Monday, May 27, 2013

Nilai warisan seni oud

BUKU Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah dikaryakan hasil daripada pengalaman lebih 10 tahun Raja Zulkarnain bermain oud.


MEMBUKA helaian demi helaian buku bertajuk Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah amat mengujakan terutamanya bagi sesiapa yang mungkin tidak mengenali apa itu oud.
Merupakan salah satu peralatan muzik klasik dari Asia Barat, oud dalam bahasa Arab bermaksud kayu iaitu ranting atau tangkai mudah lentur. Dalam erti kata lain, ia bermakna sepotong kayu.
Di nusantara termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura, oud juga dikenali sebagai gambus. Ironinya, oud dan gambus ialah dua peralatan muzik berbeza meskipun rupanya hampir sama.
Menurut penulisnya, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 41, buku itu dihasilkan bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai oud dengan lebih mendalam kepada masyarakat.
“Di Malaysia, kita mengenali oud sebagai gambus yang popular di Johor, namun hakikatnya ia dua benda yang berbeza. Atas sebab itulah saya mengambil inisiatif menulis buku Oud Warisan Seni Dari Timur Tengah berdasarkan pengalaman sepanjang belajar kesenian oud di Mesir,” kata Raja Zulkarnain ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1971, Raja Zulkarnain mula mengenali oud ketika melanjutkan pengajian di Institut Persembahan Muzik Kontemporari, London, England dalam jurusan Persembahan Gitar selama dua tahun bermula 1998 hingga 2000.
Selepas tamat belajar, Raja Zulkarnain masih menetap di London dan ketika itulah beliau terpandang oud di sebuah kedai muzik di sana.
“Pandangan kali pertama terus membuatkan saya jatuh cinta lantas membelinya pada harga RM1,800. Kemudian, pemilik kedai memperkenalkan saya dengan guru muzik dari Iraq yang mahir dalam kesenian oud.
“Apabila pulang ke Malaysia pada tahun 2003, saya bekerja sebagai ahli muzik di Majlis Perbandaran Subang Jaya. Di situlah saya terjumpa dengan Allahyarham Fadzil Ahmad yang digelar Raja Gambus yang seterusnya melantik saya menjadi tutornya di Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara),” terang Raja Zulkarnain.
Pada 2004, Raja Zulkarnain merantau ke Kaherah, Mesir selama tiga bulan untuk mendalami muzik di sebuah tempat bernama Bayt el-Oud Oud. Ia merupakan sekolah pondok untuk sesiapa yang berminat mempelajari kesenian oud.

CINTA Raja Zulkarnain terhadap alat muzik oud membawanya banyak mengembara ke Mesir.


Selepas itu, setiap tahun Raja Zulkarnain tidak pernah melepaskan peluang untuk berbuat demikian apabila tiba cuti semester di Aswara. Di sana dia banyak menimba ilmu tentang oud dari Naseer Shamma, seorang guru muzik berpengalaman dari Iraq, Nehad Sayed dan Mustafa Antar (Mesir).
“Boleh dikatakan, semua bahan yang diperoleh dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun termasuk sejak saya berada di London.
“Buku ini mengemukakan satu informasi padat berkenaan alat muzik oud untuk memberi pendedahan dan pengetahuan khusus dalam kaedah pembelajaran serta permainan yang lebih teratur,” jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Merangkumi beberapa bab termasuk sejarah asal, cara pembuatan, gaya permainan dan teori muzik dari Asia Barat, buku itu sesuai untuk dibaca oleh semua penggemar alat muzik unik tersebut.
Buku itu telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan mula dipasarkan pada Januari lalu. Ia dijual pada harga RM35 senaskhah di Semenanjung Malaysia manakala RM40 bagi Sabah dan Sarawak.
Untuk sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Raja Zulkarnain melalui e-mel di zulkarnainyusof@gmail.com atau laman sosial Facebook di group page Oud: Warisan Seni Dari Timur Tengah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: