Sunday, May 26, 2013

Kil, sekolah filem untuk Cristina



WAJAH gadis muda campuran Melayu dan Amerika yang selalu tampil polos ini belum akrab dalam minda khalayak. Baharu, muda namun penuh iltizam, Cristina Suzanne Stockstill tidak mustahil bakal menjadi salah seorang aktres yang diburu khalayak serta produser.
Cristina yang mesra disapa Cris itu memiliki wajah mulus sebagai pelaris tetapi aset utamanya ialah pandangannya yang jelas terhadap misi dan tujuan kerjaya seninya.
Walaupun dia jatuh dalam golongan anak muda yang digilap melalui program realiti, tampaknya dia bukanlah aktres manja yang menjaja wajah atau cerita sensasi berbanding bakat.
Satu hal yang terlihat jelas pada wanita berumur 28 tahun ini, dia masih naif dalam menjawab soalan. Bukan satu tempoh yang boleh dibanggakan namun perjalanan selama lebih kurang 1,095 hari sebagai aktres sudah membuka matanya dalam banyak aspek.
Tidak adil
"Tempoh tiga tahun dalam industri seni sejak bertapak melalui program realiti Pilih Kasih, saya sudah nampak bahawa ada yang tidak adil dalam industri," jujur Cris melepaskan gelojak mindanya.
Cris menambah bahawa dia sudah nampak ada kecenderungan pemilihan pelakon dalam sesebuah produk kreatif itu lebih terdorong kepada bilangan pengikut di laman sosial.
"Maksudnya, pemilihan itu lebih terarah kepada faktor populariti. Ada yang mungkin tidak menghiraukan tentang kesesuaian watak atau kualiti pelakon. Malah ada juga pelakon tidak panggil untuk diuji bakat. Telefon hanya sekadar tanya waktu senggang dan bukan memberi penerangan tentang skrip atau watak," getusnya.
Namun itu bukan penyebab untuk Cris berpatah balik atau menanam minat yang dibaja daripada Pilih Kasih.
Kini, dia sudah belajar memilih naskhah walaupun namanya masih samar-samar dalam ingatan khalayak sementelah namanya sukar disebut.
"Sekarang kalau berlakon, keputusannya ikut kata hati. Dahulu saya ambil semua tawaran demi mencari pengalaman. Bagi saya, biarlah tidak popular tetapi orang perasan dengan kehadiran dalam bidang lakonan," ujarnya jujur.
CRISTINA SUZANNE atau mesra disapa Cris sudah mula memilih naskhah lakonan mengikut kata hati.


Kenali Cristina Suzanne
Pasti ada yang masih tertanya-tanya bagaimana Cristina Suzanne bertapak dalam dunia selebriti.
Menurutnya, dia pernah bergelar pramugari selama 10 tahun tetapi terjebak dalam program Pilih Kasih sewaktu Cris menganggur selama empat bulan.
Cerita Cris, beberapa tahun lalu, dia dan ibunya menonton televisyen bersama dan ketika itulah mereka terpandang iklan Rosyam Nor yang menyebut, 'adakah kamu pelakon yang kami cari?'
Ujar Cris, dia menghadiri sesi uji bakat dengan pengetahuan yang kosong. Cuma menjadi diri sendiri dan bercakap apa yang dekat dengan dirinya. Namun ketulusan itu rupanya berjaya menempatkan Cris selama tiga bulan di pentas mencungkil bakat itu.
Usai mendalami Pilih Kasih, dia keluar ke dunia seni sebenar. Mencari sesuap nasi dan sedikit kewangan untuk membayar ansuran kereta dengan berlakon apa sahaja.
"Saya muncul di bawah arahan Erma Fatima, watak kecil melalui Dia Bukan Maryam dan Kasih Najihah. Kemudian ada juga bantu-bantu pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan dalam tugasan mereka selain drama-drama di televisyen," ulasnya santai.
Bukan itu sahaja, dia juga terlibat dengan naskhah-naskhah teater yang merupakan minatnya dalam lakonan. Namanya sudah tersenarai sebagai pembawa karakter dalam teater seperti Ramleefestasi dan Projek Disko Baldi.
"Saya ingat pesan Rosyam Nor bahawa apabila keluar daripada Pilih Kasih perlu pandai-pandai belajar sendiri. Itu yang saya pegang," senyumnya manis.
Masuk sekolah
Satu panggilan telefon juga berjaya mengubah tingkat Cris dalam dunia lakonan. Dahulu dia bertatih dengan watak-watak kecil tetapi kini dia seumpama sudah naik ke peringkat universiti.
Panggilan yang diterima daripada Nik Amir yang merupakan pengarah filem Kil merubah namanya untuk diingati khalayak. Dia membawakan watak Zara, wanita misteri dalam filem yang bakal ditayangkan bermula 30 Mei ini.
"Saya kenal pengarah dan penerbit Kil iaitu Rewan Ishak yang mengajak saya untuk mencuba uji bakat. Nik juga ada membuat panggilan telefon menyuruh saya menjalani perkara yang sama. Saya pergi dengan selamba tanpa tahu apa yang bakal ditawarkan melalui Kil. Dalam fikiran saya, pasti bukan watak utama," ketawanya kecil.
SELAIN berlakon, wanita berumur 28 tahun ini juga gemar melukis potret dan abstrak.


"Jujur ya, saya memang waktu itu tidak tahu prosedur produksi. Namun segalanya saya belajar melalui filem Kil ini yang rupanya merupakan sekolah filem untuk semua yang terlibat. Saya, kru dan tenaga produksi semuanya melalui perkara yang sama. Itu menyeronokkan kerana ini adalah sebuah proses dan tapak pembelajaran yang bagus," sambungnya yang terkejut sejurus mengetahui Ella, Dira Abu Zahar dan Hasnul Rahmat juga berada dalam produksi filem yang sama.
"Apabila semua belajar dan menjadikan Kil sebagai sekolah filem, tidak banyak kesukaran yang kami lalui. Walaupun awalnya ia sebuah produksi yang kecil tetapi semuanya berjalan ikut jadual. Saya juga suka membawakan watak Zara kerana solekannya semula jadi, itu yang nampak real. Logiknya ada di situ," puji Cris tentang Kil, filem genre drama, romantik dan misteri yang menjalani penggambaran selama 11 hari.
Bergandingan dengan Redza Minhat, Cris menganggap adegan dalam lif adalah paling mencabar. Adegan yang menjalani penggambaran selama empat jam itu harus menampakkan dirinya sebagai penggoda dalam masa beberapa minit dalam filem.
Berdasarkan respons yang dilihat di laman Twitter selepas tayangan perdana, rata-rata orang filem menyukai filem yang dianggap punya kelainan dan membuka lembaran baharu dalam industri. Namun pastinya buah tangan perdana ini memberi geruh rasa buat Cris.
"Ramai orang filem yang faham filem suka dan beri respons yang baik. Tetapi saya rasa gemuruh juga menantikan pandangan penonton biasa. Tidak tahu mereka boleh terima atau tidak," jelasnya tentang filem yang menyentuh tentang tabu dalam masyarakat iaitu bunuh diri.
Pipi jatuh
Dilihat sangat santai dalam kehidupan seharian malahan ke majlis karpet merah, itu memang cara Cris. Dalam bahasa slanga juga, pelakon yang dikatakan persis Audrey Tautou ini memang sempoi.
"Ada yang kata saya ini selekeh sebab santai sangat. Tetapi saya tidak menyusahkan orang. Saya mahu berkerja sebagai pelakon dan kalau ke majlis besar, saya masih menghormati majlis," ujarnya disentuh tentang penampilan.
"Saya sudah merancang kehidupan. Sudah mula membuat simpanan. Kalau hanya bersandarkan glamor, tak akan ke mana. Sebagai wanita kita kena sedar bahawa satu hari nanti pipi kita akan jatuh," sedarnya tentang permintaan industri seni sekarang.
Lebih daripada itu sebagai langkah awal, dia menolak menjaja cerita bersifat peribadi. Ujarnya, dia mahu menghormati dan menjaga hati dalam menjalani kehidupan.
"Saya tahu nanti akan keluar cerita-cerita bersifat peribadi tetapi saya menolak dan tidak mahu mulakan. Kalau bercinta, saya tidak mahu tonjolkan sampai orang itu sah akan menjadi suami. Saya memikirkan hati dan perasaan orang-orang tua saya dan bakal mertua," akuinya yang menolak mentaliti takut kehilangan peminat kalau bercerita tentang kekasih hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: