Wednesday, May 29, 2013

Bebas melukis di The Studio@KL

ORANG ramai tertarik menyaksikan karya para pelajar.


WALAUPUN tidak mempunyai kemahiran dalam bidang seni lukis, anda tidak perlu bimbang kerana The Studio@KL memberi peluang kepada anda untuk mempelajarinya tanpa mengenakan sebarang syarat.
Anda boleh melukis apa sahaja mengikut cita rasa masing-masing.
Pemilik The Studio@KL, Jennifer Tan berkata, tempat tersebut sesuai untuk golongan yang gemar melukis tetapi tidak mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.
Beliau dan suaminya, Jonny Ishaque, 41, telah membuka pusat itu di Solaris, Dutamas, Kuala Lumpur pada April 2010.
Sejak dibuka, pihaknya mempunyai 50 pelajar yang terdiri daripada golongan profesional, ahli perniagaan dan suri rumah.
“Kami juga menawarkan kelas lukisan kepada kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 14 tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran lukisan pelajar-pelajarnya yang julung kali diadakan.
Justeru, orang ramai boleh mengunjungi, The Studio@KL untuk menyaksikan hasil karya pelukis-pelukis di situ yang berakhir hari ini.
Menyentuh mengenai konsep bebas di pusat itu, beliau memberitahu, para pelajar bebas melukis apa sahaja kerana tiada sebarang tajuk diberikan malah pihaknya turut menyediakan tempat untuk melukis.
“Kami memberikan mereka kebebasan sepanjang mereka melukis malah, jika mereka memerlukan bantuan atau tunjuk ajar, kami sedia membantu.

PAMERAN hasil kerja para pelajar di The Studio@KL berakhir hari ini.


Rujukan
“Kami juga menyediakan contoh foto lukisan sebagai rujukan tetapi mereka tidak perlu meniru dengan tepat,” katanya yang tidak lokek berkongsi ilmu mengenai bidang itu.
Pihaknya turut menyediakan peralatan melukis seperti berus pelbagai saiz, kanvas, warna air, bufet warna akrilik, struktur kuda-kuda dan apron.
Wanita kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu memberitahu yuran bagi kanak-kanak ialah sebanyak RM400 manakala dewasa RM480.
“Kelas dijalankan sebanyak empat kali sebulan dengan setiap kelas memakan masa sehingga tiga jam,” ujarnya lagi.
Bagi Sally Rodwan, 52, dia meminati lukisan sejak di bangku sekolah lagi.
Begitupun, pada tahun 2011, salah seorang rakannya menyarankan supaya mengikuti kelas di The Studio@KL memandangkan konsep pembelajaran yang bebas.
“Pusat ini sangat unik kerana membiarkan peserta melukis apa sahaja.
“Saya kurang berbakat dalam seni lukis tetapi sejak mengikuti kelas ini, kemahiran saya semakin bertambah baik,” jelasnya sambil memberitahu dia meneroka sendiri cara-cara melukis serta dibantu oleh Jennifer.
Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh melayari laman web di www.thestudioatkl.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: