti 4Shared, Torrent atau Vaze, tetapi lagu-lagu boleh didengar secara terus dengan perlu distrim sahaja.
Ia seakan-akan laman video, YouTube, cuma Spotify dikhususkan untuk muzik dan boleh digunakan secara luar talian (offline) bergantung kepada jenis akaun.
“Kami mahu semua muzik di dunia ini boleh diakses dengan mudah tanpa mengira peranti. Jika peti sejuk boleh dengar muzik, kami mahu Spotify di situ,” seloroh Ketua Pasaran Baharu Spotify (Rantau APEC), Sriram Krishnan, 29, ketika ditemui di Le Meridian, Kuala Lumpur.
Walaupun Spotify merupakan medium untuk mendengar lagu generasi terkini, namun ia masih lagi menepati selera pendengar muzik yang suka mengadun banyak lagu dalam satu fail.

SRIRAM mengakui pengguna boleh memuat turun lagu dengan mudah dan murah menerusi Spotify.


Ia dikenali sebagai Mixtape, terma tersebut muncul ketika zaman pita kaset dahulu sekitar tahun 80-an. Pendengar pasti merakam lagu kegemaran yang didengar dalam radio pada sebuah pita kosong.
Konsep yang sama turut diguna pakai dalam Spotify apabila pendengar boleh menarik lagu-lagu yang diminati dalam fail peribadi, Playlist supaya mudah untuk melakukan pencarian pada kemudian hari.
Seiring dengan perkembangan laman sosial, Spotify juga boleh dikongsi bersama dengan senarai rakan Facebook atau melakukan kemas kini Twitter.
Akaun Spotify
Barangkali mencari lagu kegemaran dalam sebuah pusat data yang mengandungi berpuluh-puluh juta buah lagu sesuatu yang sukar.
Dengan Spotify, ia mengandungi label pencarian yang mudah dengan menaip kata kunci. Pencarian juga boleh dibuat berdasarkan genre, artis, album atau negara.
Jika itu pun tidak dapat membantu, pendengar boleh menjadi pengikut artis-artis kegemaran, maka segala lagu baharu yang masuk boleh dikemas kini.
Kemas kini di Facebook juga dibuat jika pendengar mendengar lagu di Spotify, rakan-rakan lain boleh mendengar secara terus dengan menekan butang di Facebook sahaja.
Dalam Spotify juga mempunyai fungsi Radio yang membolehkan senarai lagu dipilih dan disusun secara rawak untuk didengar, manakala untuk pengguna premium, boleh melangkau lagu yang tidak diminati.
Spotify boleh didaftar dengan mudah melalui akaun Facebook, terdapat dua jenis akaun iaitu percuma dan premium.
Akaun percuma boleh didapati dalam versi komputer riba dengan muzik distrim secara dalam talian berserta iklan antara tiga hingga empat minit setiap jam selain panel iklan pada aplikasi Spotify.
Bagi premium pula, iklan akan diketepikan dan boleh menikmati muzik secara luar talian. Bagi penstriman menggunakan aplikasi mobil, hanya akaun premium boleh digunakan. Spotify premium berharga RM14.90 sebulan.
Setakat ini, sebanyak 24 juta pengguna berdaftar di seluruh dunia, manakala 6 juta daripadanya merupakan pengguna berdaftar Spotify premium.
Bukan setakat iklan dapat diketepikan dengan melanggan akaun Spotify premium, tetapi kualiti muzik juga dipertingkatkan.
Bagi Spotify percuma, sebuah lagu mempunyai saiz lebih kurang 160 kilobait per saat iaitu lebih baik berbanding lagu muat turun percuma atau cetak rompak sekitar 80 hingga 90 kilobait per saat.
Bagi Spotify premium pula, kualiti lagu yang didengari mencapai 320 kilobait per saat.
“Saiz tersebut menyamai lagu yang didengari dalam cakera padat original sekali gus penghayatan terhadap muzik seperti bunyi perkusi jelas kedengaran,” ulasnya.
Tidak perlu risau jika pendengar melakukan kemas kini dalam Playlist pada versi komputer, ia boleh diselaraskan dan diseragam serentak pada semua peranti.
Gabungan muzik, internet dan mobil telah menyebabkan dunia menjadi semakin global serta mudah diakses pasti merisaukan ibu bapa kerana banyak lagu di luar negara mempunyai lirik yang agak melampau.
“Anda hanya perlu menggunakan simbol Explicit untuk mengawal fail Spotify itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: