Terkandas ketika daki gunung
Mangsa dikejarkan ke HT setelah berjaya dibawa turun pasukan penyelamat sekitar jam 7.45 di tapak kaki Gunung Datuk, malam kelmarin.
REMBAU – Seorang pelajar sebuah kolej di Seremban, terkandas ketika mendaki Gunung Datuk selepas dipercayai  berhadapan masalah asma dan tidak mampu bergerak untuk meneruskan perjalanan ke tapak kaki Gunung Datuk akibat kesejukan melampau.

Bagaimanapun mangsa, Nurul Huda Selamat, 18, selamat dibawa turun ke kaki gunung selepas mendapat bantuan pasukan penyelamat.

Difahamkan kira-kira 80 daripada 90 peserta kembara dua hari satu malam mendaki Gunung Datuk seawal jam 8.30 pagi, namun pendakian itu tergendala selepas hujan lebat sekitar jam 2 petang.

Sebelum itu, dua pelajar yang menyertai pendakian itu dipercayai pengsan, namun berjaya disedarkan oleh kumpulan pelajar lain dan guru mereka sebelum meneruskan perjalanan turun ke tapak kaki Gunung Datuk kira-kira jam 4.30, petang, kelmarin.

Penyelia Hutan Lipur Gunung Datuk, Abdul Rahman Idris, 42, berkata, beliau mengetahui kejadian itu selepas melihat kumpulan pelajar yang sudah berada di tapak kaki kelihatan cemas.

“Saya mula berasa tidak sedap hati, jadi saya tanya kepada pelajar berkenaan. Pada mulanya mereka tidak mahu berterus terang dan menyatakan tiada apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, bila saya bertegas dan akan memaklumkan kepada polis, mereka menceritakan ada dua pelajar perempuan yang pengsan tetapi berjaya disedarkan gurunya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya memulakan operasi itu sekitar jam 5.30 petang dengan kekuatan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Abdul Jalil Jasin.

Menurutnya, susulan mangsa tidak mampu meneruskan perjalanan dan mengalami masalah asma, anggota bomba, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Tampin dan penduduk naik ke bahagian pertengahan trek bagi membantu mengusungnya turun dengan lebih selamat.

“Operasi tamat sekitar jam 7.45 malam dan mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) untuk rawatan lanjut," katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan tidak menjalankan aktiviti seumpama itu lebih-lebih lagi sekiranya cuaca tidak menentu dan hujan.

“Malah, sekiranya orang awam mempunyai sejarah sakit atau seumpamanya, mereka digalakkan untuk tidak melindungi maklumat berkenaan," katanya.