Monday, May 27, 2013

Jurusolek wanita juga tinggi cita rasa



“JIKA dahulu, tiada siapa yang mahu menjadikan profesion jurusolek sebagai pekerjaan tetap terutamanya dalam kalangan wanita,” ujar jurusolek profesional, Saidatulnisa Aminuddin, 50.
Dia yang senang disapa sebagai Kak Sai, mengenang kembali ketika mula-mula terlibat dalam bidang solekan dan dandanan rambut. Semasa itu, jumlah jurusolek wanita boleh dibilang dengan jari kerana ia banyak dimonopoli oleh kaum lelaki.
“Waktu itu, boleh dikatakan hanya Kak Sai dan beberapa orang sahaja yang berani ke hadapan untuk berdiri sama tinggi dengan jurusolek lelaki. Ramai wanita ketika itu hanya melakukannya secara sambilan dan kecil-kecilan sahaja,” ujar kakak kepada ratu rock negara, Ella ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Menurutnya, ketika itu ramai beranggapan kerjaya tersebut tidak menjamin masa sepan selain kurangnya pendedahan daripada media massa.
Berbeza dengan situasi sekarang katanya, jurusolek wanita semakin ramai dengan kemahiran yang tinggi.
Saidatulnisa juga turut memainkan peranan tertentu dalam industri tersebut termasuk mengadakan kelas-kelas solekan dan dandanan kepada mereka yang berminat.
“Kehadiran jurusolek baharu merancakkan lagi arus solekan dan dandanan kerana kerjaya jurusolek ini memberi pulangan yang tinggi jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
“Jika ia tidak menguntungkan, tidaklah saya bertahan sehingga kini,” seloroh ibu kepada dua cahaya mata itu lagi.
Melewati perjalanan seni wanita kelahiran Telok Gadong, Klang, Selangor itu, minat menyolek bermula ketika menjadi penari sambilan di stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia sewaktu berusia 19 tahun.
“Dahulu jika ada persembahan tarian, kami tidak disediakan jurusolek. Maka, solekan dan dandanan perlu dilakukan sendiri. Rakan-rakan yang menyedari kebolehan saya telah meminta saya menyolekkan wajah mereka.
“Teknik-teknik dan cara solekan saya belajar berdasarkan pengalaman dan pengamatan daripada rakan-rakan sekeliling.
“Dahulu mana ada kelas mengajar atau sumber rujukan untuk meminta tip. Semuanya kena memegang konsep cuba jaya,” ujarnya.
SOLEKAN natural dan ringkas menjadi kegemaran kepada Romyza yang banyak menggunakan warna-warna lembut.


Pulangan
Berkat semangat yang tidak pernah luntur, Saidatulnisa kini boleh tersenyum puas apabila ia membuahkan pulangan berganda. Dia kini sudah mempunyai dua premis andaman dengan yang terbaharu terletak di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
Butik itu memberi pilihan kepada wanita dengan variasi busana sedia pakai seperti baju kurung, gaun labuh, top dan banyak lagi.
Romyza Muhamad, 35, yang telah lima tahun bergelar jurusolek turut mengakui kerjaya tersebut mampu memberi pulangan lumayan.
“Bakal pengantin terutamanya wanita mahukan jurusolek wanita kerana lebih selesa disolek oleh kaum sejenis. Perkembangan itu membuka ruang kepada jurusolek wanita untuk menunjukkan bakat seni mereka,” jelasnya.
Romyza sebelum ini hanya melakukan kerja-kerja andaman dan solekan secara sambilan memandangkan mempunyai pekerjaan tetap.
“Dahulu saya bekerja di sebuah syarikat berteraskan kejuruteraan sebagai eksekutif teknikal. Tetapi pada masa yang sama, saya melakukan kerja-kerja sampingan dengan mengandam rakan-rakan dan keluarga terdekat,” imbas Romyza.
Minat
Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech (IUCTT), Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur itu berkata, dia mula berminat dalam dunia solekan selepas diandam oleh jurusolek pada majlis persandingannya.
“Saya tidak mempunyai asas solekan dan dandanan, malah saya jarang memakai sebarang mekap. Namun, ketika disolek olek seorang mak andam timbul minat untuk mencuba dan mempelajari bidang ini,” ujarnya.
Dia yang lebih dikenali sebagai Mimie Romyza telah mengikuti kelas-kelas solekan yang dianjurkan oleh jurusolek profesional. Sejak itu, dia mula mengetahui teknik mendandan dan menyolek yang betul.
“Kelas pertama yang diikuti adalah daripada mak andam perkahwinan saya sendiri iaitu Rozana Mustafa. Kemudian saya sertai kelas solekan anjuran Ema Mustafa yang saya jadikan sebagai mentor,” katanya.
Romyza menambah, dia mengambil masa hampir setahun untuk mempelajari teknik solekan dan andaman. Ketika ditebak soalan bahagian paling sukar untuk dikuasai jawabnya, solekan pada bahagian kening.
“Pada pendapat saya, kening memainkan peranan yang penting untuk menjadikan solekan tersebut kelihatan natural dan kemas. Tidak dinafikan sewaktu ketika awal pembabitan, saya sukar membentuk kening dengan cantik,” cerita ibu kepada tiga orang anak itu.

SAIDATULNISA (kanan) mengadakan kelas solekan untuk mengajar teknik yang betul menyolek wajah.


Berhenti kerja
Hanya selepas tiga tahun bergerak secara sambilan, pada tahun 2008 dia nekad untuk berhenti kerja dan mula serius dalam kerjaya solekan.
“Titik tolak keputusan itu dilakukan adalah disebabkan anak saya jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi. Saya nekad berhenti kerja dan hanya fokus kepada butik pengantin, Teratai Kencana yang diusahakan bersama suami.
“Sekarang urusan rumah tangga dan penjagaan anak-anak saya uruskan sendiri. Malah, jika ada urusan andaman, suami akan turut membantu bagi meringankan kerja saya,” ujar wanita berasal dari Sentul Utama, Kuala Lumpur itu lagi.
Selain menyolek untuk pengantin, sentuhan kreatif Romyza turut menghiasi wajah-wajah selebriti popular tempatan untuk keluaran media cetak dan elektronik.
“Saya ada juga menerima tawaran untuk filem dan drama, tetapi ada yang terpaksa ditolak. Bukan memilih tetapi saya perlu mengutamakan anak-anak yang masih kecil,” jelas Romyza.
Dia berkata, tidak dinafikan apabila menyolek golongan selebriti, ‘saham’ jurusolek itu akan cepat naik kerana orang ramai mudah mengenali mereka.
“Pelanggan akan lebih mudah mempercayai kebolehan seseorang jurumekap jika mereka pernah menyolek artis,” akui Romyza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: