Sapuan Selan, 65, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu dia berseorangan sedang membersihkan kawasan persekitaran kebunnya.
“Semasa sedang mencangkul secara tiba-tiba cangkul saya terkena objek besi dan apabila saya lihat lebih dekat objek itu alangkah terkejutnya apabila mendapatinya adalah sebutir bom lama atau lebih dikenali sebagai periuk api.
“Saya percaya bahan letupan ini digunakan pada zaman darurat kerana kejadian yang sama pernah berlaku di kawasan kebun lain di sini,” katanya.
Sapuan berkata, bimbang yang periuk api itu boleh meletup dia mengambil keputusan untuk membiarkannya di kawasan berkenaan sementara menunggu kehadiran pihak berkuasa.
Katanya, dia bersyukur kerana tidak tidak meneruskan kerja mengutip buah kelapa sawit, jika tidak berkemungkinan meletup dan mencederakan dirinya.
Tambahnya, dia kemudian memberitahu rakan yang berada di kawasan berdekatan sebelum menghubungi polis untuk menjalankan pemeriksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan ketika mengesahkan penemuan bom itu berkata, pihaknya percaya bom yang masih aktif itu adalah peninggalan zaman perang.
“Sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor memeriksa tempat kejadian itu kemudiannya memusnahkan bom lama berkenaan lebih kurang tujuh jam kemudian,” katanya.
Pada masa sama, Nordin turut menasihati orang ramai supaya melaporkan penemuan bom lama kepada pihak berkuasa segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Jika terjumpa bahan letupan lama, jangan sekali-kali mengusiknya kerana ia mungkin berbahaya,” katanya yang turut memaklumkan kejadian yang sama pernah berlaku pada bulan Januari yang lalu di lokasi berlainan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: