|
SUASANA di tapak perniagaan Warisan Seni Haji Kasim Enterprise di Kampung Pulai, Merlimau, Melaka kelihatan sibuk.
Empat lelaki sedang tekun menyiapkan kompang yang dipesan pelanggan. Peluh membasahi tubuh mereka yang bekerja sejak awal pagi lagi.
Bunyi bising aktiviti mengetuk, memahat serta memesin kayu jelas kedengaran manakala bau hamis kulit kambing pantas menusuk hidung.
Alias Besah, 50, yang dari tadi leka menyiapkan kemasan terakhir sebuah kompang, menghentikan kerjanya dan menyapa kru Jurnal.
"Awak baru sampai dari Kuala Lumpur tentu penat. Berehatlah dulu kemudian baru kita bercerita," tutur Alias kepada wartawan Jurnal.
Alias merupakan Pengurus Operasi Warisan Seni Haji Kasim. Dia mewarisi syarikat membuat kompang itu daripada pak ciknya, Kasim Limat selepas lelaki itu meninggal dunia pada tahun 1990-an.
Kambing betina
Syarikat berskala kecil ini telah menghasilkan kompang untuk pasaran tempatan sejak lebih 30 tahun lalu. Ia juga menghasilkan alat muzik tradisional lain seperti jidur, rebana dan gendang silat.
Menurut catatan sejarah, kompang mendapat tempat di negara ini hasil perdagangan bangsa Arab di Tanah Melayu pada zaman Kesultanan Melaka.
Ada juga teori mengatakan alat muzik ini dibawa oleh pedagang India Muslim atau melalui Jawa pada abad ke-13.
Kompang biasanya dimainkan semasa perarakan, kenduri kahwin dan majlis tertentu.
"Dahulu syarikat ini menumpukan kepada perniagaan membuat parang. Namun, bapa saudara saya, Kasim, ingin beralih arah dengan menghasilkan kompang pula.
"Jadi dengan menaiki motosikal jenis Honda C70 dari Merlimau, dia belajar ilmu membuat kompang di Muar, Johor dengan seorang pembuat kompang terkenal.
"Selama dua tahun dia berulang-alik sejauh 20 kilometer ke Muar pada setiap pagi. Dia belajar pada setiap hari Isnin hingga Rabu. Begitulah rutinnya selama dua tahun," cerita Alias.
|
Alias sudah mengendalikan perniagaan membuat kompang ini selama kira-kira 20 tahun.
Menghasilkan sebuah kompang tidak semudah yang disangka.
"Kebiasaannya sebuah kompang mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan. Ia dimulakan dengan proses melarik kayu leban untuk dijadikan baluh. Kayu itu yang terkenal dalam pembuatan produk kraf perlu dikeringkan terlebih dulu.
"Proses larikan menggunakan mesin dibuat secara berhati-hati kerana tekstur kayu yang lembut. Kalau silap langkah, jadi benda lain pula," terang Alias.
Kayu lain yang boleh digunakan untuk menghasilkan baluh iaitu rangka badan kompang ialah batang pokok sena, nangka, akasia dan durian namun ia sukar didapati selain harganya yang mahal.
Penulis kagum melihat Alias melarik bongkah kayu seberat 20 kilogram untuk dijadikan baluh dengan diameter 12 inci (30 sentimeter) dalam masa kurang lima minit.
Proses seterusnya ialah memasang belulang yang diperbuat daripada kulit kambing betina. Sebaik sahaja kering, kulit kambing itu akan direndam selama antara sehari hingga tiga hari. Ini bagi menghilangkan baunya sebelum dikeringkan selama sehari lagi.
"Kulit kambing betina lebih lembut berbanding kambing jantan. Kebanyakan pembuat kompang juga lebih menyukai kulit kambing daripada kulit lembu, rusa dan unta.
"Kulit rusa dan unta lebih praktikal cuma sukar untuk didapati," katanya.
Kebanyakan stok kulit kambing dibekalkan oleh seorang pembekal dari Klang, Selangor. Jelas Alias, sebaik sahaja kulit kambing kering, bulunya akan dikikis.
Kompang X-ray
Menurut seorang pekerja syarikat itu, Arshad Abdul Karim, 50, selepas baluh dan kulit siap, proses seterusnya ialah meletakkan penegang yang dipanggil sedak iaitu besi bersaiz sederhana berbentuk bulat,
Sedak berfungsi menegangkan belulang di samping menyedapkan bunyi kompang apabila dipalu.
"Besi yang digunakan ialah jenis biasa. Kulit kambing yang kering serta sudah dicukur akan dipaku dengan paku payung berwarna putih atau emas. Ia juga dililit bersama kain merah," katanya.
Jelasnya, kompang yang sudah siap akan menjadi lebih kemas dan licin selepas digosok dengan kertas pasir serta dicat mengikut warna yang diminati pelanggan.
Keseluruhan proses membuat sebuah kompang mengambil masa selama dua minggu.
Kadar permintaan meningkat pada musim cuti persekolahan. Purata alatan muzik ini dihasilkan ialah kira-kira 50 buah sebulan.
Belulang kompang bukan sahaja diperbuat daripada kulit kambing tetapi juga kepingan filem X-ray seperti yang digunakan dalam pemeriksaan kesihatan di hospital.
Menurut seorang pekerja, Ishak Abdul Hadi, kompang X-ray sesuai dimainkan di dalam bangunan kerana alunan bunyinya lebih jelas berbanding kompang tradisional.
"Kebiasaannya dalam sesebuah kumpulan, pasti ada pemain yang menggunakan kompang X-ray untuk menggamatkan lagi bunyi yang terhasil.
Selain itu, kumpulan kompang selalu memainkan jidur untuk memberi kelainan pada lagu yang dimainkan.
Jidur merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai bingkai kayu dan bertutup dengan belulang pada bukaan besar.
"Proses membuat jidur lebih mudah dan hanya mengambil masa selama seminggu. Bahan asasnya ialah kayu leban tetapi menggunakan kulit kambing jantan untuk bunyi yang lebih keras," katanya.
Bercerita mengenai tempoh hayat sesebuah kompang, Ishak memberitahu, ia bergantung kepada bagaimana si pemilik menjaganya.
"Jika dipakai dengan cermat, lamalah jangka hayatnya tetapi kalau digunakan dengan kasar atau tidak disimpan dengan betul, ia boleh rosak selepas beberapa bulan.
"Barangan apa sekali pun sekiranya kita tidak cermat menggunakannya walaupun berkualiti tinggi, tidak akan bertahan lama," katanya yang khuatir kerana tidak ramai generasi muda kini yang cenderung mempelajari ilmu membuat kompang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: