Memilih tarikh 15 Ramadan untuk disatukan semula sebagai suami isteri, Hattan mengakui ada beberapa sebab kenapa dia kembali kepada bekas isterinya.
Kata Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabuddin, dia bukan sahaja lebih mengenali peribadi bekas isterinya itu, malah ia turut mendapat dorongan keluarga.
"Saya rasa, tidak ada wanita lain lebih layak berbanding dia kerana kami pernah mengharungi liku-liku hidup bersama.
"Lagipun, keluarga saya sendiri memilih dia untuk menjadi isteri saya. Walaupun kami berpisah lebih lapan tahun, namun saya tidak pernah melupakannya.
"Malah, saya sentiasa berdoa agar hati kami bertaut kembali. Saya berharap agar hubungan ini akan kekal hendaknya dan saya cuma untuk membuka lembaran baru," katanya yang mengakui majlis itu akan diadakan dalam majlis sederhana sahaja.
Bertanya mengenai pemilihan tarikh, Hattan memberitahu dia sememangnya mahu berkahwin pada Ramadan kerana selepas itu mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.
Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 dan bercerai pada 10 Mac 2005.
Anak tak tunjuk gembira
Hasil perkahwinan bersama Arianie selama sembilan tahun, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman yang kini berusia 15 tahun.
Menyambut baik hasrat bapanya untuk kembali memperisterikan ibu, Hattan berkata, anaknya sangat gembira dengan keputusan itu.
"Walaupun pada zahirnya dia tidak menunjukkan tanda-tanda gembira, namun saya tahu perasaannya.
"Saat saya memberitahu keputusan itu, dia hanya cakap 'okay'. Malah, pada awalnya, saya memilih untuk berkahwin pada tarikh hari lahirnya, 21 Ogos.
"Namun, setelah difikirkan kembali, ada baiknya dibuat pada Ramadan," katanya.
Single bersama Waris
Bakal tampil kolaborasi bersama penyanyi rap baru, Waris, ia pastinya karya yang ditunggu-tunggu peminat Hattan.
Memilih Waris sebagai teman duetnya, pasti Waris yang terkenal dengan lagu Rembau Most Wanted itu mempunyai kelebihan yang tersendiri di mata Hattan.
"Dia adalah anak muda yang penuh dengan kreativiti dan kreatif dalam menghasilkan karya. Lagipun, kami dari negeri yang sama.
"Single bersama Waris ini berjudul Ke Jelobak Ke Jolobu. Dalam single itu, kami akan menggunakan dialek Negeri Sembilan.
"Satu lagi single adalah dari Datuk M Nasir masih belum ada judul lagi," kata anak kelahiran Seri Menanti ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: