|
“KEHADIRAN Citroen DS5 dan DS4 menandakan era baharu jenama Citroen di Malaysia. Kedua-dua model ini disifatkan sebagai DNA kepada inovasi dan kecemerlangan Citroen.
“Kereta ini disasarkan kepada mereka yang mahukan sesuatu yang unik, bersama rekaan berani dan standard tinggi,” jelas Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.
Pengenalan dua model itu selari dengan pelancaran bilik pameran Naza Euro Motors (NEM) bernilai RM3.5 juta yang terletak di Glenmarie Shah Alam. Perlu tahu bahawa Citroen DS5 and DS4 merupakan model pertama yang dilancarkan oleh NEM, selepas dilantik sebagai pengedar rasmi kenderaan Citroen di Malaysia pada Januari lalu.
Apa yang pasti, Citroen sudah lama dikenali di pasaran tempatan. Antara model Citroen yang cukup popular sekitar tahun 1990-an ialah hatchback Citroen ZX Volcane, sedan Xantia, Xsara dan MPV Evasion.
Menurut seorang rakan yang pernah memiliki sebuah Citroen ZX Volcane, dia sangat menyukai kereta itu kerana kuasa enjin 2.0 liter, suspensi dan kualiti pemanduan yang sukar untuk dibandingkan dengan mana-mana kereta moden sekarang.
Itu cerita lama. Secara ringkasnya, ‘sejarah moden’ jenama Citroen di Malaysia bermula pada tahun 2007 apabila kenderaan tersebut diimport dan diedar oleh pihak Brooklands Motors.
Dalam tempoh tersebut, jumlah jualan kenderaan Citroen tidaklah banyak. Tetapi masih boleh membuatkan jenama itu terus hidup dalam pasaran yang begitu mencabar. Pada tahun 2012, Brooklands Motors dilihat cuba bangkit apabila memperkenalkan model baharu Citroen iaitu hatchback C4 dan DS4. Bukan itu sahaja, ia juga berpindah ibu pejabat dari jalan Chan Sow Lin di Cheras, Kuala Lumpur ke lokasi baharu di tepi Lebuh Raya Persekutuan.
Bagaimanapun, kebangkitan itu nampaknya tidak bertahan lama apabila hak pengedaran kenderaan Citroen beralih kepada anak syarikat Kumpulan Naza, NEM.
NEM nyata memiliki kelebihan kerana Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) yang juga merupakan subsidiari Kumpulan Naza sudahpun mengimport dan mengedar kenderaan Peugeot sejak beberapa tahun lalu.
Sebagai ‘pembuka kata’, NEM mengetengahkan model premium Citroen yang diambil daripada rangkaian varian DS. Untuk makluman, varian DS mula dilancarkan oleh Citroen pada tahun 2010 dengan matlamat mahu memperkenalkan model-model yang mempunyai reka bentuk mengagumkan. Ia dibina dia atas dua falsafah Citroen iaitu kreativiti dan teknologi.
Citroen DS5
Jentera itu dinobatkan sebagai penerima anugerah Family Car of the Year oleh majalah pemotoran terkenal di United Kingdom, Top Gear. DS5 dikatakan menawarkan pendekatan baharu dalam segmen premium.
Mula-mula diperkenalkan sebagai kereta konsep C-Sportlounge pada Frankfurt Motor Show 2005, DS5 mengetengahkan rekaan luaran dengan siluet aerodinamik yang menonjol dan berani. Ini sekali gus menampilkan kepakaran gayaan Citroen.
Ruang kabin DS5 mengambil inspirasi daripada rekaan kokpit pesawat. Konsol tengahnya dihuni oleh skrin paparan untuk kamera mengundur serta sistem audio Arkamys bersama HiFi jenama Denon yang disambung dengan sepuluh unit pembesar suara. Butang kawalan pendingin hawa dua zon juga diletakkan di sana.
Pada bahagian bumbung, terdapat butang kawalan seperti yang meniru gaya kokpit pesawat. Jentera itu menggunakan tiga keping kaca sebagai bumbungnya yang meningkatkan lagi ambien keseluruhan kabin.
Ciri inovatif lain yang ada pada model itu ialah paparan head-up display (HID) berwarna dan sistem penghidup enjin Start/Stop. Selain akses tanpa kunci yang membolehkan pemandu mengunci atau membuka pintu kereta dengan hanya menyentuh hendal pintu.
Sebagai tambahan, DS5 turut dilengkapi tempat duduk elektrik boleh laras bersama fungsi mengurut untuk pemandu, brek parkir elektronik serta penggilap cermin automatik.
Jentera itu dijana oleh unit enjin bersesaran 1.6 liter twin-scroll turbo pancitan terus bertekanan tinggi. Mampu menjana sehingga 156hp dan tork puncak 240Nm, enjin tersebut kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Mahu memberi penjimatan kepada penggunanya, Citroen mendakwa DS5 mampu bergerak sejauh 7.3 kilometer (km) bagi setiap liter petrol dengan emisi hanya 159 gram untuk setiap 100km.
Dari aspek keselamatan, DS5 melegakan hati pemandu dan penumpangnya dengan deretan ciri keselamatan termaju seperti ESP, ABS, EBD dan EBA selain beg udara utama dan sisi.
Bagi menyerlahkan penampilan maskulinnya, DS5 hadir bersama lampu utama jenis Xenon, lampu kabus dengan fungsi membelok serta rim aloi bersaiz 18 inci. Didatangkan dalam beberapa warna eksklusif, DS5 ditawarkan pada harga RM195,000 (di atas jalan) seunit.
Citroen DS4
Dinamakan sebagai kereta paling cantik (Most Beautiful Car of the Year) pada Anugerah Reka Bentuk Auto Bild 2011, DS4 merupakan model kedua yang dilancarkan di bawah lencana DS.
Tampil dengan gayaan unik, DS4 ialah sebuah coupe dengan kapasiti tempat duduk 2+2. Tubuhnya dibentuk dengan sempurna sehinggakan jika dilihat dari mana-mana sudut sekali pun, jentera itu membiaskan falsafah rekaan Citroen yang unik dan DNA varian DS yang tersendiri.
Demi keselesaan penumpang, DS4 dilengkapi sistem pendingin hawa dua zon, sistem bunyi Arkamys, ketersambungan Bluetooth dan kemasan kulit Habana Club.
Di bawah hudnya, terletak unit enjin turbo bertekanan tinggi twin-scroll bersesaran 1.6 liter. Enjin dengan sistem pancitan terus bahan api itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 163hp dan tork puncak 240Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.
Citroen mendakwa, kadar penggunaan bahan api DS4 adalah 7.7km bagi setiap liter. Sementara emisinya dihadkan kepada 178 untuk setiap 100km.
DS4 tidak berkompromi dengan aspek keselamatan. Justeru, ia dipasang dengan sistem keselamatan seperti ESP, ABS, EBD and EBA. Sistem lain yang turut diaplikasikan ialah sistem pemantauan titik buta pada bahagian sisi kenderaan. NEM menawarkan DS4 pada harga RM165,000 seunit.
Mengenai Citroen Glenmarie pula, bilik pameran itu memiliki keluasan mencecah 2,043 meter persegi. Ruang itu merangkumi lapan ruang servis dengan kemampuan menyelenggara sehingga 24 buah kereta sehari.
Bertindak selaku ibu pejabat NEM, ia turut menempatkan sebuah DS Salon yang mempamerkan identiti korporat DS. Citroen Glenmarie adalah sebahagian daripada rangkaian pengembangan jenama Citroen di Malaysia. Dua buah premis akan dibuka di wilayah Utara dan sebuah di Selatan menjelang suku kedua tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: