Sunday, May 26, 2013

AF mati hidup semula


KHAIRUL ANWAR (tengah), Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad (kanan), dan Penerbit Eksekutif AF10, Mackenna Singh semasa sidang media mengumumkan AF10, Khamis lalu.


AKADEMI FANTASIA (AF) yang damai bersemadi usai Hazama diumumkan sebagai juara AF musim kesembilan dua tahun lalu kini bangkit semula dari kuburan. Kembali bernafas, AF musim ke-10 dijangka sekali lagi akan berdepan semula kritikan, herdikan dan perhatian penonton yang selama ini banyak teralih kepada program pencarian bakat yang lain.
Sepintas lalu, walaupun Astro dikritik kerana menjilat ludah sendiri apabila membuat pengumuman kemunculan semula AF dengan musim baharu, namun Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bertegas AF masih relevan untuk diteruskan.
Katanya, AF kekal menjadi sebuah platform dominan yang membekalkan pelapis-pelapis seni tanah air kepada industri hiburan tempatan.
"AF sebenarnya masih relevan dalam membekalkan bakat-bakat baharu kepada industri dan ini terbukti daripada sembilan musim terdahulu yang banyak melahirkan artis berjaya dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan.
"Bagaimanapun, Astro harus akur bahawa format terdahulu perlu diubah kerana banyak yang tidak lagi sesuai. Kuasa media sosial ketika mendesak sesuatu yang baharu dalam AF," jelas Khairul ketika mengumumkan kemunculan semula AF 2013, Khamis lalu.
Dijangka bersiaran pada September depan di Astro Ria, AF10 juga dilihat tidak lagi mengguna pakai sistem kuarantin yang diamalkan selama ini. Untuk musim akan datang, peserta AF akan diberi akses kepada internet untuk melayari Facebook, Twitter dan Instagram untuk lebih intim dengan penyokong masing-masing.
Khairul yakin, perubahan itu tidak akan mengganggu konsentrasi para peserta malah akan mendidik mereka supaya lebih memberi perhatian dan membahagikan masa dengan baik.

BEKAS-BEKAS juara AF musim lalu turut hadir memberi sokongan kepada kemunculan semula program pencarian bakat nyanyian popular itu menjelang September nanti.


"Saya anggap itu sebagai peluang mereka untuk belajar. Membenarkan penggunaan laman sosial ialah salah satu objektif dalam mempersiapkan mereka menjadi seorang artis," jelas Khairul yang masih menyimpan butiran lanjut mengenai program berkenaan.
Ketika Zizan hangat dispekulasikan sebagai pengacara AF yang baharu, Khairul menambah, satu lagi sidang media akan dibuat bagi memperkenalkan konsep, tenaga pengajar dan hos program terbabit.
Pada majlis sama, Khairul turut memperkenalkan lagu tema AF dan logo versi terbaharu. Untuk musim akan datang, selain peserta solo, pasangan duet juga boleh mengambil bahagian dalam AF. Peserta juga boleh menghantar link video nyanyian mereka yang dimuat naik ke laman YouTube ke portal rasmi AF dan calon yang berjaya akan dipanggil untuk diuji bakat dilokasi berdekatan.
"Video-video yang terpilih akan dihubungi oleh pihak produksi untuk ke peringkat seterusnya dan cara ini dilihat lebih dekat dengan kuasa sosial media dan akan memudahkan mereka," jelasnya.
Peserta mestilah berumur 18 hingga 35 tahun dan ia turut terbuka kepada warga Singapura. Maklumat lanjut mengenai sesi uji bakat secara talian boleh melayari www.akademifantasia.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: