|
SETELAH berhadapan dengan pelbagai konflik, tanggal 2 Mei yang lalu pastinya menjadi detik hitam buat penerbit dan pelakon A. Aida apabila sah bercerai talak dua dengan Suffian Sulaiman di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang ketika dihubungi Kosmo! telah meluahkan rasa lega dan gembiranya dengan keputusan yang dibuat oleh bekas suaminya itu setelah kedua-duanya tiada lagi persefahaman untuk hidup bersama.
Sebelum ini A. Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng pada tahun 1994 dan bercerai sembilan tahun kemudian.
Selepas itu, dia mendirikan rumah tangga pula dengan seorang anggota polis dan kemudian dia mendirikan rumah tangga dengan Suffian pada tahun 2007.
Menurutnya, selepas penceraian dengan bekas suaminya itu, kini dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya serta membesarkan anak-anaknya.
Kosmo!: Bagaimanakah perasaan A. Aida setelah diceraikan oleh Suffian dengan talak dua?
A. AIDA: Saya berasa cukup lega dengan keputusan ini apabila semuanya berjalan dengan lancar. Lagipun sudah lama saya berhasrat untuk bercerai dengan bekas suami.
Apakah perancangan anda selepas ini?
Buat masa ini keutamaan saya sekarang mahu lebih fokus kepada kerjaya sebagai penerbit dan penulis skrip. Ketika bergelar isteri dahulu kerja-kerja yang saya lakukan agak terbatas.
Mengenai perkahwinan pula saya langsung tidak terfikir sama sekali. Apa yang boleh saya katakan, sekarang ini lelaki tiada dalam kamus hidup saya dan lebih selesa sendiri dengan ditemani anak-anak.
Apakah pengajaran yang anda dapat setelah tiga kali gagal dalam perkahwinan?
Pertama sekali saya mahu memberi nasihat kepada semua wanita supaya mengenali terlebih dahulu lelaki yang ingin dijadikan suami sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Kesilapan yang saya lakukan ialah terlalu cepat memberi persetujuan kepada lelaki yang ingin mengahwini saya. Baru sebulan kenal saya terus bersetuju berumah tangga, sedangkan saya perlu mengenalinya dengan lebih mendalam sebelum membuat keputusan.
Apakah projek terbaharu anda sekarang?
Saya berasa sangat bersyukur kerana mendapat lebih banyak peluang menerbitkan drama dan telemovie dengan tawaran yang mencurah-curah pada tahun ini menerusi syarikat saya iaitu A. Aida Production Sdn. Bhd.
Ketika ini saya sedang sibuk menerbitkan dua buah telemovie yang sedang menjalani penggambaran iaitu Bahagia Bukan Milikku dan Segalanya Beres yang akan disiarkan di TV3 pada bulan hadapan.
Setelah banyak menerbitkan drama dan telemovie, adakah anda tidak berminat untuk kembali berlakon?
Tidak dinafikan kebanyakan pihak di stesen televisyen sudah banyak kali meminta saya berlakon semula, tetapi masa yang ada cukup terhad kerana selain menjadi penerbit, saya turut menghasilkan skrip untuk produk-produk yang diterbitkan.
Lagipun saya rasa peluang berlakon ini sepatutnya diberi kepada pelakon-pelakon yang lain. Lebih baik saya tumpu kepada kerja-kerja penerbitan dan penulisan skrip kerana pada masa yang sama saya perlu memberi tumpuan kepada anak-anak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: