Friday, May 31, 2013

Bella Bundle of Joy raikan para ibu


DYNAS MOKHTAR membuat kemunculan khas menerusi program Bella Bundle of Joy.


BIARPUN Hari Ibu diraikan pada tanggal 12 Mei lalu, namun stesen televisyen ntv7 pula menganggap pengorbanan seorang ibu bukan sahaja harus diingati pada hari-hari tertentu sahaja, sebaliknya mereka selayaknya diraikan setiap hari.
Ini kerana pengorbanan para ibu dalam melahirkan, membesarkan dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tidak ternilai.
Atas dasar itu, ntv7 mengambil inisiatif menganjurkan sebuah acara istimewa buat kaum wanita yang bakal bergelar ibu iaitu Bella Bundle of Joy.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan ntv7 dan 8TV, Airin Zainul, acara mirip baby shower itu sebenarnya diilhamkan daripada rancangan temu bual wanita popular stesen itu iaitu Bella, sempena kempen Will & Kate and The Royal Baby.
"Acara Bella Bundle of Joy akan diadakan pada hari Ahad ini (2 Jun) bertempat di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, dari pukul 2 hingga 7 petang. Menariknya, penyertaan untuk menghadiri majlis ini adalah percuma," ujarnya.
Mengulas mengenai objektif acara itu diadakan, kata Airin, para ibu akan diberi pelbagai maklumat berkaitan bayi yang bakal dilahirkan dan sebagai persiapan buat diri mereka yang bakal bergelar ibu.
Ungkapnya lanjut, acara itu bakal menyediakan ruang buat para ibu untuk bertanya lebih lanjut kepada pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
Lebih menarik, acara Bella Bundle of Joy itu juga merupakan percubaan terbesar dalam menghimpunkan wanita hamil tanpa mengira usia. Ia akan direkodkan dalam Malaysia Book of Records.
Beberapa selebriti seperti Dynas Mokhtar dan Daphne Iking akan membuat kemunculan khas pada acara tersebut.
Kepada para ibu hamil yang berminat menyertainya boleh hadir terus ke acara tersebut atau anda juga digalakkan mendaftar menerusi borang ringkas yang terdapat di laman web www.ntv7.com.my dan menghantarkan borang menerusi e-mel bellashower@ntv7.com.my atau hubungi talian 03-7726 877 sambungan 7040/7009.
Bagi para ibu yang hadir awal ke acara tersebut akan diberikan cenderahati menarik dan eksklusif daripada ntv7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: