Wednesday, May 29, 2013

Masih terima babak romantis



TINGGAL beberapa hari sahaja lagi hero drama Sebenarnya Saya Isteri Dia, Izzue Islam bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang juga merangkap pengurus peribadinya, Awin Nurin.
Tanggal 2 Jun 2013 dipilih oleh Izzue dan tunangnya untuk melangsungkan perkahwinan yang bakal dibuat secara sederhana di Shah Alam, Selangor.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan yang ditemui Kosmo! pada penggambaran filem Suami Aku Ustaz di bandar Melaka kelihatan lesu dan tidak bermaya.
Diajukan persoalan itu kepadanya, pelakon yang juga penyanyi kumpulan Forteen itu mengakui kurang sihat kerana begitu sibuk menjalani penggambaran dan dalam masa yang sama dia harus membuat persiapan perkahwinannya.
Izzue juga tidak lokek bercerita sedikit mengenai persiapan perkahwinannya biarpun dirinya kurang sihat dan juga dalam keadaan ruang waktu yang begitu terhad.
Bagaimanapun, dia kini telah bersedia untuk memegang status suami dan bertanggungjawab terhadap seorang wanita yang akan menjadi pelengkap hidupnya.
“Sehingga kini tinggal lima peratus sahaja persiapan perkahwinan kami, itupun hanya beberapa perkara-perkara kecil yang perlu diselesaikan.
“Kami memilih tema moden yang mana saya akan memakai blazer dan dia (Awin) akan memakai gaun,” jelasnya yang kelihatan berseri sebagai seorang bakal pengantin biarpun kurang sihat.
Ceritanya lanjut, majlis akad nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi manakala majlis resepsi pula akan berlangsung pada pukul 2 petang.
Enggan mendedahkan dimanakah majlis perkahwinannya bakal berlangsung, pelakon berusia 23 tahun itu juga mengakui akan menjemput pihak media pada hari bahagianya itu.
Izzue juga mengakui masih belum merancang untuk pergi berbulan madu kerana hanya bercuti seminggu sahaja sebelum kembali memberi fokus kepada kerjayanya.
“Saya mula bercuti 29 Mei sehingga 5 Jun sahaja. Selepas itu saya akan kembali menjalani penggambaran yang tertangguh sepanjang saya mengambil cuti kahwin,” ujarnya lagi.
IZZUE dan bakal isterinya, Awin sering berbincang untuk mencari buah pandangan yang dapat menjernihkan hubungan antara mereka.


Babak romantis
Ditebak bagaimana kelangsungan dirinya sebagai anak seni selepas mendirikan rumah tangga kelak, ungkap Izzue, dia akan berlakon dan menyanyi seperti biasa, manakala Awin pula masih bertindak sebagai pengurus peribadinya.
Diajukan pula bagaimanakah jika dia ditawarkan dengan babak-babak romantis seperti berpegangan tangan, berpelukan atau babak di atas katil, Izzue mendedahkan, mereka (dia dan Awin) ada berbincang mengenai perkara itu. Awin terbuka mengenai perkara itu (babak romantis) asalkan ia tidak melampau batas.
“Kami ada berbincang mengenai perkara itu. Awin masih membenarkan saya melakonkan babak romantis, dan saya juga tidak melihat ada masalah di situ, asalkan saya sendiri tahu batasan saya.
“Malah, sebelum berkahwin saya juga tidak pernah melakonkan babak-babak yang melampau batas seperti babak di atas katil,” jelasnya jujur.
Izzue kemudian menambah, dia juga sedar selagi berada dalam Malaysia, perbuatan seperti itu (babak-babak di atas ranjang) sangat sensitif dan kalau boleh dia akan cuba mengelak melakonkan babak seumpama itu.
Forteen
Acap kali menerima tawaran berlakon, bagaimanapun akui Izzue dia masih bersama Forteen dan kini mereka sudah mengeluarkan single ketiga berjudul Kita selepas single Seperti Dulu dan juga Berdua Bersatu.
Pengakuan Izzue itu disebabkan dia seringkali dikritik oleh peminatnya yang mengatakan dia lebih sesuai berlakon daripada menyanyi.
“Memang ada yang cakap lebih baik saya berlakon daripada menyanyi. Tetapi ada juga peminat saya yang suka saya menyanyi daripada berlakon. Saya hormati pandangan mereka (peminat). Begitupun, saya meminati kedua-duanya dan akan terus berlakon dan bersama Forteen,” tegasnya.
Mengulas mengenai single terbaharu Forteen iaitu Kita, Izzue memberitahu, single tersebut juga dijadikan sebagai lagu tema untuk drama popular Sebenarnya Saya Isterinya lakonannya bersama aktres Tiz Zaqyah.
MENURUT Izzue, persiapan perkahwinannya hanya tinggal baki lima peratus lagi.


Berkonsepkan balada, lagu yang kini meniti di corong-corong radio itu juga dihasilkan oleh komposer Edry Abdul Halim.
Kawan baik Nora Danish
Terlanjur bertemunya di set penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue juga bercerita tentang wataknya dalam filem yang turut dibintangi oleh Adi Putra dan Nora Danish itu.
Ujar Izzue, dalam filem Suami Aku Ustaz, dia membawa peranan sebagai kawan baik Nora Danish yang membawa watak sebagai Alisa.
“Saya memegang watak Johan iaitu kawan baik kepada Alisa (lakonan Nora Danish). Mereka sentiasa bertemu tetapi tidak melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Malangnya, ibu bapa Alisa tidak menyukainya dan memaksanya berkahwin dengan sepupunya yang merupakan seorang ustaz,” jelasnya.
Mengulas lanjut, ungkap Izzue, Johan kecewa dengan perkahwinan Alisa kerana dia menaruh hati kepada wanita itu.
Mengakui watak Johan tidak terlalu berat, bagaimanapun Izzue tetap melakukan yang terbaik agar watak Johan memberi impak yang besar kepada penonton.
Selepas menjalani penggambaran filem Suami Aku Ustaz, Izzue mengakui akan ke set penggambaran Suhan Moivie berjudul Sahabat.
Selain Izzue sebagai tonggak utama, drama tayangan Astro Ria itu juga membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Liyana Jasmay dan juga Sara Ali.

 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: