Sunday, May 26, 2013

Kisah kampung tertua Sungai Gombak


TENANGNYA penduduk kampung bersantai berhampiran sungai.


MOHD. NOR RASID ADAM merenung jauh tanpa menyasarkan titik tertentu. Lelaki berusia 66 tahun itu duduk di sebuah kerusi usang sambil memerhatikan rumah baharunya yang sedang dibina bagi menggantikan rumah kampung yang hangus dijilat api April lalu.
“Saya tinggal sehelai sepinggang. Api marak terlalu cepat sehingga saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang.
“Mujur semua ahli keluarga tidak mengalami kecederaan,” cerita Rasid mengenai kebakaran yang memusnahkan lebih 20 buah rumah di Kampung Puah, dua bulan lalu.
Kampung Puah yang terletak dalam daerah Gombak di Selangor ialah perkampungan Melayu kedua tertua di Lembah Klang selepas Kampung Baru di Kuala Lumpur. Kampung Puah dikatakan dibuka pada awal tahun 1930-an manakala Kampung Baru pada 1900.
Meskipun semakin dihimpit bangunan pencakar langit dan premis perniagaan, suasana desa masih terasa meriah. Di halaman rumah, golongan ibu tekun menyapu dan membakar sampah. Tidak kurang juga yang asyik bersembang dalam kumpulan kecil.
“Saya sebenarnya generasi kedua kampung ini. Menurut cerita arwah ayah saya, penduduk asal kampung ini terdiri daripada suku Puah yang merupakan sebahagian daripada etnik Minangkabau di Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia,” beritahu Rasid.
Tambahnya, suku itu datang dari Sumatera pada tahun 1930 dan membuka Kampung Puah.
Sungai
“Mereka bekerja sebagai petani dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu, majoriti mereka bekerja di lombong bijih timah,” ujarnya.
Kampung Puah yang dibina di tebing Sungai Gombak turut meliputi beberapa buah kampung lain iaitu Kampung Lembah, Kampung Seberang dan Kampung Bahagia.
Rasid kelihatan teruja apabila bercerita mengenai Kampung Puah pada era 50 tahun yang lalu.
Katanya, Sungai Gombak yang mengalir perlahan di tepi kampung itu merupakan tempat tumpuan penduduk kampung mencari rezeki khususnya ikan sungai untuk dijadikan lauk seharian.

SUNGAI GOMBAK berhampiran Kampung Puah masih menjadi tempat penduduk kampung menjala ikan.


“Ikan bersaiz besar seperti jelawat, lampam, sebarau dan tilapia boleh didapati dengan mudah. Sekali menyelam sahaja sudah boleh menangkapnya dengan tangan kosong.
“Saiz ikan-ikan itu agak besar iaitu sehingga mencecah 10 kilogram berat. Bukan itu sahaja, air anak Sungai Klang itu pula boleh terus diminum tanpa perlu dimasak terlebih dulu,” ujarnya.
Terang Rasid, air sungai yang separas pinggang itu cukup jernih sehingga nampak pasir dan batu-batu yang memutih di dasarnya.
“Keadaan itu kekal sehingga perlombongan bijih timah menggunakan kapal korek dimulakan oleh British di kampung ini.
“Ini ditambah oleh bahan buangan sisa industri pada awal 1950-an yang menyebabkan sungai ini tercemar,” katanya.
Menurut Rasid, tapak bekas lombong itu sudah dikambus bagi memberi laluan kepada projek perumahan.
“Sekarang masih ada orang yang mandi sungai di Kampung Puah tetapi airnya sekadar separas lutut. Tiada lagi jelawat atau lampam yang menghuni sungai itu, yang tinggal cuma ikan tilapia,” katanya.
Bagi Baharom Abdul Jalil, 66, suhu waktu pagi suatu ketika dahulu sangat sejuk sehingga terasa menggigit tulang.
“Kami tidak pakai kipas atau pendingin hawa pada waktu pagi dan malam kerana persekitaran semula jadi kawasan ini sungguh nyaman dan menyenangkan.
“Malah, pada awal 1940-an haiwan seperti kancil, kijang, monyet dan beruk berkeliaran sehingga ke halaman rumah. Begitupun, sukar untuk menangkap kancil dan kijang kerana haiwan itu pantas melarikan diri,” cerita Baharom.

KAMPUNG PUAH merupakan antara kampung terlama wujud di Lembah Klang.


Tok Sati
Katanya lagi, gotong-royong semasa kenduri kahwin pula menjadi amalan biasa penduduk kampung.
“Dahulu orang kampung tanpa mengira usia berganding bahu membina pangkin buluh untuk dijadikan meja, kerusi dan tempat menjamu tetamu makan.
“Kami tidak pakai kanopi seperti sekarang. Batang buluh terbabit diikat dengan tali untuk membentuk struktur khemah.
“Atapnya diperbuat daripada daun nipah manakala tiang buluh akan dibalut kertas minyak berwarna merah bagi menandakan tuan rumah sedang mengadakan majlis kenduri kahwin,” ujar Baharom sambil memberitahu, kampung ini juga dikenali dengan rendang Kampung Puah yang enak.
Tambahnya, pada masa itu majoriti penduduk kampung bekerja sebagai pelombong dengan gaji sekitar RM60 sebulan.
“RM60 adalah satu nilai yang besar pada 50 tahun lalu. Ia boleh menampung perbelanjaan harian selama sebulan. Lagipun, harga barang keperluan tidak semahal sekarang,” katanya.
Sementara itu, Kampung Puah juga memiliki kisah eksentrik berkaitan peneroka asalnya yang dikenali sebagai Tok Sati. Seorang penduduk, Abdul Wahab Hassan, 65, memberitahu, Tok Sati berasal dari Minangkabau, Indonesia.
“Cerita lisan mengatakan dia seorang yang alim. Dia juga sering mengubat penduduk kampung yang sakit dan didakwa mempunyai ilmu ghaib,” katanya.
Dikatakan makam Tok Sati ada di kawasan surau Madrasah Nazariah yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: