|
DULU bersama New Boyz, kini dia merupakan vokalis Manifesto. Itu perkembangan terbaharu nama penyanyi yang cukup dikenali dengan nama unik dan eksklusif hanya buat dirinya - Tomok.
Selepas meraih juara program realiti One In A Million musim ketiga dengan tampil secara solo, Tomok telah membina hala tuju yang lebih cerah dan impak yang lebih mantap buat masa depan karier nyanyiannya.
Tomok yang popular dengan lagu hit solonya, Bagaikan Bidadari itu membuat kejutan apabila mengumumkan dia kini bergabung dengan kumpulan Modread bagi membentuk band yang dikenali sebagai Manifesto!
Sebenarnya, Manifesto ditubuhkan khusus untuk bertanding dalam program realiti, Versus musim kedua (Versus 2) di TV9.
Tomok yang ditemui di Space U8, Shah Alam, Selangor baru-baru ini galak bercerita tentang pengalamannya bersama Manifesto dalam usaha mereka untuk menjuarai Versus 2.
"Idea asal untuk bergabung dengan Modread bagi membentuk Manifesto sememangnya datang daripada saya sendiri," ujar Tomok yang menjelaskan dia meraih idea tersebut selepas mendapat tawaran daripada TV9 untuk turut bertanding dalam Versus 2.
Oleh kerana pengalaman dan kemenangan yang pernah diraih oleh Modread menerusi Hot FM Bingit musim pertama, menyebabkan Tomok yakin kumpulan itu dapat memberi kerjasama baik dan bersama-sama dengan dirinya dalam memperjuangkan muzik Manifesto.
Khusus untuk Versus 2, Manifesto memperjuangkan genre rock dan ingin menunjukkan kelainan dari segi muzik yang akan disampaikan bagi bersaing dengan empat kumpulan lain yang turut bertanding iaitu Estranged, Kyoto Protocol, Kristal, dan Oh Chentaku.
"Antara kumpulan yang bertanding dalam Versus 2, Estranged adalah pesaing terhebat berdasarkan pengalaman dan pengaruh mereka," ujar Tomok.
Teknologi Tablet
Merujuk kepada persembahan pada minggu-minggu sebelumnya dalam Versus 2, Manifesto menunjukkan keberanian untuk mencuba teknologi baharu iaitu menggunakan apa yang dikenali sebagai Tablet sebagai pengganti alat muzik yang menjadi kebiasaan bagi semua kumpulan muzik.
"Idea itu (menggunakan tablet) datang daripada saya dan kami semua rasa ia benda baharu. Ia memang mencabar kami kerana sangat sensitif dan kami mengambil masa tidak sampai seminggu untuk berlatih menggunakannya.
"Alhamdulillah, persembahan kami dengan menggunakan Tablet meraih komen-komen yang positif daripada pihak juri," kata Tomok.
Sebagai persiapan untuk final Versus 2, Manifesto telah menghasilkan sebuah lagu hasil ciptaan sepenuhnya daripada salah seorang daripada anggota Modread iaitu Fami Ikhwan.
"Kami akan membuat persembahan lagu pertama kami khas untuk Versus 2, dan kami berharap peminat Manifesto akan suka lagu yang akan kami bawa pada final nanti," ujar Fami.
Apa yang pasti Manifesto tidak akan berkubur selepas Versus 2 tamat. Ini kerana Versus 2 dijadikan platform buat Manifesto untuk mengembangkan lagi sayap dalam dunia muzik tanah air.
Tambah Fami: "Perancangan selepas Versus 2 tamat adalah kami sebagai Manifesto, ingin menghasilkan album mini yang memuatkan beberapa buah lagu."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: