Saturday, May 4, 2013

Reshmonu masuk Amerika Syarikat

SELEPAS 10 tahun menjadi penyanyi, Reshmonu mahu kariernya berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.


JIKA menyebut nama sebenar penyanyi ini iaitu Hiresh Haridas, pasti tiada siapa yang mengenali nama tersebut. Namun, pada hakikatnya, nama penyanyi ini bukanlah satu nama baharu dalam industri seni.
Menggunakan nama pentas Reshmonu, lelaki berbangsa India ini terkenal dengan lagu-lagu rancak yang bukan sahaja dinyanyikan dalam bahasa Inggeris.
Sebaliknya, Reshmonu juga telah berjaya memikat peminat di Malaysia dengan lagu berbahasa Melayu dan India.
Setelah membina nama di Malaysia selama 10 tahun, terdetik di hati lelaki kelahiran Melaka ini untuk cuba melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa pula.
Ternyata, usaha dan percubaannya untuk memikat hati komposer daripada luar negara berjaya.
Apa yang menariknya, komposer yang berjaya dipikat oleh Reshmonu bukan calang-calang orang.
Reshmonu yang ditemui di Restoran Malones, The Curve, Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkongsi cerita tentang kejayaannya memikat hati seorang komposer yang begitu terkenal di Hollywood.
Dia juga begitu teruja dengan pencapaian yang diperoleh, memandangkan sudah 10 tahun dia bergelumang dengan dunia seni suara.
“Mungkin setelah 10 tahun, saya merasakan ingin mencuba untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, saya ingin juga membawa nama sebagai anak Malaysia ke Hollywood,” ujarnya membuka bicara.
Melanjutkan bicara, ujar Reshmonu, dia tergerak hati untuk meminta pengurusnya menghantar e-mel kepada produksi penyanyi dan komposer terkenal dari Amerika Syarikat, Timbaland.
“Tidak sampai sebulan, saya terkejut kerana mendapat maklum balas daripada syarikat produksi tersebut yang menyatakan hasrat berminat untuk bekerjasama dengan saya.
“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju kerana merasakan ini peluang seumur hidup yang saya peroleh dan tidak boleh dilepaskan,” ujarnya.
Jelas Reshmonu, walaupun dia tidak dapat bekerjasama terus dengan Timbaland, namun komposer tersebut telah bersetuju untuk memberi dia peluang menjalin kerjasama bersama protegenya Jim Beanz.
Barangkali nama Beanz tidak sehebat Timbaland, namun realitinya, dia telah menjadi tulang belakang dalam pembikinan album untuk beberapa artis gred A Hollywood seperti Katy Perry, Britney Spears, Shakira, Justin Timberlake dan Chris Brown.
“Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan produksi ini. Saya kira, melalui kerjasama ini, saya dapat belajar bagaimana cara dan proses-proses untuk membikin sebuah album kerana cara mereka bekerja sangat berbeza,” ujarnya.
Lebih mengujakannya apabila dia bukan sahaja berpeluang membuat album bersama Beanz, tetapi bakal dipromosikan di Amerika Syarikat dan Eropah sebaik album tersebut siap.
Menurut Reshmonu, dia akan berangkat ke Amerika Syarikat sekitar minggu ini untuk memperinci kontrak bersama Mosley Music Group (MMG).
“Saya akan menjadi artis dari Asia pertama yang mengikat kontrak bersama mereka. Tentunya, ia merupakan satu perkara yang cukup besar dalam sejarah karier saya selama 10 tahun,” ujarnya penuh semangat.
Sementara itu, menurut Reshmonu lagi, dia tetap akan menjadi Reshmonu yang dikenali peminat sebelum ini, namun akan memberi ruang untuk dirinya mencuba perkara baharu.
Reshmonu bakal melancarkan album terbaharunya itu pada awal tahun 2014 bagi pasaran United Kingdom dan Amerika Utara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: