Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, dia percaya dirinya tidak bersalah kerana semasa kejadian itu dia bukannya berada berdua-duaan sebaliknya terdapat lima orang lain ketika pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan.
"Saya tak boleh komen panjang tentang isu ini kerana ia sudah pun menjadi kes mahkamah.
"Cuma apa yang ingin dikatakan, saya diperangkap oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab. Saya yakin, saya tidak bersalah terhadap kejadian itu. Kita lihat sahaja kes mahkamah pada November depan nanti," tegasnya.
Shahrizal ditemui pada penggambaran drama bersiri Iman Nabila, arahan Shuhaimi Lua Abdullah yang dilakukan di sebuah pusat karaoke di Sri Rampai, di sini, pada Isnin.
Drama terbitan Suhan Movies Productions itu akan disiarkan di TV3 bermula 10 Jun depan.
Penahanan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 29(1) A dan B, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 selepas Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu menerima aduan daripada pihak awam berhubung kegiatan berkenaan.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu tambah pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Asmara tersebut, dia sedikit pun tidak berasa tergugat walaupun namanya sudah tercalar gara-gara kejadian itu.
Beritahu Shahrizal, selepas diikat jamin, dia terus mengumpulkan keluarganya serta keluarga pihak tunangnya, Redzwani Puteri, 25, bagi menjelaskan situasi sebenar apa yang telah berlaku.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana memiliki keluarga yang sentiasa menyokong dan mendengar sesuatu perkara sebelum bertindak atau membuat keputusan.
Tambah Shahrizal, dia juga bersyukur mempunyai tunang yang cukup memahami dan tidak melatah selepas mendapat tahu kejadian tersebut
"Nampak sahaja dia lembut, tetapi Puteri seorang yang bijak dan berjiwa kental. Ketika saya ditahan pihak Jais, tunang menelefon saya untuk mendapatkan penjelasan tetapi saya kata, hal ini perlu dibincangkan secara bersemuka.
"Syukur, dia sangat tenang dan faham selepas mendengar cerita sebenar daripada saya," tuturnya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, kejadian khalwat yang berlaku terhadapnya itu merupakan satu pengajaran besar buatnya di mana dia perlu berhati-hati dalam setiap langkah yang dilakukan selepas ini.
"Ia menjadi tauladan besar buat saya. Tidak sangka, dalam berjaga-jaga batas pergaulan, perkara begini boleh terjadi kepada saya," tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: