Monday, May 27, 2013

Berlakon bukan sebab duit



KERJAYA tetap sebagai penganalisis pelaburan di sebuah bank terkenal di ibu kota Kuala Lumpur memaksa pelakon Redza Minhat bijak menguruskan waktu dan membahagikan dua dunia.
Buktinya, sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini memaksa bintang utama filem KIL itu memperuntukkan seketika ruang masa selepas waktu pejabat untuk ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Melewati pukul 7 malam, Redza atau nama sebenarnya Shah Redza Minhat, 30, tiba bersama pasangan pelengkap filem KIL, Cristina Suzanne Stockstill.
Pastinya kekangan masa yang merantai Redza melewati perjalanan seninya selama lebih lima tahun menyebabkan ramai pihak melabelkan pelakon kelahiran Ayer Tawar, Perak itu sebagai cerewet.
Menjelaskan perkara itu, kata Redza, dia terpaksa meletakkan diri dalam situasi yang tidak terlalu terbuka kerana lakonan bukan kerjaya utamanya.
"Saya bukan cerewet tetapi saya mempunyai tanggungjawab lain selain dunia lakonan. Tengok sahaja fotografi hari ini, kita terpaksa buat selepas pukul 7 malam," getusnya.
Ditanya pula sejauh manakah keterbukaan Redza berhubung kisah peribadi, keluarga dan dunia lain selain berlakon, jawab Redza, dia meletakkan sedikit batasan kepada peminat dan media.
"Perkara peribadi saya letakkan sedikit saja toleransi untuk dipaparkan kepada umum kerana saya tidak begitu selesa membincangkannya kepada umum.
"Tiada apa-apa pun yang menarik mengenai kehidupan saya. Hidup saya normal seperti orang lain, kalau tiada projek teater atau filem saya akan meluangkan masa bersama keluarga, "tuturnya.
Tambah Redza: "Tapi mahu atau tidak orang akan mengenali saya juga akhirnya dan saya perlu menjaga kelakuan serta lebih berhati-hati."
Bagi yang terlepas perkembangan kehidupan Redza, pelakon yang terkenal dengan watak Faqir menerusi filem Pisau Cukur itu telah mempunyai seorang cahaya mata bernama Ali yang kini berusia setahun hasil perkongsian hidup dengan Aidira Khaidir dua tahun lalu.
Kerja percuma
Menyeimbangkan dua dunia iaitu berlakon dan seorang pekerja profesional di sebuah institusi kewangan kata Redza tidak susah asalkan didorong oleh minat.
"Sesetengah orang akan bercuti pada hari minggu tapi tidak bagi saya kerana hanya waktu itu saya berpeluang melakukan perkara yang saya suka iaitu berlakon.
"Saya berlakon bukan untuk duit. Malah, banyak projek saya lakukan secara percuma kerana minat. Kerja tetap saya adalah prioriti. Kadangkala saya terpaksa menolak lima tawaran serentak dalam satu-satu masa," jelasnya.
Redza menyifatkan berlakon memberikannya kepuasan dan pengalaman yang sukar diperoleh daripada bidang lain.
"Seni lakonan memuaskan hati saya dan mencipta kemahiran yang saya tidak boleh dapat dari tempat lain malah berlakon memberikan kesan luar biasa untuk berfikir lebih meluas. Bagi saya, seni itu boleh belajar.
"Saya kagum dengan individu yang hebat berlakon kerana bidang itu membentuk keyakinan dan mencipta perspektif serta jaringan sosial baharu," ujar Redza yang tidak menyifatkan berlakon sebagai kerja separuh masa.
REDZA bergandingan dengan aktres jelita, Cristina Suzanne menerusi filem KIL.


KIL
Berdebar dalam masa sama takut menantikan filem pertama yang meletakkan Redza dalam posisi pelakon utama tidak melemahkan semangatnya untuk terus terbabit dalam bidang seni.
"Banyak reaksi telah timbul sejak filem KIL ditayangkan kepada pihak media. Ada yang mengatakan muka saya dan Cristina terlalu urban dan intipati cerita yang tidak sesuai dengan masyarakat Timur.
"Namun, saya tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana prinsip saya, selagi penonton tidak menyaksikan sendiri sesebuah naskhah filem jangan sesekali membuat spekulasi. Bayar (tiket) dulu barulah kritik!" tegasnya.
Kata Redza sesebuah filem yang mengutip hasil jualan pecah panggung tidak menentukan sesebuah karya itu bagus, memandangkan industri filem tiada kompas tetap untuk dijadikan panduan.
"Kerjaya sebagai pelakon sebenarnya untuk memuaskan hati pengarah, bukannya penonton. Pengarah mengawal segalanya dan penonton tidak boleh terlalu mudah untuk menilai sesebuah filem itu bagus atau tidak.
"Filem tidak menarik adalah cita rasa, bagus atau tidak adalah objektif," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: