Buktinya, selain mendapat izin suami tersayang, Burce Dargus untuk berlakon, anak jati kelahiran Johor ini juga tak lupa mengembangkan bakat nyanyian.
Sebelum ini artis berambut perang ini pernah memiliki album berjudul Ibtisam pada 2007, kerinduannya terhadap seni suara semakin terubat apabila terhasilnya single terbaru, Tak Sengaja ciptaan Amirudin Syawal dan lirik oleh Alwi Hadad, yang kini sedang berkumandang di corong-corong radio.
Berkongsi cerita mengenai lagu singlenya itu, Betty berkata, lagu itu sudah siap dirakam pada 2011, tetapi urusan promosinya tertangguh berikutan masalah keluarga kerana Betty perlu menjaga ibunya yang sakit.
“Pelbagai dugaan bagi saya ia tanggungjawab sebagai seorang anak dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan ibu, Fouziah Najib dan juga arwah ibu saudaranya, Fatimah Ahmad. Kedua-dua insan yang saya sayang itu tidak sihat dan memerlukan perhatian sepenuh masa.
"Ketika itu juga saya terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu, sebab itu, saya tidak dapat beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja, kerana bimbang memikirkan kesihatan mereka.
“Saya rapat dengan arwah ibu saudara dan berharap dia dapat menyaksikan perkahwinan saya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memakbulkan doa saya dan arwah meninggalkan kami sekeluarga selepas saya bernikah. Sehingga kini, kesihatan ibu juga semakin bertambah baik berbanding dulu.
“Ditambah pula, pada masa itu juga saya sibuk dengan persiapan kahwin. Jadi, saya terpaksa menangguhkan segala urusan membabitkan promosi lagu ini dan memberi keutamaan pada keluarga serta peribadi. Syukur, kini berkat kesabaran saya, nampaknya berbaloi dan sekarang adalah masa sangat tepat untuk mempromosikan lagu tersebut," katanya.
Luahan hati menerusi lagu
Setiap insan pastinya mempunyai kisah tersendiri, bagi Betty, lagu tersebut menjadi pilihannya kerana setiap alunan lagu yang disampaikan mempunyai jalan cerita dalam hidupnya, terutama perjuangan cintanya dengan suami tersayang.
"Lagu ini banyak mengisahkan perjalanan cinta saya bersama suami, lagu yang bertempatan dengan kehidupan lama saya di mana benda yang selama ini tidak pernah berharap menjadi kenyataan.
"Perjalanan lagu ini juga memberi berjuta pengertian buat saya, apabila kisah cinta yang tidak disengajakan ini menjadi lebih bermakna dalam diri saya," katanya.
Setakat ini, sebanyak empat lagu sudah siap dirakam untuk diedarkan Universal Music.
Ditanya mengenai dunia lakonan, Bety memberitahu, kini dia juga sibuk menjalankan penggambaran drama berjudul Lara. Selain itu, dia juga sibuk menguruskan perniagaan restoran milik keluarganya iaitu restoran Banafee Village di Johor Bahru.
"Tawaran berlakon masih banyak sehingga kini, untuk menerima berlakon dalam drama yang berantai mengambil masa dua atau tiga bulan.
"Dengan sebab itu, saya terpaksa berbincang dengan pihak pengarah dan juga produser agar dapat membahagikan masa dalam lakonan, perniagaan dan nyanyian," katanya.
Dorongan suami tersayang.
Lumrah hati seorang wanita yang ingin dicintai dan mencintai, penantian Betty untuk bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati akhirnya menjadi kenyataan.
Pada tanggal 8 Disember tahun lalu, dia selamat diijabkabulkan dengan seorang jejaka bernama Burce, seorang pakar Teknologi Maklumat (IT) warga Britain juga seorang pemuzik elektronik dan produser muzik.
Wanita kacukan Inggeris dan Lubnan berkata, dia dan suami adalah pasangan sejiwa dan sangat bersyukur dipertemukan jodoh dengan pasangan yang memiliki minat sama.
"Saya bersyukur, dengan minat yang sama, ia membuatkan hubungan kami bertambah erat serta boleh berkongsi pandangan mengenai muzik. Ternyata, dengan pengalaman dimiliki Burce, dia banyak membantu saya untuk mengukuhkan karier dalam bidang nyanyian.
"Segala jadual kerja saya juga, diatur oleh suami dengan menggunakan teknologi komputer, hidup saya kini lebih sistematik berbanding dahulu.
"Sebelum ini, saya menggunakan pembantu, tapi sekarang tidak lagi kerana Burce banyak membantu meringankan kerja harian saya sebagai anak sen," katanya.
Impi cahaya mata
Dalam kehidupan berumah tangga pastinya anak penyeri utama. Bagaimanapun, rezeki cepat atau lambat adalah ketentuan Tuhan. Perkara seperti ini pastinya tidak boleh diramal.
Tidak lupa berbicara mengenai cahaya mata, Betty mengakui dia juga seperti wanita lain yang memiliki naluri keibuan.
"Siapa yang tidak mahu cahaya mata dalam melalui kehidupan berumah tangga, tapi sebagai insan biasa kita hanya merancang ALLAH menentukan segalanya.
"Saya dan suami, hanya mampu berdoa untuk lakukan yang terbaik,
"Mungkin segelintir beranggapan karier sebagai anak seni halangan untuk mengandung, tapi bagi saya tidak, saya jadikan ibu sebagai mentor utama walaupun mengandung ia bukan halangan untuk kita terus bekerja," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: