Thursday, May 30, 2013
Jamal Abdillah buat persiapan selama setahun
SEPANJANG penyanyi Jamal Abdillah terbabit dalam pelbagai konsert dan showcase di merata-rata tempat, sambutan yang diterima daripada peminat memang jarang menghampakan.
Kali ini penyanyi tersebut cuba membuat kelainan berbanding kebiasaannya apabila menghiburkan peminat dengan rantaian lagu-lagu popular dendangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi Konsert Extravaganza Jamal Abdillah - P. Ramlee.
Pada konsert yang berlangsung selama empat hari bermula 30 Mei hingga 2 Jun di Panggung Sari, Istana Budaya, Jamal mendendangkan sebanyak 36 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh seniman agung tersebut.
Ketika ditemui Kosmo! semasa menjelang persiapan konsert berkenaan baru-baru ini, penyanyi yang juga bekas juara Bintang RTM 1979 itu memberitahu, idea penganjuran konsert berkenaan tercetus sejak setahun yang lalu.
“Secara peribadi saya merupakan peminat setia P. Ramlee kerana begitu mengagumi karya yang dihasilkannya. Rasanya ramai yang perasan bahawa kebanyakan album saya hasilkan, pasti akan ada sebuah lagu beliau yang saya rakam semula.
“Kemudian timbul idea untuk menganjurkan sebuah konsert khas persembahan lagu-lagu popular beliau pada pertengahan tahun lalu.
“Sejak itu saya sudah membuat persiapan seperti pemilihan lagu yang akan dinyanyikan,” jelasnya tentang penganjuran konsert berkenaan.
Menurut Jamal, untuk konsert berkenaan dia bakal mendendangkan sebanyak 36 buah lagu dan diiringi seramai 55 pemuzik orkestra yang terdiri daripada pelajar muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor manakala Leonard Yeap bertindak sebagai pengarah muzik.
Ujarnya, perancangan juga dibuat dengan begitu teliti memandangkan segala konsep dan bentuk persembahan dilakukannya sendiri yang turut memainkan peranan sebagai Pengarah Persembahan.
“Sepanjang setahun persiapan, saya yang merangka segala persiapan dengan dibantu pasukan teknikal yang sememangnya cukup bersungguh-sungguh serta mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM500,000 tanpa penajaan.
“Namun begitu, saya anggap usaha ini sesuatu yang sangat berbaloi kerana penjualan tiket mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sudah terjual lebih 80 peratus sebelum empat hari konsert berlangsung,” ujarnya yang yakin semua tiket habis terjual pada saat-saat akhir.
Bercerita lebih lanjut tentang konsert tersebut, Jamal menjelaskan, dia tidak akan keseorangan kerana turut mengundang beberapa penyanyi seperti Musly Ramly, Azlina Aziz, Nas Adila, Isma Aliff dan salah seorang cucu P. Ramlee iaitu Najua Nasir.
Mengenai pemilihan penyanyi undangan yang akan sama-sama menjayakan konsertnya itu, penyanyi berkenaan menjelaskan kesemuanya dipilih berdasarkan kepada kesesuaian suara mereka dengan lagu-lagu yang akan didendangkan.
“Selain itu, saya turut membuat persembahan bersama-sama dengan anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul Quran, Rawang untuk lagu Tolong Kami Bantu Kami,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang konsert, terdapat beberapa segmen persembahan yang menampilkan Pop Yeh Yeh, Pancasitara dan lagu-lagu jenaka serta nyanyian secara duet.
Tiada penaja
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya kerana tidak mendapat sebarang penajaan untuk menganjurkan konsert itu, Jamal menyatakan, perkara tersebut langsung tidak melemahkan semangatnya.
Ujarnya, sudah beberapa kali konsert yang dianjurkannya sebelum ini tiada sebarang penaja, tetapi akhirnya berjalan lancar kerana sokongan daripada semua pihak dan para peminatnya.
“Saya tidak berasa terlalu bimbang kerana percaya konsert ini akan mendapat sambutan hangat kerana P. Ramlee merupakan satu nama yang cukup besar dan saya akan memberikan persembahan yang terbaik sepanjang empat hari konsert berlangsung.
“Boleh dikatakan sebanyak 50 peratus tiket yang terjual pula merupakan hasil inisiatif sendiri. Saya mengambil langkah dengan menghubungi rakan-rakan dan beberapa syarikat korporat dan menjual tiket kepada mereka,” ujarnya.
Menurutnya, jika konsert tersebut meraih sukses, tidak mustahil dia akan mengadakan konsert yang sama di Singapura memandangkan kerjaya seni P. Ramlee bermula dari negara tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: