Thursday, May 30, 2013

Tepis gosip dengan Sharnaaz



PERTAMA kali bertemu dengan pelakon kelahiran Jurong, Singapura, Siti Elfaeza Mohmed Ehsan Ul Haq atau lebih serasi disapa Elfa adalah ketika penggambaran drama bersiri Adam & Hawa di Cameron Highlands, Pahang, sekitar pertengahan tahun lalu.
Ketika itu nama Elfaeza Ul Haq masih samar-samar dalam industri hiburan tempatan. Namun, dek tempias drama rantaian itu, Elfa, 27, mengakui sahamnya melambung tinggi dan semakin laris mendapat tawaran.
"Syukur sebenarnya kerana saya dikenali menerusi sebuah naskhah hebat bersama pelakon-pelakon yang luar biasa bakatnya.
"Boleh dikatakan, lebih kurang saya menumpang sedikit populariti daripada mereka," ujarnya yang ditemui ketika pertunjukan fesyen The Amazing Red Kurung Kebaya & Hijab di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut bahang populariti yang semakin kuat dirasai Elfaeza, dia kadangkala gusar dan takut ledakan itu memakan diri sendiri.
"Saya tidak mahu mudah terleka dan hanyut dalam arus populariti. Takut juga suatu masa nanti saya sendiri dimakan perasaan yang riak. Lebih baik saya menjadi diri saya dan kekal berada di tempat sekarang yang tidak terlalu selesa atau terlalu sukar," katanya.
Rentetan daripada keberkesanan lakonannya juga, Elfaeza diberikan kepercayaan untuk menggalas peranan utama dalam drama bersiri Iman Nabila terbitan Suhan Movies Trading Sdn. Bhd. yang kini sedang menjalani penggambaran.
"Alhamdulillah, pertama kali saya ditawarkan untuk melakonkan watak utama drama bersiri 16 episod, Iman Nabila. Tambah mengharukan apabila drama itu akan disiarkan di TV3 untuk slot Azalea tidak lama lagi.
"Apabila ditawarkan watak utama, saya terperanjat bukan kepalang! Perasaan berdebar-debar dan takut untuk bekerja dengan produksi terkenal dan pelakon lain yang belum pernah bekerjasama sebelum ini," ungkap Elfaeza.
Turut membintangi drama itu, pelakon kacak Shahrizal Jaszle, Aida Khalida dan Kuza.
Elfaeza kini melihat bakat dan kewujudannya dalam industri hiburan di Malaysia sudah semakin diterima ramai dan berusaha untuk mengekalkan prestasi baiknya tanpa sebarang cerita negatif.
"Ini percubaan pertama saya dan saya melihat peluang kepada artis dari Singapura seperti saya sudah semakin diterima peminat di sini (Malaysia).
"Kalau tidak diberikan peluang kepada artis baharu seperti saya, bagaimana industri kita hendak maju ke depan?" luahnya.
Sharnaaz
Mengalih topik bicara kepada gosip liar yang mendakwa dia kini sedang mengenali pelakon kelahiran Georgetown, Pulau Pinang iaitu Sharnaaz Ahmad semenjak bernaung di bawah pengurusan yang sama beberapa minggu lalu, nyata wanita ini terperanjat ketika diberitahu.
Jelasnya, tidak pernah terlintas untuk dia menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki dalam waktu terdekat memandangkan kerjayanya baru saja bermula.
Malah katanya lagi, dia tidak menganggap Sharnaaz sebagai lelaki yang paling rapat dengannya kini biarpun kedua-duanya diuruskan oleh individu yang sama.
"Saya sudah agak akan timbul dakwaan sebegini apabila saya memilih untuk diuruskan bersama Sharnaaz dan saya tidak boleh menghentikan cakap-cakap orang.
"Sepanjang saya mengenali Sharnaaz, dia bukan seorang yang pemarah, malah dia sebenarnya peramah.
"Sebelum ini saya sendiri yang menguruskan kerjaya saya, kebetulan ketika penggambaran drama Mukhlis bulan lalu, saya berkenalan dengan pengurus peribadi Sharnaaz yang kemudian menawarkan saya bernaung di bawahnya.
"Saya menerima pelawaan itu dan jika serasi saya akan teruskan khidmatnya. Tiada istilah saya diuruskan oleh individu yang sama dengan Sharnaaz, maka kami mempunyai hubungan.
"Lagipun, pertemuan kami hanya di set penggambaran Mukhlis sahaja. Kami tidak pernah membuat temujanji untuk keluar bersama selain waktu bekerja," jelas Elfaeza.

CINTA bagi Elfaeza penting dan adalah segala-galanya.


Solo
Mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkan, ujar Elfaeza, dia kini masih solo dan fokusnya kini cuma keluarga dan kerjayanya yang masih mencari tapak.
"Ibaratnya lagu Cari Jodoh (Wali Band) sangat sesuai dengan saya. Memang saya tak laku! Prioriti saya adalah kerjaya dan keluarga yang berada di Singapura.
"Saya tidak terfikir untuk mencari lelaki buat masa sekarang sejak lima tahun menyendiri. Selepas putus cinta kali ketiga, saya sudah patah hati dan tidak mahu tetapkan lelaki yang bagaimana mahu dipilih," katanya.
Ditanya bilakah dia akan kembali mencari cinta, jawab Elfaeza, perkara itu akan berlaku apabila dirinya sudah stabil dan hatinya benar-benar bersedia.
"Saya akan kembali mencari cinta apabila kerjaya sudah stabil dan selepas itu saya menerima kalau pintu jodoh saya terbuka.
"Saya inginkan seorang lelaki yang baik, boleh membimbing saya, tidak cerewet dan tidak ambil pusing sekiranya jodoh saya adalah individu dalam atau luar industri hiburan," kongsi Elfaeza.
Ditanya makna cinta bagi dirinya, jawab Elfaeza: "Cinta penting dan adalah segala-galanya. Hidup kena ada cinta. Cinta kepada keluarga, kerjaya, hidup dan paling penting cinta kepada Allah."
Kompang Abang Zabidi
Dalam pada itu, Elfaeza baru sahaja muncul menerusi telefilem Kompang Abang Zabidi yang mana tayangan perdananya menerusi Astro Warna (saluran 132) semalam, 29 Mei.
Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi.
Kompang Abang Zabidi mengisahkan tentang Zabidi iaitu seorang pemuda kampung yang terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi kerana merobohkan reban ayam Mat Som Karipap Pusing.
Suatu hari, Zabidi telah ditawarkan untuk menjadi ketua pasukan kompang kampungnya. Kemunculan Amelia menjadikan semangatnya untuk memimpin pasukan kompangnya itu semakin berkobar-kobar. Namun, Rais cuba mensabotaj pasukan kompang Zabidi.
Menerusi telefilem arahan Mohd. Ramdan Che Hassan itu, Elfa yang melakonkan karakter Amelia bergandingan dengan aktor Kamal Adli sebagai Zabidi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: