Saturday, May 4, 2013

Jelajah cinta Paris



ENAM hari untuk menjelajah Paris di Perancis. Diterbangkan oleh AirFrance yang membuat penerbangan sulung tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Paris pada 23 April lalu dengan menikmati segala kemudahan yang disediakan menerusi kelas bisnesnya termasuk kafe khas yang menyediakan makanan dan minuman percuma di lapangan terbang, sejurus sebelum penerbangan bermula.
Itu rezeki terpijak empat artis muda dan ternama tanah air - Fizo Omar, Tasha Shilla, Nur Fathia Abd. Latiff dan Aiman Hakim Ridza apabila terpilih untuk menyertai Magis Selebriti Jelajah Paris yang merupakan program julung-julung kali dianjurkan butik mutiara terkemuka tanah air, Rafflesia, The Pearl Centre.
Turut menyertai program ini ialah pemilik bersama Rafflesia, Winnie Sin dan suaminya, Sin Cheang Leong serta tidak ketinggalan pihak media.
"Rafflesia berasa sangat teruja dengan penganjuran buat kali pertama membawa artis tempatan ke luar negara," ujar Winnie.
Namun apa yang pasti, kolaborasi pertama AirFrance dan Rafflesia itu sebenarnya telah melunaskan impian keempat-empat artis Fizo, Tasha, Fathia dan Aiman yang kali pertama berkunjung bersama-sama ke Paris.
Keterujaan jelas terpancar pada mata mereka ketika ditemui di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 April lalu.
"Tasha tidak sabar-sabar lagi ingin menjejakkan kaki ke Paris yang terkenal dengan gelaran kota raya romantis itu," tutur aktres sensasi ini yang muncul penuh bergaya dilengkapi sepasang kasut jenama tersohor Perancis, Christian Louboutin yang menurutnya telah dibeli di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur ke Paris kira-kira pukul 11 malam dan dijadualkan selama 13 jam itu bagaimanapun tidak sempat menimbulkan kebosanan.
Ini kerana kelas bisnes AirFrance menyediakan 'katil' yang cukup selesa - kerusi yang boleh dibentuk menjadi tempat tidur.
Biarpun begitu, keempat-empat Fizo, Tasha, Fathia dan Aiman masih sempat merakam foto kenangan bersama-sama kru penerbangan sulung AirFrance dari Kuala Lumpur ke Paris itu.

POSE Tasha, Fizo, Fathia dan Aiman di bahagian dalam Istana Versailes yang penuh bersejarah.


Fathia peluk Aiman
24 April, 2013 - hari pertama di Paris yang masih dalam fasa musim luruh dengan melimpahkan sinaran mentari tetapi cuaca tetap sejuk mencengkam antara 16 hingga 6 darjah Celcius itu tiba-tiba menjadi 'panas'.
Ia ekoran apabila semua dikejutkan dengan paparan laman gosip di Malaysia yang mendakwa Fathia telah memeluk Aiman ketika berada di KLIA sejurus sebelum penerbangan ke Paris pada 23 April itu.
Terlupa seketika fakta bahawa kaki sudah menjejak Hotel Etoile Park yang beralamat di 10, Avenue Mac-Mohan sebelum meninggalkan barangan termasuk beg-beg pakaian di situ kerana hanya boleh mendaftar masuk kira-kira pada pukul 3 petang (waktu Paris).
Terus sahaja, ketika menikmati hidangan makan tengah hari di McDonald, Fathia dan Aiman diajukan tentang persoalan tersebut yang membawa kepada spekulasi percintaan mereka yang sebelum ini gagal dihidu media.
Tidak mengiakan mahupun menafikan akan hubungan cinta mereka, Fathia dan Aiman sepakat mengatakan: "Kami serasi bersama khususnya selepas sama-sama membintangi drama bersiri Diandra dan Mahasabah."
Ternyata, Fathia dan Aiman serasi bersama sepanjang berada di Paris. Begitu juga Fizo dan Tasha sehingga mereka berdua tetap tidak ketinggalan digosip oleh blog-blog hiburan di Malaysia meskipun ketika itu masih berada di Paris.
"Berada di kota raya Paris yang begitu mengujakan jauh daripada Malaysia pun tetap kena gosip," ujar Fizo tersenyum manis.
Fizo nyata akur dirinya digosip dengan Tasha ekoran foto-foto kemesraan mereka ketika di Paris itu telah dimuat naik ke Instagram miliknya sendiri.
Namun apa yang nyata, keempat-empat mereka dilihat begitu serasi sebagai kawan baik dan inilah yang menjadi rencah menarik sepanjang enam hari menjelajah Paris.
Bermatlamat untuk menuju Avenue des Champs-Élysées - laluan jalan sepanjang 1.91 kilometer diiktiraf sebagai antara hartanah termahal di dunia yang menempatkan kafe-kafe, pawagam-pawagam serta gedung-gedung dan butik-butik jenama mewah Louis Vuitton (LV), Hugo Boss, Lancel, Chanel, Guerlain, Lacoste serta tidak ketinggalan Adidas, Benetton, Nike, Zara, H&M, Cartier dan banyak lagi.
Namun, kaki terhenti dan terpegun tatkala menatap Arc de Triomphe yang terletak di tengah kawasan Place Charles de Gaulle yang sebenarnya berada di bahagian barat Avenue des Champs-Élysées.

KIRI: Aiman, Fizo, Fathia dan Tasha tidak ketinggalan merasai pengalaman menaiki Menara Eiffel.


Butik tujuh tingkat LV
Keempat-empat Fizo, Tasha, Fathia dan Aiman lantas merakam kenangan berlatarkan antara monumen paling terkenal di Perancis itu sebelum akhirnya menjejakkan kaki ke butik tujuh tingkat LV di 101, Champs-Élysées untuk membuat tinjauan awal sebelum membeli-belah di situ.
Malam melabuhkan tirai. Selepas mendaftar masuk ke Hotel Etoile Park, hari-hari seterusnya telah diaturkan oleh agensi pelancongan Sedunia Travel dengan agenda lawatan pada hari kedua (25 April, 2013) adalah ke Place de la Concorde, Avenue des Champs Elysees dan Arch de Tromphee dengan menaiki bas pelancong.
Lawatan tersebut disempurnakan dengan menaiki bot merentasi sepanjang River Seinei yang cukup mendamaikan, sebelum diberi peluang menaiki sehingga ke tingkat dua monumen yang menjadi mercu tanda Paris - apalagi kalau bukan Menara Eiffel.
"Paris cukup unik kerana berjaya mengekalkan bangunan-bangunan yang bercirikan sejarah lampau," ungkap Fizo tatkala berada di Istana Versailes di Versailes - lokasi lawatan pada hari ketiga (26 April, 2013) di Paris.
Antara keunikan Istana Versailes yang menjadi sebutan umum sejak tahun 1038 dan dihiasi beribu-ribu lukisan, kemasan dan ukiran itu termasuklah ia dilengkapi dengan 2,300 bilik, 2,153 tingkap dan 67 buah tangga.
Tidak lengkap lawatan ke Paris tanpa mengunjungi Musée du Louvre atau Louvre Museum - ringkasnya dikenali sebagai Louvre yang pernah diangkat menerusi filem pecah panggung lakonan Tom Hanks, Da Vinci Code (2006).
Agenda hari keempat (27 April, 2013) itu cukup bermakna kerana berpeluang melihat lukisan-lukisan yang cukup menakjubkan dari segi visual dan aura di muzium yang mula dibuka kepada umum bermula pada 10 Ogos, 1793 itu.
Tamat agenda lawatan ke tempat-tempat bersejarah, hari kelima dan keenam di Paris dikhususnya apa lagi kalau tidak untuk membeli-belah.
Antara syurga beli-belah barangan berjenama tetapi pada harga murah di Paris sudah tentu ialah La Vallée Village yang terletak di bandar Marne-la-Vallée - kira-kira 35 minit perjalanan dari kota raya Paris.
Cara yang mudah untuk ke sini sudah tentu dengan menaiki sistem rel yang dikenali sebagai Metro.
Selain itu, acara beli-belah yang boleh dilakukan penuh 'meriah' lantaran menampilkan barangan berjenama tetapi pada harga berpatutan adalah di Galaries Lafayette terletak di 10, Boulevard Houssmann.
Gedung beli-belah 10 tingkat ini pernah mencatat jualan mencecah lebih 1 bilion euro (RM4.4 bilion) sepanjang tahun 2009.
Justeru tidak menghairankan apabila keempat-empat Fizo, Tasha, Fathia dan Aiman tidak ketinggalan membeli barangan berjenama mewah khususnya LV, Prada dan Christian Louboutin.
Sesungguhnya, selain cukup sinonim sebagai kota raya romantis dan bersejarah, Paris sudah pasti merupakan syurga beli-belah barangan berjenama mewah antara yang paling sibuk di dunia.
Elemen-elemen tersebut nyata membentuk cinta yang ada di Paris, yang sering dirasai setiap pengunjungnya.
Bak kata Tasha saat ditanya bagaimana dia mampu bertahan membeli-belah sambil memakai kasut tumit tinggi tujuh inci (0.18 meter) daripada jenama Christian Louboutin: "Saya menikmati Paris seadanya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: