Tuesday, May 28, 2013

Cita rasa autentik Thai

ALFRED menawarkan sajian cita rasa asli Thai sesuai untuk golongan sederhana.


KEENAKAN sajian Thai mudah menambat selera segenap lapisan masyarakat di negara ini. Hidangannya yang pedas dan masam menyebabkan ramai yang kecur air liur apabila membayangkan kelazatan tom yam.
Menyedari populariti dan permintaan tinggi hidangan Thai di Malaysia, Pengurus Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine, Alfred Foo, 33, cuba mengetengahkan hidangan yang mengekalkan cita rasa Thai asli bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Katanya, keenakan cita rasa masakan Thai yang sebenar dapat dinikmati kerana restoran tersebut menggunakan khidmat chef yang didatangkan khas dari negara Gajah Putih itu.
“Tukang masak dari Thailand dipilih bagi mengekalkan rasa asli masakan tradisi negara tersebut selain memastikan pelanggan yang datang berpuas hati dengan hidangan yang disediakan.
“Selain itu, pekerja kami juga terdiri daripada rakyat tempatan bagi memastikan tiada sebarang masalah komunikasi antara pekerja dan pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya di Damansara Jaya baru-baru ini.
Menurut Alfred, antara masakan Thai yang menjadi pilihan pelanggan ialah tom yam, kari hijau, kerabu mangga, ikan keng som, sambal udang petai dan kari merah ayam.
“Hidangan kerabu mangga sering menjadi pilihan sebagai juadah pembuka selera memandangkan ia rangup dan tidak memuakkan. Selain itu, pelanggan juga menggemari hidangan klasik Thailand iaitu tom yam dan kari hijau yang boleh didapati dalam pilihan daging atau ayam.,” ujarnya.
Tambahnya, bagi pengunjung yang menggemari rasa pedas dan masam, boleh mencuba juadah ikan keng som yang pastinya menjanjikan rasa asli Thai yang unik dan lazat.

RESTORAN Golden Orchid Oriental Thai Cuisine di Damansara, Petaling Jaya mengalu-alukan kedatangan pengunjung.


“Ikan stim ala Thai ini dihidangkan di atas periuk dengan api kecil bagi mengekalkan kesegaran ikan,” katanya.
Jelas Alfred, Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine turut menawarkan makanan set tengah hari pada harga berpatutan yang jauh lebih murah berbanding dengan restoran lain yang menjual makanan khusus.
“Kami menawarkan set makanan tengah hari dari RM9.90 hingga RM13.90 termasuk minuman dan buah-buahan.
“Harga yang ditawarkan ini jauh lebih rendah berbanding restoran lain yang menjual makanan khusus seperti kami. Ini amat sesuai bagi golongan yang berpendapatan sederhana,” tambahnya.
Dari segi makan malam pula, harga yang ditawarkan juga tidak mahal. Pelanggan hanya perlu berbelanja antara RM30 hingga RM40 untuk menjamu makanan kegemaran mereka.
Restoran Golden Orchid Oriental Thai Cuisine beroperasi dari pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan waktu perniagaan dilanjutkan dari pukul 5.30 petang hingga 10 malam pada setiap hari Ahad hingga Khamis. Masa perniagaan bagi hari Jumaat, Sabtu dan cuti umum pula bermula dari pukul 5.30 petang hingga 11 malam.
Untuk maklumat lanjut layari facebook.com/mygoldenorchid/info.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: