|
KESERONOKAN meredah hutan dan memikat burung semasa zaman kanak-kanak masih segar di ingatan Abdul Jalil Abdul Rahman. Tidak cukup dengan aktiviti tersebut, anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu turut mengisi masa luang dengan memancing ikan.
Ketika cuti persekolahan atau hujung minggu, Abdul Jalil juga ringan tulang membantu ibunya menjual kuih-muih di sekitar pulau.
Begitulah antara rutin kehidupannya ketika mengikut keluarga berpindah ke Pulau Jerejak pada tahun 1950. Arwah bapanya merupakan kakitangan Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab dalam menguruskan penyelenggaraan bangunan kegunaan pesakit-pesakit kusta di pulau berkenaan.
"Ketika berpindah ke Pulau Jerejak, saya berusia tujuh tahun dan saya masih ingat kenangan tinggal di sana termasuk membantu emak menjual kuih, memukat ikan dan menjerat burung. Saya juga bersekolah di pulau berkenaan iaitu Sekolah Sir Edward James," kata Abdul Jalil, 54.
Abdul Jalil bagaimanapun tidak lagi menetap di pulau yang mempunyai pelbagai kisah dan sejarah itu apabila keluarganya pindah keluar setelah pihak penjara beroperasi di situ pada tahun 1969.
Bagaimanapun, memori indah tersebut membuatkan dirinya sukar berpisah dengan Pulau Jerejak yang terletak hanya 1.5 batu nautika dari tanah besar, Pulau Pinang.
Impiannya untuk kembali bersatu dengan pulau tersebut menjadi nyata apabila Jerejak Rainforest Resort dibuka pada tahun 2004.
Hatinya berbunga riang apabila ditawarkan bertugas sebagai kelasi kapal yang bertanggungjawab membawa pelancong dan pekerja ke pulau yang turut dikenali sebagai Alcatraz Malaysia itu.
Sejarah
Mengimbau kembali sejarah, Francis Light dikatakan sampai ke Pulau Jerejak pada tahun 1786 sebelum ke Pulau Pinang. Kolonel Arthur Wellesly of Wellington, England mencadangkan agar pulau tersebut dijadikan pangkalan tentera laut British bertujuan melindungi bandar baharu Jamestown. Jamestown kini dikenali sebagai Bayan Lepas.
Disebabkan ia gagal dijadikan pangkalan tentera laut pada tahun 1910, Pulau Jerejak dijadikan pusat kuarantin kesihatan pendatang asing dan pada akhir dekad 1930-an sebuah hospital kusta dibina di bahagian timur pulau tersebut. Ia boleh memuatkan 150 pesakit bagi satu-satu masa.
Sekitar tahun 1948, Pulau Jerejak dijadikan Kem Tahanan Politik British. Pada 12 Jun 1969, Pusat Pemulihan Akhlak mengambil alih kawasan pulau tersebut sekali gus mula mendapat nama samaran Alcatraz Malaysia.
"Negara pernah gempar apabila berlaku rusuhan membabitkan 100 tahanan yang mengamuk dan memusnahkan sebahagian bangunan pada tahun 1981 kerana mereka tidak berpuas hati dengan pelanjutan tempoh tahanan.
"Selain itu, tujuh tahanan di penjara tersebut berjaya memboloskan diri pada tahun 1988," kata Mohd. Faizal Omar, 30, Eksekutif Sukan dan Rekreasi, Jerejak Rainforest Resort.
Bagi mengelakkan kejadian itu berulang, kerajaan memutuskan menutup pusat tersebut pada tahun 1990 dan tahanan dipindahkan ke Muar dan Simpang Renggam, Johor.
Tanggapan negatif
Keputusan tersebut menjadikan Pulau Jerejak 'sepi' dan kewujudannya seakan-akan dilupakan orang ramai.
Begitupun, pembinaan Jerejak Rainforest Resort pada tahun 2003 kembali membuka mata orang ramai terhadap potensi pulau berkenaan iaitu sebagai tarikan pelancongan.
Walau bagaimanapun, pembangunan Pulau Jerejak menimbulkan pelbagai tanggapan negatif seperti akan merosakkan ekosistem pulau dan tinggalan sejarah.
Hari ini, tanggapan negatif tersebut lenyap begitu sahaja, pelancong mula berkunjung ke pulau berkenaan bukan sahaja untuk berehat tetapi mencungkil kembali sejarahnya.
Tidak terurus
Sisa-sisa sejarah seperti penjara, hospital dan empangan masih boleh disaksikan pengunjung, namun keadaannya tidak terurus dan terbiar begitu sahaja. Sesekali pekerja Jerejak Rainforest Resort bergotong-royong membersihkan sisa-sisa tinggalan sejarah berkenaan.
Misalnya, kuarters pekerja hospital kusta terbiar usang dan dipenuhi semak samun. Sepanjang laluan ke tempat itu, pengunjung dapat menyaksikan hidupan liar seperti kawanan monyet.
"Pokok-pokok besar yang tumbang menyukarkan pengunjung untuk melawat tempat-tempat bersejarah berkenaan. Bukan itu sahaja, mereka perlu meredah hutan bagi melihat tinggalan sejarah tersebut," kata Mohd. Farizal lagi.
Dia yang telah bekerja selama sembilan tahun di Jerejak Rainforest Resort turut sedih melihat sisa-sisa sejarah yang terbiar tanpa sebarang pembelaan.
Di kawasan bekas penjara bangunannya semakin usang, pokok tumbang turut menghempap bangunan itu membuatkan struktur bangunan pecah. Pokok-pokok liar membuatkan kawasan tersebut kelihatan menggerunkan.
"Di sini, setiap bilik mampu memuatkan sehingga lima tahanan. Paling ramai pernah dipenjarakan ketika itu ialah anggota pasukan Angkatan Pemuda Insaf," terang Mohd. Farizal. Bilik itu berkeluasan kira-kira lima meter persegi.
Melewati kawasan empangan air, yang terletak di bahagian atas kawasan penjara itu, perasaan berdebar pasti terasa ekoran keadaan kawasan tersebut yang sunyi dan diselubungi pokok-pokok liar.
Di kawasan bunker yang dikatakan tempat simpanan senjata British, makanan dan tempat mengurung pesalah juga tidak terurus dan semak.
"Saya sedih kerana kawasan ini mempunyai nilai sejarah dan jika dipulihkan pasti dapat menarik ramai pelancong. Kebanyakan pelancong berminat untuk melawat kawasan ini, tetapi berdepan kesukaran untuk meredah hutan membuatkan hati mereka merasa tawar untuk melihatnya," ujar Mohd. Farizal.
Perasaan sedih
Perasaan sedih Mohd. Farizal itu turut dikongsi Abdul Jalil apabila melihat kawasan permainannya dahulu terbiar begitu sahaja.
"Dahulu keadaan di sini cantik dan sekarang ia telah bertukar menjadi hutan. Banyak bahan-bahan sejarah telah hilang dan musnah," kata Abdul Jalil yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Baginya, Pulau Jerejak jika dibangunkan dengan lebih terancang terutamanya bahan-bahan sejarah pasti mampu menarik kedatangan ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, sejak pembukaan Jerejak Rainforest Resort, Pulau Jerejak mendapat nafas baharu. Orang ramai mulai datang ke situ termasuk mereka yang bekerja.
Kebanyakan pekerja tidak tinggal di pulau berkenaan kerana setiap hari perkhidmatan kapal disediakan pihak pengurusan pulau berkenaan.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pekerja yang menetap di situ antaranya Mohd. Rosyam Abdullah, 54, yang bertugas sebagai ketua chef di Restoran Santapan.
Walaupun baru tiga bulan menetap di pulau berkenaan, baginya ia satu pengalaman yang indah.
"Bekerja di pulau ini sangat berbeza berbanding di kawasan bandar. Di sini suasananya tenteram. Jika ada masa luang saya akan memancing ikan.
"Masa kerja saya juga agak panjang iaitu bermula seawal 7 pagi hingga 11 malam. Justeru, tidak timbul soal rasa bosan kerana masa banyak ditumpukan di tempat kerja. Apabila habis kerja badan sudah penat dan terus masuk tidur," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: