Saturday, May 4, 2013
Subaru Forester berjiwa Impreza
SUBARU Forester, walaupun namanya seperti ada kaitan dengan hutan, ia sebenarnya bukanlah kenderaan yang sesuai dipandu untuk meredah sungai atau lopak.
Forester sebaliknya ialah sebuah kenderaan crossover, mungkin yang pertama seumpamanya di dunia. Biarpun lebih mirip sebagai sebuah wagon berbanding SUV, Forester sememangnya diminati ramai.
Sebabnya, jika dibandingkan dengan kenderaan crossover lain, ia mempunyai sistem pacuan empat roda yang cukup baik. Malah, saya sendiri pernah melihat Forester yang telah diubah suai untuk kegunaan lasak di hutan.
Kelebihan utama Subaru Forester adalah kemampuannya untuk menjadi kereta berprestasi tinggi jika dimahukan oleh tuannya.
Alasannya mudah. Enjin EJ20 dan kerangka yang digunakannya sama sahaja dengan apa yang ada pada Subaru Impreza. Kombinasi enjin dan kerangka itu membuatkan Forester sebuah crossover terbaik pada hemat saya.
Sekali pandang, tidak sangka bahawa Forester itu sudah berusia hampir 16 tahun. Forester di pasaran Malaysia boleh dikatakan semuanya diimport oleh kedai kereta recond dan hampir semuanya menggunakan enjin EJ20 turbo dengan kotak gear automatik.
Kereta itu misalnya sudah dipasang dengan enjin Impreza STi Version V. Enjin diubah suai sedikit dengan menggantikan penapis udara asal kepada penapis udara A’PEXi dan menambah satu injap blow-off jenama HKS SSQV.
Sistem penyampaian petrol pula dibantu oleh penyelaras bahan api boleh laras SARD. Sementara hos-hos getah di dalam enjin diganti dengan hos-hos silikon buatan Samco.
Tidak lengkap kalau ubah suai enjin boxer Subaru, tetapi ekzos masih standard. Jadi, Forester hitam itu menggunakan paip ekzos 3 inci buatan custom yang disalur terus kepada peredam bunyi A’PEXi N1.
Kotak gear automatik asal diganti dengan kotak gear manual lima kelajuan yang hadir bersama half-cut Impreza Version V. Kotak gear itu langsung tidak diusik dan dikekalkan dalam keadaan standard.
Cuma klacnya sahaja ditukar dengan klac Exedy Racing, satu naik taraf yang biasa dibuat kerana harga klac standard Subaru jauh lagi mahal daripada klac itu.
Memandangkan Forester itu tidak akan dipandu dalam lumpur, jadi ada baiknya ia direndahkan daripada ditinggikan macam Land Rover. Naik taraf sistem gantungan yang terbaik untuk Forester adalah dengan menggunakan penyerap hentak asal Impreza STi yang juga didatangkan sekali dengan half-cut.
Penyerap hentak berwarna merah jambu itu memang cukup selesa untuk kegunaan harian. Ia juga lebih rendah berbanding penyerap hentak asal. Selain itu, lower arm aluminium juga sudah disalin daripada half-cut ke Forester itu bagi memantapkan lagi pengendalian kereta.
Brek pun dipertingkatkan. Sekali lagi dengan menggunakan barang daripada half-cut Impreza. Brek cakera depan diganti dengan brek cakera dan caliper jenis 2 pot daripada Impreza Version V. Brek belakang bagaimanapun dikekalkan standard Forester.
Bahagian dalamannya boleh dikatakan hampir langsung tidak diusik, melainkan pada mereka yang perasan. Meter yang digunakan ialah meter asal Impreza Version V yang diubah suai untuk dipadankan pada papan pemuka asal Forester.
Agak pelik juga apabila tombol pendingin hawa jenis manual daripada Impreza Version V pun disalin sekali. Sedangkan Forester menggunakan sistem kawalan jenis digital. Sebuah meter RSM jenama A’PEXi dan meter boost Defi menjadi aksesori tambahan pada ruang tersebut.
Perubahan kosmetik yang boleh dilihat pada Forester ini adalah penggunaan kit badan Forester SF9, iaitu model facelift Forester. Lips dan spot light depan adalah hasil rekaan custom yang dibuat di atas bumper asal Forester bagi memberikan sedikit kelainan.
Rim OEM Impreza STi Version 7 digunakan bagi menggantikan rim standard 16 inci Forester. Tayar yang menjadi pilihan ialah Bridgestone Potenza bersaiz 235/45/17 yang pastinya untuk kegunaan jalan raya dan bukannya bagi tujuan meredah hutan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: