Afdlin menjadi mentor kepada dua peserta iaitu Bowl dan Bocik.
“Markah juga banyak pada juri. Juri bukan mengambil lawak sahaja. Mereka menekankan aspek-aspek lain juga.
“Kadang-kadang saya pun keliru, kita buat pertandingan lawak atau teater? Kalau pertandingan teater, kita buat teater. Kalau buat lawak, maknanya kita beri penonton ketawa dan terhibur. Jika begitu, bagaimana pemarkahannya?,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui pada Ahad malam.
Mengambil contoh persembahan Gegau dan Ajo, Afdlin berkata, beliau tidak tahu apa yang difikirkan juri.
“Memang saya rasa Gegau memang terbaik. Bagus dan kelakar. Tanpa berkata apa-apa mereka berjaya buat penonton ketawa.
“Tapi macam Ajo. Apa yang dia buat menarik tapi bukan lawak. Jadi, macam mana pemarkahan untuk dia? Itu lah yang pada saya...tak tahu apa yang juri fikirkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pihak TV3 dapat memberi penjelasan terhadap perkara tersebut.
“Saya rasa mungkin TV3 perlu jelaskan berkenaan perkara ini. Kalau mereka cakap okey tak perlu lawak, kita buat benda lain. Kalau dia nak lawak, kita buat. Tiap-tiap minggu saya pecah kepala fikir nak buat lawak.
“Kalau garis panduannya adalah lawak, kita bincang pasal lawaklah tapi kalau ada garis panduan lain-lain, beritahu kita supaya kita boleh buat juga,” katanya.
Menjelas lanjut soal itu, Afdlin akui perkara tersebut sedikit mengganggunya.
“Jika pemarkahan berdasarkan seratus peratus undian, kita bermain untuk penonton tapi kali ini kita bermain untuk juri bukan penonton. Jadi, apa yang juri itu mahu kadang-kadang tak perlu lawak pun, mereka dah suka.
“Pada saya, perkara itu sedikit mengganggu saya. Kalau boleh terangkan pada saya, baguslah,” katanya.
Tambahnya, “kalau betul ini pertandingan lawak, lawak mesti menjadi kriterianya. Kalau persembahan adalah kriterianya, beritahu.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: