Monday, May 27, 2013

Zahid kahwin 7 Jun


ZAHID dan Sarah Julifa mula berkenalan pada sambutan Aidilfitri tahun lepas.


MENJAWAB segala teka-teki yang selama ini bermain-main di minda peminat, juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid mengakui akan menamatkan zaman bujangnya pada awal bulan Jun nanti.
Kata Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 32, dia akan mengahwini gadis bernama Sarah Julifa Jusoh yang telah dikenalinya setahun lalu.
“Ya, memang benar saya akan berkahwin tidak lama lagi. Kami telah berkenalan sejak tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada 7 Jun ini.
“Majlis pernikahan akan diadakan di rumah sebelah perempuan di Teluk Intan, Perak dan resepsi akan berlangsung pada 8 Jun di rumah pengantin perempuan.
“Kemudian, majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 15 Jun juga di Teluk Intan, Perak,” ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar pengumuman Akademi Fantasia 2013 di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkenalan di Twitter
Menurut Zahid lagi, persiapan menjelang hari bahagianya telah dilakukan serba sedikit, biarpun agak kelam-kabut kerana ia dilakukan pada saat akhir.
“Saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan inilah masa yang paling sesuai. Saya berharap tidak akan timbul sebarang masalah selepas ini,” katanya.
Perkenalan antara Zahid dan Sarah Julifa, 25, bermula ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu selepas beberapa ketika berinteraksi melalui laman sosial Twitter.
Malah, sepanjang perkenalan Zahid tidak pernah mengetahui bahawa Sarah Julifa bekerja di bawah satu bumbung dengannya iaitu di Astro.
Gulai lemak ayam
Ditanya akan kriteria gadis itu yang telah menambat hatinya, jawab Zahid sikap Sarah Julifa yang memahami kerjayanya sebagai seorang artis mengeratkan hubungan mereka sebagai pasangan kekasih.
“Dia seorang yang sangat memahami kerjaya saya dan mampu berdikari. Tanpa disedari dia sekali gus telah mengubah kehidupan saya menjadi lebih teratur dan pandai menguruskan masa. Memang dia memiliki peranan sebagai seorang isteri yang selama ini saya cari,” katanya.
Zahid menjelaskan mereka mungkin bertunang sama ada sehari atau hari yang sama sebelum bernikah kerana ingin mengelakkan hubungan mereka menjadi terlalu lama.
“Saya malas bercinta lama-lama kerana saya tahu akan timbul banyak cabaran. Dia telah lulus ujian pertama saya untuk memasak gulai lemak ayam dan saya teruja menantikan hari bahagia saya bersamanya,” luah Zahid.
Sebelum ini, penyampai radio Era FM itu pernah dilaporkan menjalin hubungan dengan penyanyi Nita Hamzah sebelum digosipkan akan berkahwin dengan seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Nurul Mardiana namun, Zahid menepis semua dakwaan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: