Tuesday, May 28, 2013

Dituduh guna dokumen palsu


MOHD. NIZAM diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dakwaan menggunakan dokumen palsu.


KUALA LUMPUR - Seorang anak bekas timbalan menteri semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung pelaksanaan projek pembinaan jalan di Batu Pahat, Johor.
Mohd. Nizam Lajim, 31, didakwa dengan curang telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping lampiran bertarikh 25 Julai 2012 bertajuk Senarai Syarikat Yang Dicadangkan Untuk Melaksanakan Projek Membina Jalan Mukim 6 Linau dan Mukim 7, Tg. Semberong, Batu Pahat, Johor Secara Tender Terhad yang diperakukan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Syarikat yang disenaraikan ialah Moral Bahagia Sdn. Bhd., Prestasi Reka Sdn. Bhd., Satria Mara Sdn. Bhd., Sanjung Sempurna Sdn. Bhd., Pertama Makmur Sdn. Bhd., Mansashi Sdn. Bhd., H & A Construction Sdn. Bhd., Nisa Consolidated Sdn. Bhd., Bina-Mas Construction Sdn. Bhd. dan Landscape Sdn. Bhd.
Anak bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Berjaya Starbucks Coffee, Lot No. G40, The Mall, No. 100, Jalan Putra dekat sini pada 3.40 petang 8 Ogos 2012.
Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: