Monday, May 27, 2013

Pengumpul tidak kisah habis wang



KEPADA yang gemar melancong ke luar negara, cenderamata seperti kemeja T, rantai kunci dan magnet peti ais pasti menjadi barangan wajib untuk dibawa pulang sebagai oleh-oleh kepada keluarga, sahabat handai mahupun untuk diri sendiri.
Namun, lain pula ceritanya dengan Amir Effendi Abd. Rahim, 36. Sekiranya dia melancong atau bertugas di luar negara, barangan yang mempunyai signatur jenama Coca-Cola pasti menjadi cenderamata untuknya.
Sekiranya ada dalam kalangan rakan-rakannya melancong, dia pasti mengirim sekurang-kurangnya sebotol minuman Coca-Cola dari negara luar sebagai oleh-oleh.
Menurut Amir, dia terlalu gemar dengan jenama Coca-Cola. Sehingga kini dia mempunyai ribuan produk jenama minuman tersebut seperti botol, tin, pelekat, kalendar, beg dan cawan yang berlainan tahun dan negara daripada jenama itu.
Minatnya mengumpul barangan yang berunsurkan minuman berkarbonat itu bermula sejak kecil.
Tin minuman pertama menjadi koleksinya ialah air Sudi iaitu minuman berkarbonat keluaran syarikat Allahyarham Sudirman Arshad pada tahun 1989. Minuman berkarbonat itu mempunyai tiga perasa yang berbeza iaitu kola, oren dan lemon.
"Ketika itu, iklan mengenai minuman itu sering terpampang di majalah dan televisyen. Kemudian, pada tahun 1995, saya mula meminati dan mengumpul barangan jenama Coca-Cola.
"Masa itu saya masih berada di bangku sekolah dan warna merah yang menjadi signatur Coca-Cola juga merupakan salah satu faktor utama saya meminati jenama itu," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Bapa kepada dua cahaya mata itu bertugas dengan salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara. Melalui NGO yang disertainya, dia berpeluang menyertai pelbagai misi kemanusiaan di serata dunia termasuklah Palestin.
Setiap kali ke negara yang sedang bergolak itu, dia pasti membawa pulang kira-kira 10 botol air Coca-Cola yang berisipadu 500 mililiter (ml) untuk simpanannya atau dijual kepada individu yang berminat.
Menurutnya, ketika mengadakan misi kemanusiaan ke Tel Aviv, Israel tahun lalu, dia terjumpa kotak yang menempatkan enam botol Coca-Cola yang berisipadu 1.5 liter di kaki lima bandar tersebut. Dek obsesinya terhadap barangan daripada jenama itu, dia mengutip kotak tersebut untuk dijadikan koleksi peribadinya.

PAUL menunjukkan koleksi tin Coca-Cola dari pelbagai negara yang tersimpan di dalam bilik khas di kediamannya di Bukit Mertajam.


Botol kaca
"Terdapat banyak kotak Coca-Cola di kali lima. Ada yang masih elok dan ada juga yang telah rosak. Apa yang terlintas di fikiran saya ialah kotak itu merupakan salah satu barangan yang sukar untuk didapati di tanah air. Selain untuk koleksi, saya juga menjual kotak itu pada harga RM10 setiap satu kepada sesiapa yang berminat.
"Tetapi, tulisan Ibrani yang tertera pada setiap botol kaca, tin dan kotak produk Coca-Cola di sana amat jarang ditemui di negara lain. Bagi saya, itu merupakan perkara yang unik," ujarnya yang menyimpan koleksi barangan Coca-Cola di dalam sebuah bilik di kediamannya di Kota Damansara, Selangor.
Antara barangan produk Coca-Cola yang paling disayangi Amir ialah replika botol Coca-Cola yang diperbuat daripada 100 peratus bahan kaca yang mempunyai cetakan tulisan signatur Coca-Cola yang timbul.
"Saya tidak berniat untuk menjual botol itu. Tetapi sekiranya ada individu yang sengaja atau secara tidak sengaja memecahkannya, ganti rugi sebanyak RM1,000 harus dibayar kepada saya," selorohnya.
Harga produk Coca-Cola sama ada botol atau tin semakin tinggi mengikut tahun ia dihasilkan dan informasi yang terdapat padanya. Semakin lama botol atau tin itu, semakin meningkat harganya. Harga akan melonjak sekiranya botol atau tin itu tidak dibuka dan masih mempunyai isipadu air di dalamnya.
Kemajuan teknologi tanpa sempadan dewasa ini seperti Facebook dan Twitter membantu pengumpul barangan Coca-Cola berinteraksi di antara satu sama lain.
Sebagai contoh, Facebook The Coca-Cola Collectors Club. Melalui laman tersebut, pengumpul-pengumpul barangan Coca-Cola boleh berkongsi minat dan barangan mereka bersama ahli lain.
Berhabis RM100,000
Seorang pengumpul dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Paul Velanganny, 36, memberitahu, kebanyakan barangan koleksinya didapati daripada luar negara melalui bidaan di laman web lelong, eBay.
Menurutnya, dia telah menghabiskan kira-kira RM100,000 untuk memenuhi minatnya sejak mula mengumpul barangan Coca-Cola 13 tahun lalu.
Selain membida di eBay, dia juga membeli barangan Coca-Cola dari Amerika Syarikat, Itali dan Australia melalui kenalannya yang tinggal di sana.
"Selain membeli barangan Coca-Cola, kami juga saling bertukar koleksi sekiranya mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Ini juga merupakan salah satu cara saya meluaskan kenalan yang mempunyai minat yang sama.
"Bagi saya, barangan seperti tin dan botol keluaran Malaysia merupakan koleksi yang paling berharga sekiranya ada pengumpul yang menyimpannya. Menjadi kebiasaan, selepas Coca-Cola diminum, ia pasti dibuang terutamanya botol dan tin era tahun 1980-an dan 1990-an," ujar jurutera bahagian elektrik syarikat swasta di Pulau Pinang itu.
Tin Coca-Cola sempena Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan merupakan antara koleksinya yang mendapat permintaan ramai sehingga mampu mencecah RM600. Selain itu, penutup botol yang diperbuat pada tahun 1930-an juga merupakan antara barangan yang dimilikinya.
"Coca-Cola merupakan satu jenama yang mempunyai pengaruh yang kuat di seluruh dunia sejak tahun 1886. Jenama ini telah melalui pelbagai peristiwa penting yang terjadi di dunia seperti Perang Dunia dan masih utuh sehingga kini," tambahnya.

KOTAK tisu Coca-Cola merupakan antara koleksi unik yang mencuri tumpuan lensa Amir ketika menjamu selera di Nazareth, Palestin.


Botol Coca-Cola pertama di Malaysia
Paul juga mempunyai pelbagai koleksi poster Coca-Cola yang menghiasi majalah National Geographic sekitar tahun 1950-an untuk dijual kepada penggemar barangan jenama itu.
Menurutnya, kebanyakan majalah dokumentari itu dibeli dari luar negara, kedai buku terpakai dan di kawasan pedalaman Malaysia.
Sementara itu, pengumpul dan peminat tegar jenama Coca-Cola, Mohamad Shahril Sabari, 29, memberitahu, minatnya terhadap jenama itu bercambah sejak dia bekerja di bahagian kewangan Coca Cola Bottlers (Malaysia) Sdn. Bhd. dua tahun lalu.
Sehingga kini, dia mempunyai 150 botol dan 130 tin dari pelbagai negara dan berlainan rekaan.
Baginya, ia merupakan satu kepuasan apabila berjaya mengumpul koleksi yang tidak dimiliki oleh individu lain.
"Botol pertama Coca-Cola di Malaysia yang belum dibuka dengan isipadu 285 ml yang dijual pada tahun 1990 merupakan antara koleksi kesayangan saya. Saya memperoleh botol tersebut daripada seorang kenalan. Pada tahun itu, harga sebotol air itu hanya 90 sen," ujarnya sambil menunjukkan tanda harga yang tertera pada botol minuman tersebut.
Tutur Shahril, dia amat berkecil hati apabila ada sesetengah individu yang menganggap pekerjaannya di Coca Cola Bottlers (Malaysia) Sdn. Bhd. serta hobinya itu dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel.
Menurutnya, masyarakat di Malaysia masih skeptikal terhadap jenama Coca-Cola dan menganggap ia merupakan penyumbang utama kepada Yahudi.
"Dahulu Coca-Cola di Malaysia diuruskan oleh F&N. Kini, jenama itu telah berdiri dengan sendiri melalui syarikat Coca Cola Bottlers (Malaysia) Sdn. Bhd. Syarikat ini hanya menggunakan jenama Coca-Cola sebagai salah satu strategi pemasaran di Malaysia. Ia tidak ada kaitan dengan sumbangan kepada Yahudi kerana ia merupakan sebuah syarikat Malaysia," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: