Monday, May 27, 2013

Pengalaman pahit mangsa coronavirus


LANGKAH-LANGKAH pemeriksaan lebih ketat dijalankan untuk mengelakkan virus itu daripada merebak.


PADA hari ketiga selepas kematian bapanya akibat jangkitan pada sistem pernafasan, Hussein al-Sheikh mula berasa tidak sedap badan dan demam.
Demam kuat yang dihidapi pemuda Arab Saudi berusia 27 tahun itu menyebabkan dia terasa seperti hendak mati.
Hussein sering melawat bapanya yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Dhahran yang terletak di wilayah timur, Arab Saudi terutama pada hari-hari terakhir sebelum kematian bapanya.
Penyakit itu kemudian turut menjangkiti abangnya, Abdullah dan adiknya, Hanan menyebabkan mereka kemudian mendapatkan rawatan di hospital berhampiran daerah oasis, Ahsa.
Doktor percaya, bapa mereka, Mohammed al-Sheikh, menjadi mangsa sejenis virus baharu dikenali sebagai coronavirus.
Ia dilihat hampir sama dengan penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mula muncul di negara-negara Teluk tahun lalu.
Sehingga kini, virus tersebut telah menyebabkan 18 kematian dengan sembilan daripadanya merupakan rakyat negara tersebut.
Rentetan itu, terdapat kebimbangan antarabangsa berhubung penemuan tersebut. Ia merupakan virus daripada keluarga patogen sama yang pernah mencetuskan wabak SARS di seluruh dunia selepas bermula di Asia pada tahun 2003. Seramai 775 orang terbunuh disebabkan jangkitan SARS.
Beberapa kematian dipercayai akibat virus baharu tersebut berlaku di Britain dan Perancis. Kebanyakannya membabitkan mangsa yang pernah berkunjung ke Asia Barat. Setakat ini, sebanyak 34 kes di seluruh dunia telah disahkan melalui ujian darah.
"Suhu badan saya sangat tinggi, tahap oksigen dalam darah pula amat rendah. Saya rasa sungguh penat hingga tidak mampu berjalan dan sebarang aktiviti membuatkan saya batuk," kata Hussein, pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang melanjutkan pengajian di Kanada. Bagi mengelakkan sebarang jangkitan, dia memakai topeng muka berwarna hijau.
Sehubungan itu, pakar dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah melawat Ahsa untuk menjalankan siasatan berhubung penyebaran virus tersebut dengan kerjasama pihak berkuasa Arab Saudi.
Baru-baru ini, pegawai kanan WHO mengatakan bahawa coronavirus itu dipercayai boleh menjangkiti mereka yang berhubung rapat dengan pesakit.
Penolong Ketua Pengarah WHO, Keiji Fukuda berkata, bagaimanapun, masih tiada bukti bahawa virus itu mampu kekal untuk menyebarkan wabak dalam masyarakat sekali gus menjadi pandemik.

VIRUS baharu coronavirus dikatakan virus daripada keluarga patogen yang sama dengan SARS.


Demam panas
Seorang pakar kesihatan awam yang enggan dikenali memberitahu, seseorang itu dipercayai boleh dijangkiti jika berada di dalam ruang kecil dan tertutup bersama pesakit dalam satu tempoh masa yang lama.
Mohammed yang menderita penyakit diabetes telah ditahan di hospital kerana demam panas dan kandungan gula rendah dalam darah tidak tahu virus sebenar yang menjangkiti. Dia koma dua hari sebelum meninggal dunia.
"Doktor sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Dua hari selepas dimasukkan ke wad, bapa masih mampu bercakap, menyuap makanan sendiri dan pergi ke tandas.
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba dia berubah menjadi lebih teruk dan diberi steroid serta bantuan oksigen pada tahap tertinggi. Dia meninggalkan kami tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal," jelas Hussein merujuk kepada kematian bapanya.
Berikutan khabar angin mengenai tahap virus di Ahsa minggu lepas, ahli keluarga pesakit yang dijangkiti telah dimasukkan ke hospital dan diminta pihak berkuasa agar tidak bercakap dengan media.
Terpisah dari bandar besar Riyadh dan Dammam oleh padang pasir yang terbentang luas, Ahsa merupakan satu kawasan yang popular dengan ladang kurma.
Hussein berkata, dia percaya bapanya telah dijangkiti coronavirus sewaktu berada di ICU hospital tersebut. Dia turut menerima kesannya selepas menghabiskan masa berjam-jam melawat bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada 15 April lalu.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Pengurus Besar Hospital Umum Al-Moosa, Malek al-Moosa. Sebaliknya beliau percaya pesakit sebenarnya telah terdedah kepada sumber virus di luar hospital tersebut.
Fukuda pula menegaskan, sehingga kini masih tidak jelas bagaimana virus itu merebak.
Daripada empat ahli keluarga Mohammed al-Sheikh yang jatuh sakit, hanya Abdullah, 33, didapati positif menghidap coronavirus. Sampel darah Mohammed, Hussein dan Hanan masih diuji. Namun kemungkinan mereka juga turut dijangkiti adalah tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: