Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 33, berkata, Sarah telah banyak mengubah kehidupannya supaya lebih teratur dan menganggap ia sebagai satu kualiti terbaik dalam diri wanita itu.
"Saya seorang yang ringkas dan tidak terlalu memandang serius pada sesetengah perkara dan kehadiran Sarah telah banyak mengubah diri saya supaya lebih berdisiplin terutama dalam soal masa dan pengurusan wang," jelasnya kepada mStar Online.
Tambah Zahid, Sarah juga seorang wanita yang ringkas selain memahaminya sebagai seorang selebriti.
Pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 7 Jun depan di Teluk Intan, Perak sebelum mengadakan majlis resepsi pada keesokan harinya manakala 15 Jun akan diadakan majlis sambut menantu di sebelah keluarga Zahid.
Dalam pada itu, Zahid memberitahu dia mengambil keputusan untuk berkahwin selepas setahun mengenali Sarah kerana tidak mahu bercinta terlalu lama.
Jelas Zahid, pada usianya sekarang dia telah bersedia untuk berumah tangga dan tidak mahu hubungan yang dibina tidak mempunyai arah tujuan.
"Bercinta terlalu lama dan tidak mempunyai arah tujuan pun susah juga jadi lebih baik kahwin apabila telah berjumpa dengan pasangan yang sesuai," katanya.
Bercerita mengenai perkenalan dengan bakal isteri, Zahid berkata mereka berkenalan menerusi laman sosial Twitter sebelum serius bercinta pada tahun lalu.
Jelas Zahid, Sarah juga adalah seorang kaki tangan Astro namun tidak pernah bertembung dengannya sebelum bercinta.
"Kami sepejabat namun tidak pernah bertemu sebelum ini tetapi inilah yang dinamakan jodoh," katanya.
Sementara itu, Zahid berkata, dia kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinannya dan berharap majlis itu nanti akan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
"Seperti mana orang lain, saya juga mengharapkan perkahwinan ini akan berkekalan sehingga akhir hayat dan dikurniakan dengan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga kami nanti," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: