|
KEHIDUPAN yang sedang dikongsi oleh Dira Abu Zahar bersama suaminya Helmi Yusof tidak banyak bezanya dengan pasangan artis lain. Dira seorang pelakon manakala suaminya Helmi, seorang pengarah sinematografi. Industri hiburan ini menyatukan dan menjadikan mereka anak seni yang tegar.
Jika tidak bercakap tentang keluarga dan perancangan masa depan bersama, lakonan, kerja pembikinan drama dan filem ialah makanan dalam pertuturan harian mereka. Keluar daripada bidang seni, pasangan itu berkongsi satu lagi kecenderungan iaitu permotoran.
Sesuatu yang menarik, hujung Mei dan Jun 2013 menjadi satu tempoh yang mengujakan buat pasangan itu. Bertahun-tahun menjadi pekerja filem yang tidak perlu bercakap tentang kerjanya yang selama ini dilihat tetapi menjadi hak individu lain untuk didebatkan, kali ini giliran Helmi berada di depan. Kerjanya tidak terhenti sebagai pengarah sinematografi filem berjudul Bikers Kental bahkan itulah filem pertama yang menguji kemampuan Helmi di kerusi pengarahan.
"Saya cuma tukang bancuh air untuk dia (Helmi) dalam filem itu. Saya tiada hak untuk masuk campur dalam kerjanya," celah Dira sementara pertemuan bersama mereka di Red Garage yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Rabu lalu baru sahaja hendak bermula.
Belum sempat memanjangkan cerita, Helmi pula menyampuk: "Tapi dia (Dira) tetap penyuntik semangat yang menyokong emosi saya sepanjang pembikinan filem itu."
Dira tidak hanya goyang kaki sementara suaminya sibuk dengan promosi Bikers Kental yang masuk pawagam Khamis lalu. Pada waktu yang sama, dia mempunyai produk besar untuk dipersembahkan. Selain filem terbaharunya Lari bersama Aaron Aziz akan masuk panggung 6 Jun nanti, drama bersiri mega lakonannya, Dahlia kini sedang ditayangkan di Astro Mustika. Dua tahun selepas pembikinan, peranan kecil yang dimainkan bersama Redza Minhat dan Cristina Suzanne menerusi filem Kil juga terhidang untuk ditatap pencinta filem menjelang 30 Mei nanti.
Kalian berdua masing-masing ada material besar untuk dipersembahkan, rasanya senario begini kali kali pertama berlaku kepada kalian berdua. Komen kalian?
HELMI YUSOF (H): Itu betul. Kebetulan pula semuanya macam bertimpa-timpa. Saya sibuk dengan Bikers Kental, Dira pula ada promosi Kil dan Lari. Bulan Mei dan Jun ini buat jadual kami jadi huru-hara tapi seronok. Kami ada material untuk dipersembahkan tapi kami masih boleh urus masa untuk berjumpa.
|
DIRA ABU ZAHAR (D): Saya lihat ini juga satu senario yang sihat. Kami bukan nak berlawan filem siapa lagi bagus tapi peluang begini bagus. Saya tak jangka Lari akan ditayang secepat ini, saya juga baru selesai penggambaran drama Dahlia. Penat dua bulan di lokasi tambah pula dengan promosi filem. Bagus sebenarnya, kiranya ini kemunculan semula saya selepas setahun berehat gara-gara satu kes dahulu. Kil pula sudah lama diperkatakan. Jadi, sekaranglah masanya.
Anda berdua dalam dua karier berbeza, bagaimana kalian melihat pencapaian masing-masing?
D: Sebagai isteri, saya selalu melihat Helmi sebagai mentor yang selalu menjadi inspirasi kepada saya, saya banyak menjadi sumber inspirasi bila bercakap bagaimana hendak menjadi pembikin filem yang bagus. Dia seorang yang pentingkan teknikal, penting baginya guna istilah yang betul jika bercakap tentang bahasa filem, tak boleh main suka-suka sebab dia orang yang pergi sekolah filem, saya pula baru masuk sekolah filem. Dia tegas bila berkerja dan saya tak ada kuasa untuk masuk campur dalam urusan kerja dia. Saya cuma perhatikan dia dan ambil semua itu sebagai satu proses pembelajaran. Sekarang saya bangga dengan dia, daripada seorang pengarah sinematografi, orang yang lama dan rasa banyak daki dalam industri, dia sudah jadi pengarah filem. Saya lihat gambaran sebenar tentang pembikinan filem daripadanya.
|
H: Semasa kami kenal, Dira belum ada filem pun lagi. Lepas kahwin hujung 2011, Dira keluar dengan filem pertamanya, Untuk Tiga Hari, lepas itu dia ada filem lain, Chow Kit, sekarang Lari, akan datang pula Longkai dan Sejoli. Daripada pelakon televisyen, dia jadi pelakon filem. Dia ada perkembangan walaupun saya tiada banyak masa tengok lakonan dia tapi kami banyak cakap pasal lakonan juga. Saya lihat penyatuan ini banyak lengkapkan lagi hidup kami. Bertikam lidah itu normal. Rasanya impian Dira untuk jadi heroin filem hampir tercapai dalam Lari.
Helmi anda dari bermula sebagai jurukamera kemudian pengarah sinematografi dan sekarang jadi pengarah filem. Bolehkah pengarah sinematografi buat kerja tanpa ilmu ?
H: Ilmu tak pernah cukup tapi saya nak buat satu anjakan paradigma dalam hidup. Saya nak capai benda baharu. saya sudah bekerja dengan pengarah-pengarah macam Afdlin Shauki, Erma Fatima, James Lee dan ramai lagi. saya perhatikan kerja mereka dan mahu buat filem dengan resipi saya sendiri. Dahulu saya terjemah skrip dalam bentuk visual filem, sekarang kerja saya bertambah saya kena arahkan pelakon pula.
D: Saya agak terperanjat kerana Helmi yang saya kenal ialah individu yang bekerja di bahagian teknikal, dia orang teknikal. Terfikir juga bagaimana dia nak mengendalikan pelakon tapi selepas tengok naskhah yang telah siap, boleh tahanlah. Dia jaga bab kesinambungan kerja dia. Agak mengejutkan juga dan dalam masa yang sama saya tahu dia kerja keras untuk elakkan sesuatu yang klise. Dahulu masa jadi DOP (pengarah sinematografi) dia tak pernah nak bercakap dengan media macam sekarang. Inilah satu-satunya fotografi kami bersama media selepas fotografi sebelum kahwin dahulu.
|
Bagaimana motosikal kuasa besar merapatkan kalian?
H: Motosikal jadi bahan untuk kami untuk bercakap, pergi konvoi bersama kalau ada waktu senggang. Sebenarnya hobi ini boleh kongsi dengan keluarga.
D: Kami jenis selamba jadi kalau tiba-tiba dia nak beli jaket atau topi keledar baru saya faham dan diamkan sahaja walaupun tahu benda-benda itu mahal. Helmi juga buat saya jadi lebih kenal banyak motosikal lain selain Harley Davidson dan Chopper. Sebenarnya mat motor, yang bawa superbike atau Harley pun boleh jadi kawan walaupun masing-masing bawa motosikal berbeza.
Motosikal yang anda miliki ketika ini?
H: Kami tak mampu nak ada lebih daripada sebuah, sekarang saya pakai Ducati Hypermotard. Dahulu saya pun naik kapcai juga. Tahun 1998 saya beli Cagiva, kemudian Kawasaki (2008) dan KTM.
D: Saya masih setia dengan Harley Davidson, sekarang Harley Davidson XRX.
Jadi, genre road movie dalam Bikers Kental dipilih kerana ia dekat dengan jiwa anda?
H: Untuk filem pertama, rasanya genre ini yang dekat dengan saya. Ini jiwa saya. Saya nak kongsi pengalaman dan nilai positif sukan bermotosikal ini. Untuk filem akan datang, mungkin kecenderungan saya akan berbeza. Saya juga suka komedi dan guru saya dalam pengarahan tentu Afdlin Shauki.
D: Saya juga ada nasihatkan dia supaya jujur dengan diri sendiri, buat apa yang paling dekat dengan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: