Sunday, May 26, 2013

Tiket bernilai untuk empat grup besar


GRUP Search bersama pihak penganjur, Clockwork Events pada sidang media konsert Thunder In The East 2013 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 30 Jun ini.


MELIHATKAN harga tiket yang dianggap mahal buat sebuah festival rock yang dinamakan Thunder In The East 2013, Shamil Yusoff selaku pengarah Clockwork Events menegaskan, walaupun keuntungan adalah objektif utama sebagai penganjur namun pihaknya mempercayai kekuatan para legenda yang dibawa berpatutan dengan harga yang dikenakan.
Konsert yang dibawakan oleh Clockwork Events ini bakal berlangsung di Stadium Merdeka bermula pukul 4 petang pada 30 Jun ini. Menariknya, para penonton boleh menonton empat buah grup berpengaruh dari empat buah negara. Rusty Blade (Singapura), Slank (Indonesia), Search (Malaysia) dan Loudness (Jepun) bersatu di bawah kibaran festival rock yang dinanti-nantikan oleh penggemar genre muzik tersebut.
Tiket dengan harga RM888 (VIP platinum), RM398 (VIP gold), RM258 (VIP silver) dan RM138 (tiket biasa) ini dijual untuk khalayak untuk menonton empat buah grup daripada empat buah negara dalam satu pentas yang dinamakan Thunder In The East 2013.
"Selain dapat menonton dari ruang Rock Zone yang berhadapan pentas, mereka yang membeli tiket bernilai RM888 turut diberi peluang untuk mengikuti bengkel gitar bersama Akira Takasaki. Pelbagai kejutan bakal dipersembahkan kepada para peminat yang hadir malah Akira Takasaki bakal membawa seorang pemain gitar yang bernama Sakura yang baru berusia 10 tahun," kata Shamil yang turut ditemui di majlis yang sama.

SLANK yang terdiri daripada (dari kiri) Kaka, Abdee, Bimbim, Ivanka dan Ridho akan muncul lagi di Malaysia.


"Idea konsert ini tercetus dari luar iaitu daripada Big Four Asia dan Loudness juga turut memberikan idea untuk membuat konsert ini dalam bentuk festival serta tidak hanya fokus kepada konsert solo Loudness," kata Pengarah Clockwork Events, Iman Tang ketika ditemui di sidang media pelancaran konsert tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Iman Tang berkata, undangan Clockwork Events yang diajukan kepada kumpulan yang cukup popular di Amerika Syarikat itu mendapat maklum balas baik.
"Grup Loudness sangat gembira dengan sambutan yang amat baik pada kunjungan pertama dahulu. Jadi, ketika kami menjemput mereka untuk konsert ini, Loudness segera memberi persetujuan. Anggota Loudness tidak menyangka mereka mempunyai ramai peminat di Malaysia.
"Mengenai grup lain, kami memilih kumpulan rock dari Asia yang berpengaruh kerana konsert ini bakal menjadi sebuah festival rock, " ujar Iman Tang.
Tiket boleh didapati di www.ticketpro.com.my, manakala maklumat mengenai konsert boleh diperoleh dengan melayari www.clockwork.my.
Grup Rusty Blade dan Slank akan menjadi pembuka tirai bagi konsert ini dengan diikuti oleh Search sejurus selepas waktu Maghrib. Grup Loudness yang dinaungi Minarou Niihara (vokalis), Akira Takasaki (gitar solo), Masayoshi Yamashita (bass) dan pemain dram baharu, Masayuki Suzuki bakal membawakan seorang pemain gitar muda berusia 10 tahun sebagai salah satu penarik konsert.

LOUDNESS akan muncul kali kedua di Malaysia tetapi di lokasi lebih besar.


Buat Amy Search yang pernah bergabung dengan grup Loudness pada tahun 2011, ini ialah sebuah momen yang patut diraikan umum.
"Saya dijemput berduet dengan Minoru pada konsert yang lalu. Pastinya kali ini dengan kemunculan bersama Search, kami akan bawakan lagu-lagu klasik dan 80-an Search. Saya mengharapkan konsert ini akan sukses dan menjadi sebuah kenangan buat para peminat," ujar Amy.
Tambah Nasir yang merupakan pemain bass Search: "Saya belum nampak lagi sebuah festival rock di Malaysia. Yang ada pun pengisiannya kabur. Jadi inilah sebuah festival rock yang patut dijadikan tanda dagang dan dikekalkan. Sebelum ini Search pernah terlibat dengan beberapa festival rock di luar negara dan kami teruja untuk beraksi di sebuah festival di negara sendiri."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: