Sunday, May 26, 2013

Sisi komersial Festival Filem Cannes


ROMBONGAN pembikin filem Malaysia turut menjejakkan kaki ke Festival Filem Cannes, Perancis baru-baru ini.


PERISTIWA Christoph Waltz dan Daniel Auteuil turun dari panggung setelah terdengar bunyi persis tembakan semasa sesi temu bual di Festival Filem Cannes pada 17 Mei lalu menjadi antara momen yang paling diingati untuk tahun ini.
Kedua-dua aktor tersebut berserta para juri waktu itu sedang menghadiri acara Canal Plus'ss Le Grand Journal yang sedang disiarkan di televisyen. Bunyi tembakan yang tidak diketahui sumbernya itu tiba-tiba terdengar dan menakutkan khalayak yang berada di lokasi.
Hanya beberapa saat diperlukan bagi membuatkan keadaan kembali reda. Ketika acara dilanjutkan, hos rancangan itu, Michel Denisot menyatakan bahawa suspek telah ditangkap. Suspek didakwa melepaskan dua butir bom tangan palsu ke udara yang kemudian menghasilkan bunyi seakan-akan tembakan.
Tidak ada nyawa terkorban dalam insiden itu. Insiden itu melengkapi rentetan insiden yang terjadi di Festival Filem Cannes tahun ini. Sehari sebelumnya, perhiasan bernilai lebih dari RM3 juta dicuri daripada Hotel Novotel.
Kecurian di Cannes
Festival yang juga disebut Le Festival International du Film de Cannes itu turut berhadapan dengan pencuri kelas atasan.
Kecurian pertama berlaku di Hotel Novotel membabitkan perhiasan bernilai lebih RM3 juta. Mangsa kedua berlaku kepada wakil Presiden China Film Group, Zhang Qiang apabila barangnya dicuri dari bilik sewanya di Cote d'Azur.
Gara-gara insiden tersebut, Zhang membatalkan kemunculannya di acara sidang akhbar untuk filem terbaharu Keanu Reeves, Man of Tai Chi pada 20 Mei lalu bersama China Film Group.
Eksekutif perfileman tersebut melaporkan kes tersebut di laman Weibo, sosial media China yang mirip dengan Twitter.
"Keamanan di Perancis sungguh buruk. Orang-orangnya juga sombong," tulis Zhang yang memberitahu bahawa para pekerja Hotel Pierre and Vacances Cannes Beach Residence sama sekali tidak membantu sehingga memaksa dia menelefon polis atas inisiatif sendiri.
Sejarah Festival Filem Cannes
Itu merupakan insiden yang mencacatkan kelancaran festival filem yang merupakan platform bagi semua jenis filem di seluruh dunia.

NICOLE KIDMAN (kiri) dan Ang Lee merupakan juri untuk festival Filem Cannes tahun ini.


Disifatkan sebagai festival filem paling berprestij di dunia, ia diadakan pertama kali pada 20 September hingga 5 Oktober 1946 di kota Cannes, Perancis. Sejak itu, festival yang menjadi idaman ramai pembikin filem tersebut diadakan setiap tahun menjelang bulan Mei.
Luasnya liputan media massa terhadap festival itu membuatkan festival berkenaan dihadiri oleh ramai pembikin dan bintang filem dari serata dunia. Malah ia menjadi sebuah perkampungan popular bagi pengusaha filem untuk meluncurkan produk-produk terbaharu di samping cuba untuk menjual karya kepada pihak penerbit dan pengedar yang datang dari seluruh dunia.
Untuk tahun ini, Festival Film Cannes 2013 berlangsung selama 13 hari bermula 14 Mei dan penghargaan daripada pihak juri diumumkan pada malam penutup.
Antara filem-filem yang mendapat perhatian orang filem ialah Nebraska arahan Alexander Payne, Venus in Furs (Roman Polanski), Iinside Llewyn Davis (Coen Brothers) dan Behind The Candelabra (Steven Soderbergh).
Filem lain yang turut diperhitungkan ialah Only God Forgives, The Bling Ring dan arahan perdana aktor James Franco iaitu As I Lay Dying.
Filem aktor Orlando Bloom yang berjudul Zulu mendapat penghormatan untuk menjadi filem penutup pada festival tahun ini. Filem yang mengambil landskap Cape Town pada era aparteid tersebut dibintangi oleh Forest Whitaker dan Orlando Bloom sendiri.
Dua selebriti kategori A Hollywood iaitu Nicole Kidman dan Christoph Waltz dimasukkan ke dalam senarai juri festival tahun ini. Mereka ditemani oleh pemenang Anugerah Oscar, Ang Lee dalam barisan juri festival.
Ketiga-tiga nama itu diumumkan oleh panitia festival sebagai anggota baharu dalam Dewan Juri bergabung bersama Steven Spielberg yang bertindak sebagai ketua juri.
Spielberg mengetuai barisan juri yang diwakili oleh India Vidya Balan, sutradara Jepun, Naomi Kawase dan aktor serta sutradara Perancis, Daniel Auteuil.
Pendapat Thierry Fremaux
Sebagai pemegang tampuk tugasan Delegasi Umum, Thierry Fremaux memberikan pandangan bahawa filem dari India mempunyai jenama yang cukup utuh di festival semenjak kebelakangan ini. Dia yang juga pemegang festival paling besar di dunia itu juga melontarkan beberapa pandangan tentang Cannes yang dianggap sebagai festival demokratik.
"Cannes merupakan festival filem paling besar di dunia. Penting bagi kami untuk mempamerkan idea sebagai festival filem seluruh dunia. Ada yang menganggap bahawa kami mempamerkan pembikin filem yang sama, ini kerana mereka menghasilkan filem yang hebat. Tetapi jika ada pembikin filem muda di luar sana yang membuat filem yang baik, ia akan ditonton dan dipilih oleh pihak komiti. Kami melihat 1,700 filem untuk membuat seleksi dan hanya 20 buah filem yang masuk ke dalam pertandingan. Ini bukan kerja mudah," kata Fremaux.
Apabila ditanya tentang filem-filem yang mencapai kriteria Cannes di samping mempamerkan kerja pembikin filem amatur kepada audiens yang besar, Fremaux menjelaskan:
"Terdapat banyak aspek yang berbeza untuk Cannes. Ya, festival ini bermula dengan permaidani merah dan Cannes juga ada pihak-pihak profesional. Hampir 100,000 orang berada di Cannes semasa festival berlangsung dan setiap daripada mereka mempunyai sebab yang berbeza untuk berada di sini.
"Alfred Hitchcock pula salah seorang penulis besar dan beliau membuat filem-filem arus perdana. Tidak ada percanggahan. Sudah tentu kita meletakkan beberapa filem besar hanya untuk keseronokan pawagam, dalam sisi lain kita pergi sepenuhnya kepada had yang lain untuk mencari filem-filem yang sangat kecil, berisiko atau eksperimen."

CHERYL COLE menjadi penyeri karpet merah.


Bukan wajah Cannes
Seperti yang dipertontonkan tahun ini, banyak wajah komersial mula membanjiri sebuah festival filem yang dihadiri atas tiket jemputan khas. Keperluan mereka ini dilihat sedikit kabur untuk menjadi wajah-wajah yang sepatutnya berada dalam sebuah festival yang cukup berprestij. Sementelah festival itu telah lama dilihat sebagai sebuah magnet untuk filem senarai A daripada kaca mata sinema dunia.
Sejak kebelakangan ini, terdapat grup baharu yang diwakili oleh selebriti bukan pelakon. Mereka mula meletakkan pengaruh bawah gemerlapan lampu kamera dan karpet merah.
Antaranya ialah penyanyi dan juri program realiti, Cheryl Cole yang sudah mula muncul di festival ini bersandarkan tugasan sebagai duta produk.
Begitu juga dengan kehadiran Kimberly Garner daripada program Made In Chelsea serta Chloe Sims yang datangnya daripada program realiti The Only Way Is Essex. Begitu juga dengan wajah-wajah rupawan seperti Lizzie Cundy dan Tamara Ecclestone.
Malah penyanyi dari Korea Selatan, Psy juga 'muncul' dalam salah sebuah acara di sana sebagai penyeri majlis. Penyanyi popular itu diklon gayanya oleh salah seorang pengunjung festival hingga membuatkan beberapa selebriti di sana tertipu dengan mengambil gambar bersama klon tersebut.
Namun bak kata media yang bertugas di sana, wajah-wajah ini hanya muncul di bawah kerlipan lampu kamera paparazi berserta minuman percuma. Wajah mereka tidak muncul dalam tayangan filem yang merupakan acara utama dan penting untuk festival di sana.
Karyawan Malaysia
Seperti tahun-tahun terdahulu juga, setiap kali berlangsungnya Festival Filem Cannes, karyawan filem tempatan tidak sekadar melihat dari jauh. Antara yang sanggup terbang ke Cannes tahun ini termasuklah pengarah muda Syed Hussein atau Sein yang muncul dengan filem pertamanya Langgar.
Sein tidak pergi sendiri bahkan turut disertai beberapa karyawan lain termasuklah Aqasha, Zain Hamid serta beberapa penerbit dari Camwerk Studios dan PuaPuaKen Studio. Mereka membawa beberapa filem termasuklah Langgar, Psiko: Pencuri Hati, Clayport Curry Killers untuk menyertai Marche du Film atau pasar filem yang diadakan sempena festival berlangsung.
Pengarah muda Nik Amir Nik Mustapha yang pertama kali muncul dengan filem Kil juga turut mendapat undangan untuk menjengah ke Anugerah Marche du Film. Secara tidak langsung ia barangkali membuka laluan kepada Kil untuk dilihat pembikin dan pengedar dari luar negara.
Tidak hanya menarik perhatian pembikin darah muda, Norman Abdul Halim turut mewakili KRU Studios untuk terlibat dengan satu sesi tayangan untuk filem terbitannya Vikindom 3D pada 17 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: