|
SEEKOR orang utan kelihatan sedang asyik makan seruas tebu. Apabila air tebu disedut, haiwan itu seolah-olah diajar untuk membuang hampas tebu ke tanah. Kedengaran juga penjaga orang utan dan para pengunjung memanggil nama haiwan itu dengan gelaran BJ. Namun, sahutan itu tidak diendahkan kerana sedang asyik menikmati kemanisan tebu.
BJ merupakan orang utan tertua di Pulau Orang Utan (POU), Bukit Merah, Perak. Pada tahun ini usianya telah mencecah 27 tahun. Ia juga merupakan haiwan dominan atau ketua kepada 24 orang utan lain yang hidup di pulau tersebut.
“Memandangkan BJ merupakan haiwan dominan dalam kumpulan orang utan di sini, karakternya juga sangat agresif. Ia kurang mesra dengan pengunjung dan banyak bergerak secara bersendirian,” ujar Dr. D. Sabapathy selaku Pegawai Penyelidik Orang Utan di Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM).
Tambahnya, BJ telah dibawa ke POU sejak 15 tahun lalu. Ia juga berasal dari Sarawak dan merupakan orang utan yang sering menjadi tumpuan pengunjung kerana mempunyai fizikal yang besar serta bulu yang lebat pada badannya.
“Orang utan merupakan haiwan yang bijak. Ia membuat sarang di atas pokok yang diperbuat daripada daun dan dahan untuk dirinya dan juga pasangan. Jika di habitat asal, sarang bertujuan sebagai tempat berlindung daripada haiwan liar,” ujarnya.
Istimewanya mengenai BJ berbanding orang utan lain di pulau itu adalah sebuah pulau berdekatan dengan POU telah dinamakan dengan nama haiwan tersebut iaitu Pulau BJ.
Terowong Pulau Orang Utan
POU, Bukit Merah telah dibuka sejak lebih 10 tahun lalu. Dengan keluasan kira-kira 15 hektar, pulau tersebut merupakan kawasan untuk menjalankan kajian, pembiakan dan memulihara haiwan yang diancam kepupusan itu.
Di pulau itu juga, pengunjung dapat menyelami kehidupan orang utan yang tinggal di sana dengan lebih dekat.
Menurut Sabapathy, orang utan yang berada di POU berbeza dengan spesiesnya yang hidup liar di habitat asalnya iaitu Sabah dan Sarawak.
“Orang utan di sini dijaga dengan rapi terutamanya daripada aspek pemakanan, perubatan dan tempat tinggal. Jika dibandingkan dengan orang utan yang tinggal di Borneo, ia lebih berdikari dan sukar didekati oleh manusia,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pelancaran terowong baharu di Pulau Orang Utan, Bukit Merah baru-baru ini.
Terowong berpagar sepanjang 100 meter yang berukuran lima meter lebar dan tiga meter tinggi itu dibina untuk memberi peluang kepada pengunjung untuk memerhati orang utan dalam persekitaran separa liar.
Terowong itu juga bertujuan untuk memudahkan penyelidik dalam melakukan penyelidikan mengenai orang utan di dalam kawasan yang lebih selesa.
Selain itu, terowong berkenaan juga dilengkapi dengan dawai elektrik pada bahagian luar sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung bagi mengelakkan manusia mendekati haiwan itu.
Sepanjang menyusuri terowong itu, pengunjung juga akan melalui Taman Herba yang penuh dengan pelbagai jenis tumbuhan herba.
Pengerusi YPOUBM, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, pembinaan terowong itu juga mampu mengelakkan 24 orang utan berkenaan daripada bergaduh.
“Orang utan mempunyai kemungkinan untuk mati kerana bergaduh sesama sendiri. Situasi itu tidak normal dalam kitaran hidup haiwan ini. Orang utan akan diasingkan dalam kawasan tersendiri bagi mengelakkan ia menyerang antara satu sama lain terutamanya bagi haiwan dominan seperti BJ,” ujarnya.
Selain itu, stesen-stesen pemerhatian turut dibina di laluan untuk memudahkan lagi perlaksanaan aktiviti kajian dan pemantauan yang akan dilakukan oleh pihak penyelidik.
Jelas Mustapha, penyelidikan mengenai orang utan merupakan salah satu langkah untuk mendapatkan data dan fakta yang tepat mengenai orang utan untuk disalurkan kepada pengunjung.
Kerjasama tiga penjuru
Dalam acara sama, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara YPOUBM dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Balik Pulau, Pulau Pinang turut berlangsung.
MoU tersebut dimeterai bagi mencerminkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mempromosikan POU sebagai destinasi eko pelancongan di Malaysia.
Pemilihan dua institusi tersebut dijangka berpotensi untuk menyebarkan informasi mengenai orang utan kepada ahli-ahli yang bernaung dibawahnya.
Presiden Angkasa, Datuk Dr. Mohd Ali Baharum berkata, salah satu daripada tujuh prinsip organisasi itu ialah Masyarakat Penyayang.
“Angkasa merupakan organisasi yang menguruskan koperasi di 2,400 buah sekolah di seluruh negara. Pihak kami berjanji akan mempromosikan program ini kepada lapan juta anggota kami menerusi koperasi sekolah,” ujarnya dalam ucapan pelancaran terowong baharu POU baru-baru ini.
Sementara itu, guru mata pelajaran Kemahiran Hidup di MRSM Balik Pulau, Ali Ishak Mohd. Yusoff, 29, berpendapat, kerjasama tersebut berupaya memberi inspirasi kepada murid-murid MRSM untuk mengetahui informasi lanjut mengenai orang utan.
“MRSM telah mengadakan satu program lawatan untuk murid-murid iaitu Mighty. Pada program edisi lalu, murid-murid telah dibawa ke POU untuk mempelajari serba sedikit mengenai kehidupan orang utan. Respons yang diberikan oleh murid-murid juga memberangsangkan,” ujarnya ketika ditemui.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: