Tuesday, May 28, 2013

Pendaki Everest wanita Arab Saudi tiba di UAE


GAMBAR menunjukkan Raha di Gunung Everest pada 18 Mei lalu.

SHARJAH - Seorang wanita dari Arab Saudi, Raha Moharrak yang berjaya mendaki Gunung Everest diberi sambutan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Shar- jah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari Nepal kelmarin.
Raha merupakan wanita pertama dari Arab Saudi yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 19 Mei lalu.
Ketika tiba di lapangan terbang itu, Raha dan tiga rakan pendakinya turut memotong kek dan diberikan kalungan bunga oleh sejumlah orang yang menyambut kepulangan mereka.
Raha mendaki gunung tersebut bersama seorang warga Qatar, Sheikh Mohammed Abdullah Al-Thani; seorang penduduk Palestin, Raed Zidan dan seorang warga Iran, Masoud Mohammed.
"Ia sesuatu yang seolah- olah tidak dapat dipercayai," kata Raha yang berusia 25 tahun.
"Saya berharap, ia akan menyedarkan wanita-wanita di Arab Saudi untuk mencabar diri mereka sendiri," katanya kepada agensi berita AFP.
Ketika bercakap menerusi telefon dari Jeddah, bapanya, Hassan berkata: "Saya bangga dengan dirinya."
Raha sebelum ini berusaha keras untuk meyakinkan keluarganya supaya membenarkannya mendaki gunung setinggi 8,848 meter itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: