Wednesday, May 29, 2013

Sewa basikal diperkenalkan di New York


SEORANG penyewa lelaki mengeluarkan basikal yang disewanya dari sebuah stesen dekat Dataran Union di New York kelmarin.


NEW YORK - Program perkongsian basikal terbesar di Amerika Syarikat (AS) dilancarkan kelmarin yang dibiayai oleh pihak swasta.
Inisiatif tersebut bermula dengan 6,000 buah basikal yang ditempatkan di lebih 300 buah stesen.
Pihak pentadbiran di sini turut merancang memperluaskan program itu merangkumi sehingga 10,000 basikal di 600 lokasi di Manhattan, Brooklyn dan Queens, sekitar kota metropolitan ini.
Menerusi program tersebut, orang ramai boleh menggunakan basikal dari mana-mana stesen selama 45 minit dan mengembalikannya di rak basikal yang disediakan.
"Kami kini memiliki rangkaian pengangkutan baharu tanpa perlu membelanjakan wang pembayar cukai," kata Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg pada satu sidang akhbar.
"Program ini antara lebih 500 sistem perkongsian basikal yang terdapat di seluruh dunia," tambahnya.
Pesuruhjaya Pengangkutan New York, Janette Sadik-Khan pula berkata, seramai 15,000 orang telah mendaftarkan diri untuk program perkongsian basikal tersebut.
Bagi memastikan inisiatif itu berjalan lancar, pentadbiran bandar raya ini telah membina laluan-laluan basikal sepanjang beberapa ratus kilometer di sini.
Program tersebut turut bertujuan untuk mempromosi aktiviti berbasikal sebagai alternatif yang sihat dan mesra alam berbanding memandu kereta.
Program yang dikenali sebagai Citi Bike itu mengenakan bayaran tahunan sebanyak AS$95 (RM288.94) untuk mengayuh basikal selama 45 minit.
Bermula pada 2 Jun depan, para penunggang dibenarkan membeli pas basikal 24 jam pada harga AS$10 (RM30.41).
Harga pas basikal untuk tujuh hari pula akan dikenakan bayaran AS$25 (RM76.03).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: