Monday, May 27, 2013

Asimilasi kurta Malaysia


GABUNGAN warna blok antara kurta dan seluar menyerlahkan imej ranggi.


DARI Afghanistan ke Pakistan, merentas Nepal, Bangladesh dan Sri Lanka, laluan akrab bagi pakaian tradisional etnik India, kurta menempiasi jajaran Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Serapan penggayaan kurta dalam masyarakat majmuk di negara ini bukanlah masalah besar. Keberadaan kaum India sebagai etnik ketiga terbesar di Malaysia mempercepatkan penangan kurta dalam mempengaruhi cita rasa fesyen penduduk berbilang kaum yang telah sebati sejak era penjajahan British.
Polos tanpa sebarang corak sarat dan mengangkat mainan rona pastel menjadi resmi sehelai kurta sejak sekian lama. Ia sememangnya pilihan ideal saat menyambut perayaan Deepavali, bahkan tidak janggal apabila digayakan kaum Melayu menjelang Syawal.
Hari ini, busana kebanggaan penduduk Asia Selatan itu melalui modifikasi unik.
Kurta lebih segar
Seorang anak tempatan, Azlan Zanudin, 34, berani mengolah empat jenis kurta moden bagi menepati keinginan muda-mudi yang mahukan sesuatu yang segar daripada pakaian tradisional tersebut.
Koleksi Kurta Hipster, Stripe-in-K, Ajmal-in-K dan White Cotton Kurta menjadi perantaraan awal Azlan menerusi label Lalan dalam bidang fesyen tanah air. Percubaan secara suka-suka pada awalnya mencetuskan nekad Azlan untuk menghasilkan helaian kurta yang lebih segar.
“Secara peribadi saya memang suka memakai kurta saban hari mahupun ketika menyambutan hari raya. Semua orang tahu ia selesa dipakai dan penggunaan warna-warna tanah membuatkan ramai lelaki tidak gentar menyarungkannya untuk bersolat.
KEMAS dan sopan menjadikannya sesuai untuk dipakai ketika menunaikan solat.


“Namun terdetik dalam fikiran saya, bagaimana jika kurta digayakan ke pusat beli-belah dan bersantai bersama rakan-rakan pada hujung minggu? Tidakkah kurta tradisional agak bosan untuk dipakai dan kurang menyerlah pada pandangan awam?
“Mula-mula saya hasilkan kurta moden untuk kegunaan sendiri tetapi selepas ramai memberi pandangan positif, saya buat keputusan mencipta kurta moden sedia pakai untuk dijual kepada orang ramai,” kongsi Azlan ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Keistimewaan kurta Lalan terletak pada cetakannya. Setiap helaian kurta ciptaan lelaki yang bertugas selaku produser di Astro itu menampilkan cetakan minimum, namun cukup kuat bagi menjadi penegasan keseluruhan gaya.
Kurta Hipster misalnya, didatangkan dalam lima rona menarik iaitu kuning, ungu, hijau, biru dan firus. Pada poket atas kurta tersebut terletaknya cetakan signatur menarik seperti geometri, harimau bintang atau puak.
Pakaian yang menggunakan material kapas itu juga menawarkan seleksi corak berjalur melintang atau menegak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: