Perjanjian berdarah!
Nabila Huda
Nabila Huda
FILEM seram sememangnya bukan satu genre baru dalam industri perfileman di Malaysia bahkan di luar negara juga sudah banyak filem berunsur seram yang menjadi pertaruhan.

Terbaru, pengarah muda, Faizul A Rashid turut mempertaruhkan filem seram sebagai percaturan sulungnya dalam industri perfileman.

Bisikan Syaitan mengangkat kisah perjanjian antara manusia dan syaitan dalam mengejar kemewahan dan hidup yang lebih senang.

Membariskan pelakon hebat seperti Fizz Fairuz, Nabila Huda, Azam Pitt, Wan Sharmila dan adik Farah Nadiah sebagai teraju utama, filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta menjalani penggambaran selama 30 hari di Bukit Fraser dan Kuala Kubu Bharu.

Menurut Faizul, dia berharap masyarakat dapat menerima filem pertamanya ini diterima masyarakat dan menilai kesan apabila manusia melakukan perjanjian dengan syaitan.

“Biarpun melalui beberapa pemotongan oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita,” ujarnya kepada media.

Meletakkan elemen kejutan, konflik dan tanda tanya sebagai permainan plot penceritaan, Faizul berjaya menimbulkan rasa ingin tahu penonton sejak awal lagi.

Plot perlahan

Bagaimanapun secara keseluruhan, perjalanan plot yang agak perlahan dengan durasi pada satu babak yang agak lama ada kalanya merencatkan sedikit perhatian penonton.

Namun dek kerana perasaan ingin tahu penonton seolah-olah perlu bersabar dengan perjalanan cerita sehingga akhirnya persoalan tersebut mula dirungkai satu persatu pada klimaks penceritaan.

Malah Faizul juga amat bertuah kerana mempunyai barisan pelakon yang cukup mantap dalam menyampaikan emosi dan memandu jalan cerita sehingga ke akhirnya.

Manakala elemen kejutan yang cuba dimainkan Faizul ada kalanya menjadi dan kurang menjadi kerana penonton sudah dapat menjangkakannya lebih awal.

Nasib Soraya, Kamil

Bisikan Syaitan mengisahkan tentang kehidupan sebuah pasangan iaitu Soraya (Nabila Huda) dan Kamil (Fizz Fairuz) yang telah membuat perjanjian berdarah dengan kuasa kejahatan demi mendapatkan kesenangan hidup.

Mereka kemudiannya hidup dengan serba mewah hasil daripada perjanjian itu.

Segalanya bertukar menjadi porak-peranda apabila Soraya telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan membunuh. Rahsia perjanjian pasangan Kamil dan Soraya ini mula terbongkar sedikit demi sedikit apabila keluarga Kamil mula diganggu makhluk-makhluk ghaib.